[Perjanjian Antarabangsa] Pakatan Tentera
Penulis: Iyad Hilal
Al-Hilf dari segi bahasa bermaksud persahabatan atau perjanjian. Dikatakan haalafahu iza ‘aahadahu. Kata tersebut jika digunakan mengikut makna istilahnya (yang terus terlintas dalam fikiran kita apabila mendengarnya) digunakan untuk perjanjian-perjanjian tentera yang khusus.
Pakatan pertahanan ialah perjanjian yang dibuat oleh dua buah negara atau lebih yang mewajibkan mereka untuk berperang bersama-sama sekiranya salah satu negara diserang, atau untuk mempertahankan diri, atau kedua-duanya sekali. Kadang-kadang peperangan boleh berlaku apabila keadaan memang memerlukannya. Kadang-kadang ia terhad kepada perundingan dan hubungan sahaja antara setiap pihak untuk menentukan sama ada akan berlaku peperangan atau tidak mengikut kepentingan masing-masing. Semua ini adalah mengikut kesepakatan yang telah dimeterai.
Pakatan pertahanan yang paling menonjol ialah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pakatan Warsaw. Kewujudan pakatan tentera ini menyeret umat Islam untuk meminta bantuan daripada negara-negara kafir di bawah panji mereka atau menyebabkan umat Islam berperang di sisi orang-orang kafir. Kedua-dua keadaan itu diharamkan mengikut syarak dan tidak dibenarkan berdasarkan dalil-dalil yang melarangnya.
Adapun jika umat Islam meminta bantuan daripada orang-orang kafir sebagai sebuah negara atau institusi yang berasingan, dalil-dalil yang menunjukkan keharamannya adalah seperti yang berikut:
- Sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu meminta bantuan api kaum musyrik.” [HR Ahmad dan An-Nasa’i].
Wajh al-istidlal (cara pengambilan kesimpulan daripada dalil) hadis tersebut ialah bahawa Rasulullah SAW telah melarang menjadikan api kaum musyrik untuk menerangi umat Islam. Api ialah kiasan (kinayah) daripada al-harb (perang). Apabila dikatakan auqid an-naar al-harb, maksudnya ialah awjid syararaha wa haijaha. Antaranya ialah firman Allah SWT: “Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya.” [TMQ al-Maidah (5): 64].
Naar at-tahwil ialah api yang dinyalakan oleh Arab Jahiliah apabila mereka membuat perjanjian. Hadis di atas menunjukkan keharaman meminta bantuan daripada orang-orang kafir dan berperang di bawah panji mereka.
- Daripada Ad-Dhahhak bahawa Rasulullah SAW keluar ke Perang Uhud, lalu sepasukan (katibah) Hasnaa atau Hasynaa datang. Rasulullah bertanya: “Siapakah orang-orang ini?” Mereka menjawab: “Kaum Yahudi Fulan dan Fulan.” Baginda lalu bersabda: “Kita tidak meminta bantuan daripada orang-orang kafir.”
Dengan hadis ini, Rasulullah SAW melarang daripada meminta bantuan kepada orang-orang kafir ketika mereka (umat Islam) kuat dan berperang di bawah panji mereka. Sekumpulan kaum Yahudi yang datang kepada Rasulullah itu berbentuk institusi yang berasingan daripada pasukan umat Islam. Oleh sebab itu, dikatakan “lalu datang sepasukan (katibah)” yang menunjukkan bahawa mereka datang dengan membawa panji mereka sendiri. Berdasarkan hal ini, meminta bantuan kepada orang-orang kafir adalah tidak dibenarkan.
- Daripada Abu Humaid as-Sa’idiy, “Rasulullah SAW keluar sehingga beliau sampai di belakang Tsaniyatul Wada’. Apabila datang sepasukan katibah, beliau bertanya, ‘Siapakah mereka itu?’ Para sahabat menjawab, ‘Banu Qainuqa’, kabilah Abdullah bin Salam.’ Rasulullah berkata, ‘Adakah mereka telah memeluk Islam?’ Mereka menjawab, ‘Belum.’ Rasulullah SAW menyuruh mereka untuk pulang seraya bersabda, ‘Sesungguhnya kami tidak meminta bantuan daripada orang-orang musyrik.'”
Mereka pun kemudiannya memeluk Islam. Rasulullah SAW menolak untuk meminta bantuan daripada mereka kerana kedatangan mereka sebagai sepasukan yang membawa panji secara berasingan. Jadi, tidak boleh meminta bantuan kepada mereka disebabkan sifat yang sedemikian.
