Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lathaif al-Ma’arif berkata, “Ahli zikir itu ada dua. Pertama, ada yang kembali kepada hawa nafsunya setelah meninggalkan majlis zikir. Kedua, ada yang mendapatkan manfaat dari majlis zikir, ini ada banyak jenisnya.”
Dalam Sahih Muslim, ada kisah yang masyhur tentang seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Handzalah yang diberi gelaran Al-Ghasil (orang yang dimandikan oleh malaikat). Dia berkata jujur kepada Nabi ﷺ bahawa setelah meninggalkan majlis Nabi ﷺ, banyak yang lupa kerana kesibukan dunia. Nabi ﷺ menjawab, “Jika hatimu tetap seperti ketika kamu zikir maka para malaikat akan memberi salam kepadamu bahkan ketika kalian di jalanan.”
Apa yang menarik, kata Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, ada orang yang hatinya terus menghadirkan zikir sepanjang harinya. Ini ada dua: Pertama, orang yang sibuk dengan zikir sehingga meninggalkan urusan dunia yang mubah. Dia terasing dari makhluk.
Kedua, orang yang hatinya dipenuhi zikir kepada Allah tetapi fizikalnya berinteraksi dengan dunia dan makhluk. Mereka ini seperti orang yang mengajar ilmu agama, berjihad, beramar makruf dan nahi mungkar, berdakwah dan mereka ini adalah orang yang paling mulia di antara dua kategori di atas.
Mereka inilah yang disebut oleh Saidina Ali Radhiya-Llahu anhu,
صحبوا الدنيا بأبدان وأرواحها معلقة بالمحل الأعلى
“Mereka bersama-sama dunia dengan fizikal (raga) mereka, sementara roh-roh mereka diikat pada kedudukan yang tertinggi.”
Demikianlah karamah dan kedudukan pengemban dakwah. Al-Hafiz Ibn Rajab menggelarkan mereka sebagai para pengganti Rasul (khulafa’ ar-Rasul) kerana tugas mengemban risalah itu mereka laksanakan. Bukan hanya itu, semua penghuni langit dan bumi sehingga ikan paus di dalam lautan mendoakan dan memohon keampunan untuk mereka.