Site icon MuslimahHTM News

Refleksi Kegemilangan Pembukaan Konstantinople oleh Al-Fatih

Refleksi Kegemilangan Pembukaan Konstantinople oleh Al-Fatih

 

Penulis: Ummulfatih

 

Konstantinople ialah kota luar biasa milik Kristian Byzantine yang gagal ditembus musuh berabad-abad lamanya. Dalam tempoh beratus-ratus tahun, ribuan misi ketenteraan pulang dengan hampa kerana gagal menembusi tembok Theodosian yang berlapis-lapis itu.  Namun begitu,  seorang sultan muda bernama Mehmed II  yang kemudiannya digelar Muhammad Al-Fatih membuktikan sebaliknya sehingga berjaya merealisasikan janji Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Konstantinople akan ditakluki. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”  [HR Ahmad]

 

Pada fajar 23 Jamadil Awal tahun 853 hijrah bersamaan 29 Mei 1453, getirnya usaha tidak memungkiri indahnya janji, tatkala panji daulah Islam Uthmaniyyah dikibarkan di kota itu. Namun ketahuilah, kejayaan Al-Fatih bukanlah sekadar manifestasi strategi genius seorang pemimpin perang, kejayaan itu juga datang daripada pembinaan sahsiah, aqliyah dan nafsiyah pada diri seorang pemimpin dan barisan tenteranya. Kejayaan yang penuh sejarah itu tumbuh daripada benih iman, disirami tarbiyah pembangunan karakter Islam dengan penuh konsisten sehingga menumbuhkan karakter seorang pemimpin dan barisan tentera yang juga luar biasa.

 

Refleksi 1: Pendidikan Bervisi Membina Sahsiah

 

Misi menawan Konstantinople yang terlalu sukar ini mustahil dipikul jika pelakunya tiada visi dan tiada kemampuan melakukannya. Syaikh Aksemseddin, merupakan watak penting dalam membentuk visi dan sahsiah Al-Fatih untuk menjadi pemimpin terbaik sehingga berjaya membentuk barisan tentera terbaik. Al-Fatih juga menimba ilmu daripada guru-gurunya yang lain tanpa lelah demi mencapai ketajaman akal, kedalaman dan keluasan ilmu, ketangkasan dan kekuatan fizikal, serta kesabaran sehingga membentuk disiplin yang tinggi pada diri Al-Fatih. Barisan tenteranya juga dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan kelebihan masing-masing dalam menyertai latihan rutin mereka.

 

Refleksi 2: Persiapan Segenap Kemampuan

 

Manusia yang memahami qadar dan sunnatullah akan berusaha menguasai segala ilmu duniawi yang diperlukannya, seterusnya mengatur kemampuannya dari segala sudut beserta kreativiti kemampuan berfikir di luar kotak. Inilah yang disaksikan pada strategi Al-Fatih yang dilakukannya secara intensif selama bertahun-tahun.

 

Pertama, Al-Fatih memanfaatkan ilmu sejarah dan goepolitik serta kefasihan berbilang bahasa untuk melakukan analisis mendalam terhadap usaha-usaha pembukaan Konstantinople yang lepas dan menyiasat keadaan terkini kota itu. Dengan demikian beliau tampil dengan idea-idea segar dan praktikal untuk mencapai kepada matlamatnya.

 

Tidak sekadar fokus kepada usaha pertempuran, beliau terlebih dahulu mencegah segala halangan yang wujud secara diplomatik. Beliau telah mengamankan sempadan melalui perjanjian damai dengan negara jiran. Seterusnya, Kubu Rumeli pula dibina untuk mengawal lalu lintas kapal asing di kawasan perairan daulah, dan berfungsi sebagai pertahanan tentera pada masa serangan.

 

Al-Fatih menggunakan teknologi paling canggih pada zamannya. Untuk persenjataan, beliau membina Meriam Gergasi Sahi. Tenteranya diberikan persenjataan dan kenderaan terbaik, dan pergerakan mereka juga mengikut strategi yang bukan sahaja pantas malah sukar diramal musuh.

 

Semasa serangan Konstatinople yang mengambil masa hampir dua bulan, tipu helah musuh telah membawa pasukan Al-Fatih kepada jalan buntu. Rantai besi di Tanduk Emas berjaya menyekat kemaraan kapal Al-Fatih. Lalu hadir satu idea “gila” yang bunyinya mustahil. Beliau mengarahkan agar mereka mengangkut 70 kapal melalui bukit-bukau di daratan dalam masa satu malam.

 

Semua usaha intensif ini dilakukan dalam satu pasukan yang memiliki asas akidah yang kukuh. Pasukan yang tersusun rapi penuh kesetiaan ini dibakar semangat luar biasa untuk mara demi meraih kedudukan istimewa yang diiktiraf oleh Nabi SAW. Akhirnya, pasukan inilah yang dipilih oleh Allah SWT untuk membuka konstantinople.

 

Khatimah

 

Memahami besarnya persediaan dan tahap juang yang diperlukan bagi mencapai visi yang besar seharusnya memberi kita suntikan kesedaran tentang betapa banyaknya yang perlu kita berikan lagi untuk meraih cita-cita kita pula pada masa ini. Cita-cita besar yang harus kita berikan tumpuan pada hari ini ialah mengembalikan Islam dalam seluruh kehidupan manusia.

 

Visi ini melibatkan pertempuran ideologi yang melalui proses pertempuran pemikiran. Dalam mencapai visi ini memerlukan kaum muslimin yang setia dengan kebenaran dan teguh menentang kebatilan. Semoga refleksi ini dapat membangkitkan akal dan nurani kita untuk kembali sedar bahawa kita juga ialah umat Rasulullah SAW yang perlu kembali kepada sunnahnya, bersama meruntuhkan kembali tembok gergasi jahiliyah dengan penuh strategi dan ketakwaan kepada Ilahi

 

#MuhammadAlFatih #RuntuhkanTembokmu #VisiMuslim

Exit mobile version