Site icon MuslimahHTM News

[Kenyataan Media] Wahai Macron! Anda Tidak Dialu-alukan di Negeri Kami

[Kenyataan Media] Wahai Macron! Anda Tidak Dialu-alukan di Negeri Kami

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dijadualkan melawat Malaysia pada 16–17 November 2026, yang merupakan lawatan sulungnya ke negara ini sejak menjadi presiden. Menurut Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour, lawatan ini bertujuan meningkatkan hubungan dua hala Malaysia–Perancis kepada tahap perkongsian strategik (Strategic Partnership), dan antara bidang kerjasama yang akan diberi perhatian ialah pertahanan dan keselamatan, aeroangkasa, peralihan tenaga, mineral kritikal, infrastruktur digital, termasuk pusat data dan semikonduktor.

Kami, Hizbut Tahrir / Malaysia (HTM) dengan ini menyatakan bantahan keras terhadap kedatangan Macron biar apa pun alasan kerajaan Malaysia menerima lawatan tersebut, sama ada untuk memperkukuh hubungan diplomatik, perdagangan, pelaburan mahupun kerjasama strategik. Terdapat banyak jenayah Macron dan juga Perancis ke atas Islam dan umatnya, yang menjadikan Macron dan Perancis sebagai musuh Islam, dan tidak wajar diterima kedatangannya di tanah kaum Muslimin:

Pertama: Perancis merupakan negara penjajah yang mempunyai sejarah panjang penjajahan ke atas negeri-negeri umat Islam. Algeria dijajah selama 132 tahun (1830–1962), manakala Tunisia dan Maghribi dikuasai melalui pemerintahan naungan. Di Afrika Barat, Perancis menjajah sejumlah wilayah termasuk Senegal, Mali, Niger dan Mauritania. Syria dan Lubnan pula diletakkan di bawah pentadbiran mandat Perancis selepas Perang Dunia Pertama. Penjajahan tersebut bukan sekadar penguasaan wilayah, tetapi turut melibatkan penguasaan politik, ideologi, ekonomi serta sumber kekayaan negeri-negeri umat Islam.

Kedua: Macron mempertahankan hak penerbitan karikatur yang menghina Rasulullah (saw). Pada Oktober 2020, Macron mempertahankan hak tersebut atas nama kebebasan bersuara, tanpa menghiraukan kemarahan dan bantahan umat Islam di seluruh dunia. Penghinaan terhadap Allah (swt), Rasul-Nya (saw), Islam dan apa jua syiar Islam adalah suatu yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dikompromi.

Ketiga: Dasar sekularisme Perancis yang diperketatkan menjadikan penduduk Muslim sebagai sasaran dalam menyekat kebebasan beragama umat Islam. Macron menyatakan secara terbuka bahawa Islam merupakan agama yang sedang mengalami krisis di seluruh dunia. Kerajaannya menggubal Undang-undang Menghormati Prinsip-prinsip Republik pada 2021, melaksanakan larangan memakai “Abaya” (jubah) di sekolah awam pada 2023 serta melarang atlet Muslimah yang mewakili Perancis memakai hijab ketika Olimpik Paris 2024. Inilah hipokrasi terbesar Perancis yang kononnya mendukung dan memelihara hak serta kebebasan penduduknya, namun apabila melibatkan umat Islam, hak dan kebebasan tersebut tidak terpakai.

Keempat: Lawatan Macron membawa kepentingan geopolitik yang tidak boleh dipisahkan daripada penjajahan gaya baru. Usaha meningkatkan hubungan Malaysia–Perancis kepada perkongsian strategik merangkumi pertahanan, teknologi, tenaga, mineral kritikal dan infrastruktur digital, tidak boleh dipisahkan daripada sebuah penjajahan bentuk baru. Penjajahan moden tidak semestinya berlaku melalui penaklukan fizikal, tetapi melalui penguasaan politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraan sesebuah negara. Oleh itu, sebarang kerjasama strategik yang memberikan kekuatan kepada kuasa asing sudah tentu menjurus ke arah penjajahan gaya baru yang sangat berbahaya.

Atas dasar itu, Hizbut Tahrir / Malaysia tanpa kompromi menyatakan bantahan terhadap lawatan Macron dan menggesa kerajaan Malaysia membatalkan lawatan ini dengan segera. Sebarang kerjasama strategik dengan kuasa asing, lebih-lebih negara yang jelas memusuhi Islam dan umatnya, bukan sahaja akan membuka ruang kepada kepentingan dan penguasaan asing terhadap negara, bahkan jelas merupakan sebuah keharaman. Lebih buruk jika kerjasama strategik tersebut menjadikan Malaysia bergantung kepada orang-orang kafir, dan memberi kekuatan kepada orang-orang kafir ke atas orang-orang Islam. Firman Allah (swt):

﴿وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا﴾
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].

Kita perlu ingat bahawa sehingga sekarang Perancis tidak pernah memohon maaf di atas jenayah, kejahatan dan penghinaannya ke atas Islam. Sebaliknya, ia terus menunjukkan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya. Sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan berpendirian tidak akan mengalu-alukan kedatangan musuh kecuali jika musuh datang untuk memohon maaf dan mendengar Kalamullah. Justeru, kami ingin tegaskan bahawa kami tidak mengalu-alukan sedikit pun kedatangan Macron ke bumi Malaysia.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia

Exit mobile version