Site icon MuslimahHTM News

Teladan Dakwah

sahabat teladan dakwah abu dzar mus'ab muadz thufail

Teladan Dakwah

 

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

 

Tidak ada warisan yang lebih agung yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada umat ini selain risalah Islam. Itulah yang mengubah manusia daripada kegelapan menuju cahaya.

 

Risalah baginda tidak berhenti ketika baginda wafat. Ia terus mengalir melalui bahu orang-orang yang mencintai baginda dan bersedia melanjutkan perjuangan baginda.

 

Para sahabat memahami bahawa cinta sejati kepada Rasulullah SAW menuntut keberanian untuk memikul beban dakwah yang dulu dipikul baginda. Mereka rela meninggalkan keluarga, harta, bahkan mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan kalimat yang dibawa oleh baginda—Lâ ilâha illalLâh—ke seluruh penjuru dunia.

 

Di antara mereka adalah Mus’ab bin Umair RA. Di Mekah, tidak banyak pemuda yang hidup semewah dia. Pakaiannya paling indah. Tubuhnya sentiasa harum. Kehidupannya bergelumang kenikmatan.

 

Akan tetapi, semua itu berubah ketika cahaya Islam menyentuh hatinya. Setelah memeluk Islam, Mus’ab perlu menghadapi kemarahan keluarganya. Dia dikurung, diasingkan, bahkan ditarik segala kemudahan hidupnya. Pemuda yang dahulu hidup dalam kemewahan kini hanya memiliki pakaian yang sederhana.

 

Kehilangan dunia tidak membuatkan dirinya menyesal. Sebab, dia telah menemukan sesuatu yang jauh lebih berharga: iman kepada Allah dan cinta kepada Rasulullah SAW.

 

Melihat kecerdasan, kelembutan dan kematangannya, Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai duta dakwah pertama dalam sejarah Islam. Beliau diutus ke Yathrib (Madinah) sebelum peristiwa hijrah untuk mengajarkan Al-Quran dan Islam kepada penduduknya. Dengan tutur kata yang lembut, hikmah yang mendalam dan akhlak yang mulia, Mus’ab berjaya membuka hati ramai orang.

 

Ketika Rasulullah SAW akhirnya hijrah ke Madinah, baginda mendapati sebuah kota yang telah bersedia menyambut Islam. Di sebalik kesediaan itu terdapat kerja dakwah seorang pemuda yang rela menukar seluruh kenikmatan dunia dengan keredhaan Allah. Itulah Mus’ab bin Umair.

 

Berikutnya Muaz bin Jabal RA: Menjelang akhir kehidupan Rasulullah SAW, Islam telah tersebar ke pelbagai penjuru Jazirah Arab. Ketika itulah Rasulullah SAW memilih seorang sahabat muda yang alim untuk memikul amanah besar. Dialah Muaz bin Jabal. Semasa keberangkatannya ke Yaman, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum daripada Ahlul Kitab. Hendaklah yang pertama kali engkau serukan kepada mereka adalah agar mereka mentauhidkan Allah.”

 

Setibanya di Yaman, Muaz tidak datang sebagai penguasa yang dahagakan kekuasaan. Dia hadir sebagai guru, pendidik dan pembimbing umat. Ilmunya, kelembutannya dan keteladanannya membuatkan ramai orang menerima Islam dengan lapang dada.

 

Seterusnya, Abdullah bin Mas’ud RA. Pada masa-masa awal Islam, kaum Muslim belum berani membaca al-Quran dengan suara keras di hadapan kaum Quraisy. Ancaman penyeksaan terlalu besar.

 

Di tengah suasana itu, dia justeru berdiri dengan penuh keberanian. Dia menuju dataran Kaabah, lalu membaca permulâan surah ar-Rahman dengan suara yang lantang. Para pembesar Quraisy terkejut. Mereka segera mengerumuninya, memukul wajah dan tubuhnya sehingga berdarah. Akan tetapi, Abdullah bin Mas’ud tidak menghentikan bacaannya. Semakin kuat mereka memukul, semakin teguh dia melantunkan ayat-ayat Allah.

