Benarkah Kita Mencintai Allah dan Rasul-Nya?
Penulis: Ummu Hani
Mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW merupakan sesuatu yang sangat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim. Cinta kepada Allah SWT bukan sekadar perasaan yang bersemayam di dalam hati, tetapi merupakan kecintaan yang sepatutnya mengatasi kecintaan kepada segala sesuatu yang lain. Allah SWT berfirman: “Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, serta rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” [TMQ at-Taubah (9): 24]. Ayat ini menunjukkan bahawa apabila berlaku pertentangan antara kehendak Allah dengan hawa nafsu atau kepentingan dunia, seorang Muslim mesti mendahulukan perkara yang diredhai oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kalian sehingga aku lebih dia cintai daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Hadis ini memperlihatkan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kesempurnaan iman. Persoalannya, apakah hakikat sebenar cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW? Adakah cinta itu cukup sekadar pengakuan di bibir dan perasaan di hati, atau adakah cinta ini menuntut sesuatu yang lebih daripada itu?
Teladan Para Sahabat
Generasi para sahabat telah memberikan contoh yang sangat jelas tentang bagaimana kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW diterjemahkan dalam kehidupan. Mereka bukan sekadar mengungkapkan kecintaan dengan kata-kata, bahkan sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga, kedudukan bahkan nyawa demi mempertahankan agama Allah SWT dan Rasul-Nya.
Abu Talhah RA yang menunjukkan keberanian luar biasa ketika Perang Uhud. Beliau berdiri melindungi Rasulullah SAW daripada serangan musuh dengan tubuhnya sendiri. Beliau menjadikan dirinya perisai, menahan anak panah musuh agar tidak mengenai Rasulullah SAW. Sikap tersebut menggambarkan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW bukanlah kecintaan yang hanya diucapkan, tetapi kecintaan yang melahirkan keberanian, pengorbanan dan kesetiaan.
Hakikat Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya
Cinta pada hakikatnya memerlukan pembuktian. Apabila seseorang benar-benar mencintai seseorang yang lain, kecintaan itu biasanya akan mendorongnya untuk melakukan perkara yang disukai oleh orang yang dicintainya dan menjauhi perkara yang tidak disukainya. Demikian juga kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Cinta yang sebenar tidak sepatutnya berhenti sebagai perasaan, tetapi perlu diterjemahkan melalui ketaatan dan pengorbanan.
Bagaimana seseorang boleh mengatakan bahawa dia mencintai Allah SWT, sedangkan dia enggan mentaati perintah-Nya? Bagaimana pula seseorang mendakwa mencintai Rasulullah SAW, sedangkan dia tidak mahu mengikuti ajaran dan sunnah baginda? Pengakuan cinta yang tidak disertai dengan ketaatan akhirnya menjadi sekadar dakwaan. Oleh sebab itu, cinta yang sebenar akan melahirkan amal. Semakin kuat kecintaan seseorang kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, semakin kuat dorongan dalam dirinya untuk tunduk kepada syariat, melaksanakan kewajipan dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Al-Quran sendiri menghubungkan dakwaan mencintai Allah SWT dengan kewajipan mengikuti Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 31]. Ayat ini memberikan ukuran yang sangat jelas. Cinta kepada Allah SWT dibuktikan dengan ittiba‘ kepada Rasulullah SAW. Mengikuti Rasulullah SAW pula adalah menerima petunjuk baginda dan berusaha menjadikan Islam sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan.
Walau bagaimanapun, cinta kepada Allah SWT tidak bermakna seseorang hanya mempunyai perasaan rindu dan harapan tanpa rasa takut. Kehidupan seorang mukmin dibina atas keseimbangan antara cinta, harapan dan rasa takut kepada Allah SWT. Cinta mendorong seseorang mendekati Allah, harapan membuatkannya tidak berputus asa daripada rahmat-Nya, manakala rasa takut menghalangnya daripada berani melakukan maksiat dan melanggar perintah-Nya.
Cabaran dalam Membuktikan Cinta
Mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW merupakan ibadah yang berasaskan akidah dan kefahaman yang benar. Namun, membuktikan kecintaan tersebut dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah. Seorang Muslim hidup dalam persekitaran yang mempunyai pelbagai nilai, pemikiran dan gaya hidup yang tidak semestinya selari dengan Islam. Tarikan materialisme, budaya individualisme, kebebasan tanpa batas serta kecenderungan menjadikan kehendak manusia sebagai ukuran benar dan salah boleh menyebabkan seseorang semakin jauh daripada panduan wahyu.
Dalam keadaan seperti ini, kecintaan kepada Allah SWT diuji. Adakah kita akan mendahulukan perintah Allah walaupun perintah itu bertentangan dengan kepentingan peribadi? Adakah kita sanggup meninggalkan sesuatu yang haram sedangkan ada masanya keharaman itu menjanjikan keuntungan? Adakah kita tetap berpegang kepada ajaran Islam apabila masyarakat menganggapnya asing? Di sinilah cinta kepada Allah SWT perlu dibuktikan, bukan hanya ketika kita berada dalam keadaan selesa, tetapi ketika kita perlu memilih antara kehendak Allah dengan kehendak diri sendiri.
Begitu juga kecintaan kepada Rasulullah SAW. Pada zaman ini, kecintaan kepada baginda sering dizahirkan melalui selawat, pujian dan sambutan tertentu. Semua itu boleh menjadi ungkapan kecintaan, tetapi kecintaan yang sebenar perlu diteruskan dengan usaha mengenali ajaran baginda, mengikuti sunnahnya dan menjadikan petunjuk yang dibawanya sebagai panduan kehidupan. Jangan sampai kecintaan kepada Rasulullah SAW hanya menjadi slogan, sedangkan ajaran baginda tidak menjadi pedoman dalam menentukan sikap dan tindakan.
Penutup
Marilah kita bertanya kepada diri sendiri, benarkah kita mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW? Jika benar, apakah bukti cinta tersebut dalam kehidupan kita? Jawapannya tidak cukup dengan kata-kata. Kita perlu melihat sejauh mana kita mentaati Allah SWT, mengikuti Rasulullah SAW, meninggalkan larangan-Nya dan bersedia mengutamakan keredhaan-Nya daripada kehendak diri sendiri. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita cinta yang benar kepada-Nya dan Rasul-Nya, menjadikan cinta tersebut sebagai kekuatan untuk terus taat kepada-Nya, mengikuti petunjuk Rasulullah SAW serta memperoleh keredhaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
#CintaAllah #CintaRasul #HakikatIman

