Site icon MuslimahHTM News

Suami, Jangan Terjerumus ke dalam Cinta Tercela

suami cinta

Suami, Jangan Terjerumus ke dalam Cinta Tercela

 

Oleh: Ustaz Iwan Januar

 

Rumah tangga ialah hubungan antara lelaki dengan wanita yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang. Di mana kedua-duanya hidup bersama dan saling membantu. Tanpa cinta dan kasih sayang, hubungan mereka ibarat hubungan antara dua orang sahabat, atau mungkin juga seperti hubungan antara pekerja dengan majikan. Oleh itu, cinta dan kasih sayang merupakan unsur yang amat penting dalam sesebuah perkahwinan.

 

Namun, di sisi Allah SWT, hubungan antara suami dengan isteri bukanlah semata-mata kerana cinta, sebaliknya asas yang paling utama ialah keimanan. Cinta terhadap manusia, sehebat mana pun cinta itu, tidak mempunyai sebarang nilai jika bertentangan dengan ketaatan kepada Allah SWT. Hal ini termasuklah menghalalkan perkara yang diharamkanNya atau sehingga menyebabkan seorang lelaki menjadi buta kerana cinta, lalu mengabaikan ketaatan dan perjuangan di jalan Allah SWT.

 

Malangnya, dalam catatan sejarah ada merekodkan kisah para lelaki yang sepatutnya menjadi insan yang hebat, tetapi akhirnya menjadi lemah akibat terpedaya oleh cinta daripada seorang wanita. Sejarah Islam mencatatkan kisah seorang tabiin bernama Abdah bin ‘Abdurrahim yang murtad dan menemui su’ul khatimah (pengakhiran hidup yang buruk) kerana dibutakan oleh cintanya terhadap seorang wanita Rom. Wanita tersebut mensyaratkan bahawa Abdah mesti keluar daripada Islam sekiranya ingin mengahwininya.

 

Namun, ditegaskan lagi bahawa di sisi Allah SWT, hubungan antara suami dengan isteri bukanlah semata-mata berlandaskan cinta, sebaliknya asas yang paling utama ialah keimanan.

 

Abdah yang merupakan seorang penghafal al-Quran dan mujahid, seolah-olah melupakan ayat-ayat Allah SWT yang mengecam keras perbuatan murtad. Dia dengan rela hati menggadaikan keimanan, kesolehan dan jihadnya semata-mata demi cintanya terhadap seorang wanita kafir.

 

Akhirnya, Abdah terus terjerumus dalam kemurtadan. Malah, para ulama sejarah mencatatkan bahawa dia kehilangan seluruh hafalan al-Qurannya kecuali dua ayat sahaja.

 

رُبَمَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ كَانُوا مُسْلِمِينَ

“Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.”

 

ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الْأَمَلُ ۖفَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

“Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).” [TMQ al-Hijr (15): 2-3].

 

Tragedi yang menimpa Abdah seharusnya menjadi pengajaran kepada kaum lelaki, khususnya para suami, bahawa tunduk kepada cinta seorang wanita boleh mengheret kepada kejatuhan mereka. Bukannya kemuliaan yang diperoleh, sebaliknya kehinaan yang ditimpakan oleh Allah SWT ke atas mereka.

 

Malangnya, masih ramai lelaki yang gagal mengambil iktibar daripada kisah tersebut. Ramai lelaki menjadi ‘lemah’ di hadapan wanita yang dicintainya. Tidak sedikit dalam kalangan pengemban dakwah yang futur (mengalami kemerosotan semangat) kerana gagal menghadapi ujian cinta. Ada juga yang tidak mampu menahan gejolak cinta yang haram, lalu menjalinkan hubungan cinta sebelum pernikahan berlangsung.

 

Di sana sini, berulang kali berlaku keadaan dimana pendakwah memilih untuk melepaskan kemuliaan kedudukannya di sisi Allah SWT sebagai pengemban dakwah, lalu merendahkan martabat diri dengan menjalinkan hubungan cinta yang haram, iaitu bercinta sebelum berkahwin. Nasihat daripada rakan seperjuangan, malah daripada para ustaz, seolah-olah tidak diendahkan. Mereka seakan-akan melupakan firman Allah SWT:

 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”  [TMQ al-Israa (17): 32]

 

Para pemuda yang belum berkahwin ini kehilangan ketegasannya apabila berhadapan dengan wanita yang dicintai. Mereka lupa bahawa Allah SWT ialah Pemilik segala cinta. Allah SWT akan membalas cinta hambaNya yang mencintaiNya dengan cinta yang berlipat kali ganda.

 

Tragedi cinta yang tercela ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan lelaki bujang, malah turut berlaku dalam kalangan para suami. Ramai kaum lelaki yang telah berumah tangga kehilangan nilai qawwam mereka di hadapan isteri masing-masing. Mereka yang sepatutnya menjadi pemimpin dalam keluarga, tegas dalam menegakkan disiplin dan memastikan ketaatan kepada Allah SWT, sebaliknya diperlakukan dengan hina oleh isteri sendiri. Ironinya, mereka tidak merasa diri mereka dihina. Sekali lagi, semuanya kerana dibutakan oleh cinta (atau kerana takut?!)