 

Sekembalinya kepada para sahabat, tubuhnya penuh luka. Mereka berkata, “Inilah yang kami khuatirkan akan menimpa dirimu.”

 

Akan tetapi, Abdullah bin Mas’ud menjawab dengan penuh keyakinan, “Demi Allah, musuh-musuh Allah tidak pernah terasa lebih hina di mataku daripada hari ini. Jika kalian mahu, esok aku akan mengulanginya lagi.”

 

Seterusnya, Abu Dzar al-Ghifari RA. Ketika mendengar berita tentang munculnya seorang nabi di Mekah, dia segera berangkat untuk mencari kebenaran. Setelah bertemu dengan Rasulullah SAW dan menyatakan keislamannya, dia sebenarnya diminta agar kembali kepada kaumnya sehingga datang perintah berikutnya.

 

Akan tetapi, sebelum pulang, Abu Dzar tidak mampu menyembunyikan keimanannya. Dia berdiri di dataran Kaabah kemudian mengucapkan syahadat di hadapan para pembesar Quraisy. Seketika mereka mengepungnya sehingga dia hampir meninggal dunia. Seandainya dia tidak dilindungi oleh ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib waktu itu, mungkin Abu Dzar telah gugur ketika itu.

 

Setelah kembali ke kabilah Ghifar—yang dikenali sebagai kabilah para penyamun laluan perdagangan—Abu Dzar tidak menikmati keislamannya sendirian. Dia berdakwah dengan penuh kesabaran kepada keluarganya, kemudian kepada seluruh kaumnya.

 

Daripada lisannya yang jujur dan akhlaknya yang istiqamah, Allah memberi hidayah kepada ramai orang. Sebahagian besar Bani Ghifar akhirnya memeluk Islam, kemudian disusuli oleh kabilah Aslam.

 

Berikutnya Ath-Thufail bin ‘Amr ad-Dausi RA: Di antara tokoh Arab yang memeluk Islam melalui dialog langsung dengan Rasulullah SAW adalah dirinya. Sebelum bertemu dengan Rasulullah SAW, kaum Quraisy telah memperingatkan dirinya agar tidak mendengarkan perkataan Muhammad SAW. Bahkan mereka menakut-nakutkan dia dengan pelbagai ancaman.

 

Akan tetapi, Ath-Thufail memilih untuk mendengar sendiri. Sejurus mendengar bacaan al-Quran daripada Rasulullah SAW, dia berkata, “Demi Allah, aku adalah seorang penyair dan orang yang berakal. Aku mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan.”

 

Hatinya pun luluh. Dia segera masuk Islam. Setelah memeluk Islam, dia memohon izin kepada Rasulullah SAW untuk kembali kepada kaumnya sebagai dai.

 

Mula-mula hanya sedikit yang menerima dakwahnya. Bahkan dia sempat kembali kepada Rasulullah SAW dan meminta agar kaumnya didoakan dengan kebinasaan. Akan tetapi, Rasulullah SAW justeru mengangkat kedua tangan baginda seraya berdoa, “Ya Allah, berilah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepada Islam).”

 

Ath-Thufail kembali dengan semangat baru. Dia terus berdakwah tanpa mengenal lelah. Beberapa tahun kemudian, dia datang ke Madinah bersama puluhan bahkan ratusan orang dari kaumnya yang telah memeluk Islam.

 

Demikianlah. Secebis kisah-kisah para sahabat di atas mengajarkan bahawa dakwah tidak memiliki satu wajah. Akan tetapi, semuanya berjalan dengan alasan yang sama: meneladani dakwah Rasulullah SAW sebagai tanda bukti cinta sejati mereka kepada baginda.

 

Lalu bagaimana dengan kita?

 

Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.

 

 

#DakwahIslamKaffah #muhasabah #refleksi #KeteladananDakwahSahabat #Sahabat

 

Exit mobile version