Inilah dalil-dalil yang menunjukkan keharaman meminta bantuan daripada orang-orang kafir sekiranya mereka berperang dengan membawa panji mereka secara berasingan. Adapun riwayat lain yang menunjukkan keharusan meminta bantuan daripada individu orang-orang kafir, maka nas-nas tersebut tidak bertentangan dengan dalil-dalil ini.
Ini kerana meminta bantuan daripada orang-orang kafir yang berperang di bawah panji dan institusi yang berasingan adalah berbeza dengan meminta bantuan daripada individu-individu mereka yang berperang di bawah panji kita. Antara riwayat yang membenarkan tindakan meminta bantuan daripada individu kafir sekiranya mereka berperang di bawah panji kita ialah bahawa Rasulullah SAW telah meminta (menerima) bantuan daripada seseorang yang bernama Qazman semasa Perang Uhud dan daripada Shafwan bin Umayyah sebelum beliau memeluk Islam.
Terdapat juga riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah menolak untuk meminta bantuan daripada sebahagian individu kaum musyrik. Ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh Aishah, “Rasulullah SAW keluar sebelum berlakunya Perang Badar. Apabila beliau berada di Bahratul Wabrah, beliau disusuli oleh seorang lelaki yang diceritakan sangat berani dan suka membantu.”
Para sahabat pun gembira apabila mereka melihatnya. Apabila lelaki itu sampai, dia berkata kepada Rasulullah SAW, “Aku datang untuk mengikutimu dan berperang bersamamu.” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Adakah engkau beriman kepada Allah dan RasulNya?” Dia menjawab, “Tidak.” Kemudian baginda bersabda, “Hendaklah engkau pulang. Aku tidak akan sekali-kali meminta bantuan daripada seorang musyrik.”
Lelaki itu mengekorinya sehingga sampai di Baida. Rasulullah SAW berkata lagi kepadanya seperti perkataannya yang asal, “Adakah engkau beriman kepada Allah dan RasulNya?” Dia menjawab, “Ya.” Rasulullah lalu bersabda kepadanya, ” (Jika demikian) berangkatlah.”
Riwayat lain berasal daripada Abdurrahman, daripada ayahnya, daripada datuknya yang berkata, “Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika beliau mahu pergi berperang. Aku bersama-sama dengan seorang lelaki daripada kaumku dan kami belum memeluk Islam. Kami lalu berkata, ‘Sesungguhnya kami merasa malu kerana kaum kami berperang dalam satu pertempuran, tetapi kami tidak ikut serta bersama-sama mereka.'”
Rasulullah SAW bersabda, “Adakah kamu berdua mahu beriman?” Kami menjawab, “Tidak.” Baginda bersabda, “Kami tidak meminta bantuan daripada orang-orang musyrik untuk memerangi orang-orang musyrik.” Dia berkata, “Maka kami pun memeluk Islam dan kami turut berperang bersama-sama beliau.”
Riwayat-riwayat ini tidak bertentangan dengan riwayat-riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah meminta bantuan daripada sebahagian individu. Riwayat-riwayat tersebut bermaksud bahawa meminta bantuan daripada orang-orang kafir secara individu diserahkan kepada kebijaksanaan Imam.
Imam boleh meminta bantuan daripada mereka, dan boleh juga tidak. Rasulullah SAW meneliti dengan cermat wajah-wajah orang yang datang kepada beliau dan berharap agar mereka memeluk Islam. Beliau menolak untuk meminta bantuan daripada mereka sehinggalah mereka memeluk Islam. Beliau akhirnya memperoleh apa yang dihajatinya, iaitu mereka memeluk Islam. Rasulullah SAW juga menolak sebahagian daripada mereka kerana mereka mensyaratkan untuk mendapat bahagian harta rampasan perang (ghanimah). Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah.
Kemudian Rasulullah SAW menolak (kehadiran) mereka disebabkan wujudnya syarat tersebut. Sebahagian orang berpendapat bahawa hal itu sebaliknya menunjukkan keharaman meminta bantuan daripada orang-orang kafir walaupun secara individu, melainkan jika mereka sekadar menjadi pembantu (tidak mengangkat senjata) atau seumpamanya. Walau bagaimanapun, Rasulullah meminta bantuan daripada Qazman dan Shafwan bukanlah dengan menganggap mereka sebagai pembantu semata-mata, sebaliknya mereka memang turut berperang bersama-sama beliau.
