Pada musim pandemik ini, bukan sekadar wabak penyakit Covid-19 yang dirisaukan mengancam kesihatan anak-anak, malah penyakit tidak berjangkit lain turut menjadi kebimbangan ibu bapa. Manakan tidak bila cara hidup dan persekitaran berubah, pastilah sedikit sebanyak memberi kesan kepada manusia, apatah lagi kepada kanak-kanak. Misalnya obesiti.
Dalam tinjauan NHMS 2019 mendapati 29.8 peratus kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan temasuk obes. Dilaporkan 14.8 peratus adalah obes manakala selebihnya merupakan berlebihan berat badan. Menurut Dr Norliza Ahmad (Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, UPM): “Ramai kanak-kanak menghadap skrin seperti permainan komputer, tablet, televisyen melebihi dua jam sehari. Tempoh masa yang lama itu dikaitkan dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Masalah ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak yang obes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi pada usia muda selain berkemungkinan menjadi orang dewasa obes. Keadaan ini seterusnya mendedahkan mereka untuk menghadapi masalah kesihatan kronik lebih awal yang boleh menjejaskan produktiviti mereka”. [1]
Sepanjang tempoh #stayhome pelaksanaan sekatan pergerakan, aktiviti isi rumah turut menjadi terhad dan berubah pola hidup seharian. Tiada lagi aktiviti sosial diluar rumah menjadikan tahap keaktifan fizikal menurun berbanding kebiasaan. Bahkan gaya pemakanan turut terjejas sama ada berlebihan dari kebiasaan, atau amalan makanan tidak sihat atau tidak seimbang, atau kurang daripada biasa. Pada peringkat awal sekatan pergerakan dilaksanakan kita menyaksikan ramai yang berkongsi aneka makanan dan jenaka `buka peti, ulang alik ke dapur’ di media sosial. Sedikit sebanyak situasi ini memberikan gambaran bagaimana masyarakat mengalih perhatian mereka kepada keseronokan dunia makanan, seolah-olah terlupa implikasinya terhadap kesihatan jangka panjang. Implikasi itu termasuklah obesiti dan lain-lain penyakit tidak berjangkit akibat amalan pemakanan tidak sihat ini. Trend obesiti sedia ada yang semakin menaik sebagaimana yang dikemukan oleh Dr Norliza di atas sedikit sebanyak sebenarnya memberi gambaran bagaimana masalah kesihatan ini semakin relatif memburuk dengan berubahnya gaya hidup dan amalan pemakanan masyarakat sepanjang tempoh pandemik.
Selain itu, berlawanan dengan obesiti, sebahagian masyarkaat turut mengalami masalah kekurangan nutrisi. Hal ini merupakan impak dari peningkatan jumlah kes kemiskinan global akibat pandemik. Seperti yang kita sedia maklum, isu kemiskinan global masih merupakan masalah yang berlarutan di seluruh dunia. Hampir di seluruh dunia mempunyai golongan ini baik di negara maju, membangun mahupun negara miskin. Kelompok miskin umumnya sering berdepan dengan masalah keperluan asas seperti kekurangan makanan, air minuman bersih, penempatan, pakaian dan isu sanitasi serta hidup dalam keadaan getir sejak sebelum pandemik melanda. Justeru dengan berlakunya pandemik memburukkan lagi keadaan mereka. Malah berisiko menjerumuskan banyak kelompok masyarakat ke kancah kemiskinan tegar. Impak sama turut menimpa kelompok masyarakat sederhana. Hal ini bertepatan dengan realiti meningkatnya kadar kemiskinan semasa hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian:
“Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun lepas berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada 2019. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik berkata, kerajaan juga menganggarkan bahawa jumlah kemiskinan isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada 405,000 pada 2019 kepada 640,000 pada tahun lepas”. [2]
