Site icon MuslimahHTM News

Ulama adalah Rakan Kongsi Pemimpin dalam Menegakkan Keadilan

[Siri Ulama Wajib Meluruskan Pemimpin]

Ulama adalah Rakan Kongsi Pemimpin dalam Menegakkan Keadilan

 
Ulama dan pemimpin seharusnya membina hubungan yang berteraskan ketakwaan dan tanggungjawab. Bukan hubungan yang menjadikan ulama sebagai alat pengesah (stempel) bagi setiap dasar pemimpin. Pemimpin memerlukan ulama yang berilmu, jujur dan berani menyampaikan kebenaran. Manakala, ulama memerlukan ruang untuk menasihati, menegur dan mengingatkan pemimpin tanpa perlu kehilangan kebebasan untuk menyampaikan perkara yang haq.

 

Kerjasama antara kedua-duanya hanya akan bermakna jika diarahkan kepada matlamat yang sama, iaitu bersama-sama mencari keredhaan Allah SWT. Pemimpin tidak boleh menjadikan kekuasaan sebagai sarana untuk bersikap sombong. Sedangkan ulama pula, tidak boleh menjadikan ilmu sebagai alat untuk mencari kedudukan atau keuntungan duniawi. Kedua-duanya perlu memahami bahawa amanah kekuasaan dan amanah ilmu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

 

Oleh itu, kritikan yang benar tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman. Nasihat yang disampaikan dengan ikhlas tidak sepatutnya dibalas dengan penghinaan. Ulama juga tidak boleh meninggalkan kewajipan amar makruf nahi mungkar hanya kerana pihak yang dinasihati ialah pemimpin.

 

Pada akhirnya, ukuran kejayaan sesebuah pemerintahan bukanlah pada sejauh mana pemimpin sering dipuji, tetapi pada sejauh mana amanah kekuasaan digunakan untuk menegakkan keadilan dan melindungi rakyat. Manakala, ukuran kejujuran ulama bukanlah pada sejauh mana hubungan mereka dengan pemimpin, tetapi pada sejauh mana mereka tetap berpegang teguh pada kebenaran ketika berhadapan dengan kekuasaan.

 

Ulama dan pemimpin hendaklah menjadi rakan dalam menegakkan keadilan, bukan rakan dalam membenarkan kezaliman. Hal ini kerana kekuasaan tanpa nasihat boleh kehilangan arah, manakala ilmu tanpa keberanian untuk menyampaikan kebenaran boleh kehilangan fungsi sosialnya. Kedua-duanya perlu saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran agar amanah yang diberikan oleh Allah SWT tidak berubah menjadi sarana kezaliman.

 

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali telah mengingatkan tentang kaitan antara kerosakan pemimpin dengan kerosakan ulama, terutama apabila para ulama telah dikuasai oleh kecintaan terhadap harta dan kedudukan sehingga tidak lagi berani menegur pemimpin. Beliau menyatakan:

 

فَفَسَادُ الرَّعَايَا بِفَسَادِ الْمُلُوُكِ وَفَسَادُ الْمُلُوْكِ بِفَسَادِ الْعُلَمَاءِ وَفَسَادُ الْعُلَمَاءِ بِاسْتِيْلاَءِ حُبِّ الْمَالِ وَاْلجَاهِ
“Kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpin. Kerosakan para pemimpin disebabkan oleh kerosakan para ulama. Kerosakan para ulama pula berlaku apabila mereka dikuasai oleh kecintaan terhadap harta dan kedudukan.” (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum ad-Din, 2/357).
Dengan demikian, para ulama mempunyai tanggungjawab moral untuk membetulkan pemimpin yang telah rosak. Kerosakan pemimpin berlaku apabila mereka melakukan kezaliman. Kezaliman terbesar pemimpin ialah apabila mereka enggan berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT:

 

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“…sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (TMQ al-Ma’idah [5]: 45).

 

Kesimpulannya, para ulama sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar untuk menasihati dan mengingatkan pemimpin agar segera melaksanakan syariah Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Jika tidak, maka sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali, para ulama turut memikul tanggungjawab terhadap kerosakan pemimpin apabila mereka tidak lagi berani menegur pemimpin yang enggan berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT.

 

[Buletin Dakwah Kaffah – Edisi 462]

#MuhasabahPemimpin #Ulama #UlamaTiangPeradabanIslam #Kepimpinan #Dakwah #AmarMakrufNahiMungkar

Exit mobile version