Site icon MuslimahHTM News

Kekayaan Umat Islam Mencukupi untuk Semua, Namun Kekayaan Itu Sebaliknya “Dicuri” atau “Dibakar”

Kekayaan Umat Islam Mencukupi untuk Semua, Namun Kekayaan Itu Sebaliknya “Dicuri” atau “Dibakar”

 

Arab Saudi mengumumkan anggaran rizab sekitar 114 juta tan bijih mineral di projek Jabal Sayid, wilayah Madinah, yang mengandungi mineral nadir bumi dan pekatan uranium. Pengumuman ini dibuat seiring dengan rancangan untuk membangunkan rantaian nilai tempatan yang merangkumi pengeluaran yellowcake (pekatan uranium).

 

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, ketika menyampaikan ucapan bagi pihak Kerajaan Arab Saudi pada Persidangan Agung ke-70 Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, menurut Agensi Berita Saudi (SPA).

 

Menteri tersebut menyatakan bahawa aktiviti penerokaan dan kajian geologi di Jabal Sayid telah menemukan sekitar 114 juta tan bijih mineral yang mengandungi kepekatan tinggi mineral nadir bumi, khususnya unsur-unsur nadir bumi berat, bersama-sama dengan apa yang disifatkannya sebagai deposit uranium yang berpotensi.

 

Menteri itu turut menyatakan bahawa projek-projek perintis yang dijalankan dengan kerjasama syarikat Perancis, Orano, telah menunjukkan petunjuk ekonomi yang memberangsangkan, menurut penilaian pihak Arab Saudi. Kerajaan itu juga meneruskan inisiatif untuk menjalankan tinjauan terhadap lapisan sedimen bagi meneroka lebih banyak deposit uranium daripada sumber konvensional.

 

Dalam bidang nuklear, Abdulaziz bin Salman menegaskan bahawa Arab Saudi sedang berusaha memasukkan tenaga nuklear ke dalam campuran sumber tenaga negara. Beliau turut merujuk kepada perjanjian kerjasama penggunaan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan, yang dikenali sebagai Perjanjian 123, yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Arab Saudi dengan Amerika Syarikat pada Julai lalu.

 

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), menteri tersebut berkata bahawa pelaksanaan aturan perlindungan khusus yang berkaitan dengan kerjasama antara kedua-dua negara akan berada di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan Arab Saudi terus membangunkan sistem kawal selia dan pengawasannya dalam bidang tenaga nuklear.

 

*****

 

Para pemerintah keluarga Al Saud bukan sahaja membazirkan kekayaan umat Islam untuk perkara-perkara yang tidak diredhai Allah, seperti membeli kelab bola sepak atau program perjudian dengan harga yang terlampau tinggi, ataupun membuka tanah Dua Masjid Suci kepada para penari dan individu-individu yang rosak akhlaknya, malah kini mereka mahu mengeksploitasi isu sumber kekayaan seperti uranium untuk membuka ruang kepada lebih banyak “pengaruh” golongan kafir penjajah di negeri tersebut.

 

Hal ini dilakukan dengan melantik mereka sebagai pihak yang mengawasi dan menentukan apa yang dibenarkan untuk dilakukan, termasuk dalam urusan ketenteraan.

 

Alangkah buruknya apa yang telah mereka tetapkan itu!

 

Sumber: Al-Waie [Bahasa Arab], Edisi 484, Tahun ke-41, Jamadilawal 1448 H./Oktober 2026 M.

 

 

Exit mobile version