 

Ada lelaki yang hanya menurut segala kehendak isteri mereka. Kehidupan mereka dikawal sepenuhnya oleh isteri tanpa sebarang tentangan mahupun sepatah kata bantahan. Mereka ibarat lelaki-lelaki di dalam siri komedi satira Suami-Suami Takut Isteri. Sifat kelelakian mereka seolah-olah telah lenyap, sehingga hanya terserlah ketika memenuhi keperluan biologi semata-mata!

 

Ada suami yang sanggup mengorbankan peluang untuk menjadi insan yang mulia di akhirat kelak, malah melepaskan kedudukannya sebagai pejuang di jalan Allah SWT semata-mata kerana hanya menurut kehendak isterinya. Mereka ibarat tikus buta yang dipermainkan oleh kucing nakal; bukan untuk dibunuh, tetapi sekadar untuk dipermainkan sahaja.

 

Para suami sebegini lupa bahawa Allah SWT telah mengingatkan mereka agar tidak meletakkan kasih sayang terhadap keluarga melebihi kecintaan kepada Allah SWT, RasulNya dan perjuangan di jalanNya.

 

Katakanlah (wahai Muhammad):”Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” [TMQ at-Taubah (9):24]

 

Malah, kerana cinta mereka buta dan hilang pertimbangan, mereka sanggup bertindak kejam terhadap ibu bapa dan keluarga sendiri. Mereka mengorbankan hubungan silaturahim demi isteri. Sedangkan penghulu umat ini, Saidina Muhammad SAW, telah memberikan peringatan tegas kepada para suami agar tidak tunduk kepada kehendak isteri sehingga menderhakai ibu kandung sendiri:

 

…وَأَطَاعَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ… فَلْيَرْتَقِبُوا عِنْدَ ذَلِكَ رِيحًا حَمْرَاءَ وَزَلْزَلَةً وَخَسْفًا وَمَسْخًا وَقَذْفًا وَآيَاتٍ تَتَابَعُ كَنِظَامٍ بَالٍ قُطِعَ سِلْكُهُ فَتَتَابَعَ

 

“…dan seorang suami mentaati (tunduk kepada) isterinya serta menderhakai ibunya… Maka, pada ketika itu, tunggulah kedatangan angin merah, gempa bumi, tanah runtuh (penenggelaman bumi), perubahan rupa (menjadi buruk), hujan batu serta tanda-tanda (kiamat) yang datang berturut-turut, umpama seutas rantai yang terputus lalu permata-permatanya gugur satu demi satu.” [HR At-Tarmizi]

 

Wahai para suami, marilah kita bermuhasabah diri. Adakah kita telah menjalankan tanggungjawab sebagai qawwam (pemimpin keluarga), atau sebaliknya tunduk kepada desakan demi desakan daripada isteri? Benar, isteri wajib dilayan dengan penuh cinta dan kasih sayang, tetapi tidak bermakna suami perlu akur sepenuhnya kepada isteri. Menuruti semua keinginan isteri, apatah lagi sehingga menjadi insan yang akhirnya mendapat celaan daripada Allah SWT.

 

Sekiranya perkara itu telah berlaku, maka perbaikilah diri. Seorang suami memikul amanah yang besar di hadapan Allah SWT terhadap isteri dan anak-anaknya. Antaranya termasuklah memimpin mereka agar sentiasa taat kepadaNya, mewujudkan suasana kehidupan yang tenang dengan ibadah, serta terus bersemangat memperjuangkan agama Allah SWT.

 

Nyalakan bara keberanian untuk membetulkan kesilapan isteri dengan cara yang makruf, dan jangan biarkan bara itu padam. Apabila isteri membantah dan ingkar, maka didiklah (ta’dib) isteri mengikut tuntunan syariat Islam agar dia menjadi isteri yang solehah di sisi suaminya.

 

Namun, jika isteri tetap memilih untuk menderhakai suami yang mencintai Allah SWT, maka para suami tidak perlu berasa cemas atau ragu-ragu. Sesungguhnya, mudah bagi Allah SWT untuk menggantikan mereka dengan wanita-wanita yang mulia dari mana sahaja. Lebih-lebih lagi, para Al-Huril-Ain, iaitu wanita penghuni syurga, dikatakan telah memberikan amaran keras kepada para isteri yang ingkar agar tidak mengganggu suami-suami yang soleh, kerana kelak suami mereka akan hidup bersama para Al-Huril-Ain tersebut.

 

 

لاَ تُؤْذِي امْرَأَةٌ زَوْجَهَا فِي الدُّنْيَا إِلاَّ قَالَتْ زَوْجَتُهَا مِنَ الْحُوْرِ الْعَيْنِ: لاَ تُؤْذِيْهِ قَاتَلَكِ اللهُ، فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَكِ دَخِيْلٌ يُوْشِكُ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا

 

“Tidak ada seorang wanita yang menyakiti suaminya di dunia ini, kecuali isterinya dari Al-Huril-Ain berkata: ‘Jangan sakiti dia, semoga Allah membinasakanmu, dia hanyalah tamu di sisimu, segera dia akan pergi darimu kepada kami.’” [HR At-Tirmidzi]

 

Jadi, apakah yang menyebabkan kalian lebih tunduk kepada isteri berbanding kepada Allah SWT, wahai akhi?

 

 

#suami #keluarga #cinta #ujiankeluarga

Exit mobile version