Site icon MuslimahHTM News

Pemuda Al-Kahfi Jadi Teladan Generasi Muda Teguh Akidah

gap generation pemuda muslim pemuda al-kahfi

Pemuda Al-Kahfi Jadi Teladan Generasi Muda Teguh Akidah

 

Oleh: Aliya Ab Aziz

 

Hidayah Muhammad mengingatkan bahawa keteguhan akidah pemuda Al-Kahfi perlu dijadikan teladan oleh generasi Muslim hari ini.

 

“Pemuda pada ketika tu walaupun ditekan dengan raja yang zalim, tapi mereka tetap berpegang teguh pada akidah,” cerita Aktivis Muslimah HTM itu dalam program Open Circle Sahabat Muslimah Siri: Muda & Teguh | Episod 2 bertajuk Muda Bukan Alasan Hilang Arah, pada 7/11/2026 (Sabtu).

 

Beliau berkata demikian ketika menyorot surah Al Kahfi yang menceritakan tentang kisah tujuh pemuda yang memperlihatkan keberanian dalam mempertahankan keimanan.

 

Menghubungkan teladan itu dengan keadaan semasa, Hidayah mengajak generasi Muslim menolak label-label generasi serta pengaruh cara hidup yang boleh menjauhkan daripada Islam.

 

Serunya, “Apa yang kita boleh buat adalah menolak label Barat dan budaya cara hidup sekularisme, liberalisme, hedonisme dan sebagainya. Jadi nak tolak benda tu tadi, kena ada keyakinan ataupun akidah yang kuat.”

 

Beliau turut mengingatkan bahawa mencontohi pemuda Al-Kahfi bukan bermaksud golongan muda hari ini perlu mengasingkan diri daripada masyarakat, sebaliknya memilih pergaulan yang baik.

 

“Takkan kita nak masuk gua ataupun takkan kita nak menyendiri, takkan kita nak lari daripada masyarakat? Tak. Tapi apa yang kita boleh buat, dalam masa yang sama tadi, pilih circle yang baik, pilih circle yang boleh membawa kepada kebaikan,” katanya.

 

Selain memilih pergaulan, Hidayah menekankan pentingnya keberanian mempertahankan pendirian walaupun seseorang dianggap tidak mengikuti perkembangan atau trend semasa.

 

“Tak apalah kalau kita dianggap tak up to date, kalau kita tak ikut trend tu. Tak apalah kalau kita dianggap ketinggalan zaman,” nasihatnya.

 

Empat Kriteria Pemuda Muslim

 

Dalam membentuk generasi sedemikian, beliau menggariskan empat kriteria pemuda menurut perspektif Islam.

 

“Yang pertama dia kena berimanlah. Maksudnya beriman tu adalah tadi dia menjadikan akidah tu sebagai asas kehidupan,” katanya.

 

Kedua, sentiasa menuntut ilmu dan berfikiran kritis.

 

Beliau menjelaskan bahawa pemuda yang berilmu tidak sepatutnya melihat sesuatu masalah pada permukaan sahaja.

 

“Dia bukan berfikir hanya setakat, `oh masalahnya cuma itu’, tapi cari apa punca sebenar, apa punca kepada masalah yang berlaku. Dia bukan stop ambil tahu,” jelasnya.

 

Ketiga, berakhlak.

 

Katanya, “Menuntut keselarasan antara pemikiran dengan perbuatan berdasarkan hukum syarak”.

 

Manakala keempat, pemuda perlu berimpak pada masyarakat.

 

“Dia kena peduli masyarakat dengan mengajak kepada kebaikan serta menyumbang kepada masyarakat. Apa yang dia boleh sumbangkan?” soalnya mengajak hadirin berfikir.

 

Pada akhir pembentangan, Hidayah mengingatkan bahawa usia muda bukan alasan untuk menangguhkan kebaikan atau mengabaikan tanggungjawab terhadap setiap perbuatan.

 

“`Tak apa lah nantilah kita bertaubat, nantilah. Sekarang kan umur masih muda, kita enjoy dulu’. Tak. Tapi satu pesanan bahawa setiap apa yang kita buat akan dipertanggungjawabkan walaupun sekecil-kecil perkara,” tutupnya memperingatkan. []

 

 

#GapGeneration #GenZ #Millenial #PemudaKahfi #PemudaMuslim #GenerasiMuslim #AyuhUmatBangkit

Exit mobile version