Semua ini menunjukkan bahawa meminta bantuan daripada orang-orang kafir adalah tidak dibenarkan, melainkan jika mereka hadir secara individu dan berperang di bawah panji kita. Dengan demikian, umat Islam tidak boleh berperang di bawah panji orang-orang kafir. Hal ini juga menunjukkan keharaman pakatan-pakatan tentera.
Adapun pendapat yang menyatakan tentang keharusan pakatan-pakatan tentera berdasarkan dalil sabda Rasulullah SAW: “Kamu akan membuat perjanjian damai dengan Rom secara aman, lalu kamu akan memerangi mereka sebagai musuh.”
Begitu juga tindakan Rasulullah SAW yang telah mengikat perjanjian dengan Bani Khuza’ah. Oleh itu, pendapat sedemikian adalah salah kerana hadis yang mulia tersebut tidak menunjukkan keharusan membuat perjanjian pakatan tentera dengan orang-orang kafir. Sebaliknya, ia menunjukkan keharusan meminta bantuan daripada mereka secara individu, bukannya sebagai sebuah institusi, iaitu dengan cara mereka mematuhi arahan-arahan pemerintah (imam) dan menjauhi larangan-larangannya.
Perjanjian damai yang disebutkan di dalam hadis tersebut bermaksud bahawa pihak Rom bersedia membayar jizyah dan mereka bernaung di bawah perlindungan kekuasaan umat Islam. Ini kerana perjanjian yang dimeterai ialah shulh (perjanjian damai), bukannya hudnah (gencatan senjata). Sementara itu, gencatan senjata tidak menghentikan peperangan.
Lagipun, peperangan tidak akan terhenti melainkan dalam dua keadaan, iaitu mereka memeluk Islam atau mereka bersedia membayar jizyah. Selain daripada itu, apa-apa jua tindakan yang tidak menghentikan peperangan tidak dianggap sebagai shulh. Bahagian akhir hadis menunjukkan perkara tersebut, apabila dinyatakan: “Kemudian mereka pulang sehingga tiba di Maraj Zi Talul.”
Salah seorang daripada kalangan Nasrani telah meninggikan salib seraya berkata, “Salib telah menang.” Hal itu menimbulkan kemarahan seorang lelaki daripada umat Islam, lalu dia meremukkannya. Pada ketika itu juga orang-orang Rom marah dan mereka mengumpulkan potongan-potongan (salib) tersebut.
Hal ini menunjukkan bahawa salib (panji orang-orang kafir) pada ketika itu belum pernah dinaikkan di dalam peperangan. Kaum kafir pada waktu itu berperang di bawah panji Islam, bukannya di bawah panji mereka sendiri. Mengenai perkara ini, tidak ada perbezaan pendapat tentang keharusannya.
Adapun istidlal (penarikan dalil) yang dilakukan oleh almarhum Muhammad Darraz bahawa Rasulullah SAW telah mengikat pakatan tentera dengan Bani Khuza’ah di Hudaibiyyah, maka hal itu adalah tidak benar. Ini kerana perjanjian yang dimeterai bukanlah antara umat Islam dengan Khuza’ah, sebaliknya antara umat Islam dengan Quraisy.
Mengenai Bani Khuza’ah, mereka telah menyertai bahagian perjanjian bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan tidak menganggotai pakatan tentera secara berasingan bersama beliau. Demikian juga Bani Bakr telah menyertai Quraisy dan menjadi sebahagian daripada institusi mereka, tanpa menyertai perjanjian. Oleh yang demikian, Khuza’ah tergolong di dalam institusi umat Islam, bukannya sebuah pakatan tentera yang terpisah daripada mereka.
Tindakan Rasulullah SAW yang meminta bantuan daripada Khuza’ah bukanlah meminta bantuan daripada institusi yang bebas dan terpisah. Sebaliknya, ia merupakan permintaan bantuan kepada kekuatan yang menjadi sebahagian daripada kekuatan negara, bukannya meminta bantuan kepada pihak luar.
Daripada penjelasan di atas, kami menyimpulkan bahawa pakatan-pakatan tentera adalah diharamkan dalam apa jua bentuknya. Ini merupakan keputusan Lembaga Fatwa di Al-Azhar, Kaherah apabila mengharamkan pakatan-pakatan tentera dengan orang-orang kafir serta bergabung dengan mereka. Ini kerana hal ini menjadi sarana (perantara) bagi orang-orang kafir untuk menguasai umat Islam.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa #pakatanketenteraan