Memetik CePSASD dalam salah satu artikelnya: “Sebelum COVID 19, golongan pelajar khususnya dalam kalangan keluarga miskin sebilangannya mendapat bantuan makanan yang sihat di sekolah. Bagi pelajar sekolah rendah, peruntukan lebih daripada 280 juta yang mensasar lebih daripada 480 ribu orang pelajar tidak dapat dimanfaatkan sepenuh disebabkan penutupan sekolah yang tidak menentu sepanjang tempoh 2020 dan 2021. Manakala diperingkat sekolah menengah, makanan yang disediakan diasrama dengan subsidi kerajaan yang membantu meningkatkan nutrisi pelajar khususnya daripada keluarga miskin juga tidak dapat dimanfaat disebabkan COVID 19. Sudah pastilah, ramai golongan pelajar yang terjejas nutrisi mereka disebabkan perkara ini. Ibu bapa yang terjejas sumber pendapatan sudah pastilah tidak dapat menyediakan makanan yang berzat kepada anak-anak mereka dan lebih menyedihkan golongan ini juga mungkin tercicir dari sudut pembelajaran”. [3]
Dua kenyataan ini adalah realiti pahit tapi benar yang menimpa negara kita pada hari ini. Dengan meningkatnya kadar kemiskinan telah memberi gambaran jelas pertambahan keluarga miskin yang memerlukan bantuan asas, serta ramainya kanak-kanak terjejas nutrisi mereka sepanjang tempoh krisis pandemik ini berlangsung.
Seterusnya, antara kesan krisis pandemik yang membimbangkan, malah tidak keterlaluan untuk kita katakana mimpi ngeri ibu bapa adalah lonjakan penyakit mental termasuklah kes bunuh diri dikalangan anak-anak. Masalah kesihatan mental dikalangan kanak-kanak terjadi semasa pandemik ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya adalah perubahan drastik gaya hidup dan faktor lain seperti keadaan persekitaran keluarga (tekanan perasaan, konflik kekeluargaan, isu domestik, terkurung dalam rumah yang sempit sepanjang tempoh sekatan pergerakan, masalah pembelajaran, kesan negatif budaya digital, kewangan, tekanan orang dewasa). Hal ini sebenarnya sangat memberi kesan kepada pskisosial kanak-kanak bahkan mampu `membunuh’ kewarasan anak dalam diam.
Menurut laporan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) bertajuk `The State of the World’s Children 2021; On My Mind: promoting, protecting and caring for children’s mental health’: Sekurang-kurangnya 1 daripada 7 orang kanak-kanak serta golongan muda di seluruh dunia hidup “terkurung di dalam rumah” hampir sepanjang masa pada tahun 2020. Keadaan ni menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan merasa terpinggir. [4] Manakala di Malaysia pula, berdasarkan statistik PDRM pada Julai 2021, kes bunuh diri melibatkan seramai 281 lelaki dan 1,427 wanita berlaku pada 2019 hingga Mei 2021. Kebanyakan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun berjumlah 872 orang. Manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun seramai 668 orang. [5]
Realiti di atas hanya secuil dari banyak lagi rincian parahnya realiti cabaran kesihatan yang dihadapi oleh generasi kita sepanjang krisis pandemik ini berlangsung. Krisis kesihatan ini jika dibiarkan atau lambat ditangani secara tuntas pasti lambat laun akan mengakibatkan korban dan kerugian besar populasi generasi muda. Persoalannya, selain daripada faktor pandemik, apakah sebab sebenar yang menyebabkan generasi kita menjadi sangat rentan dalam menghadapi perubahan cara hidup? Persoalan ini wajar kita fikirkan secara mendalam kerana punca atau akar permasalahan ini bukanlah hal yang baru terjadi. Sebaliknya ketiga-tiga masalah kesihatan ini merupakan masalah sedia ada dan sedia parah sebelum pandemik lagi.
Teruskan mengikuti kempen ini untuk mengikuti perbincangan selanjutnya.
Sumber:
(1) https://hpupm.upm.edu.my/article/trend_obesiti_di_malaysia_menggerunkan-57186
(2) https://www.sinarharian.com.my/article/160438/BERITA/Nasional/Kadar-kemiskinan-negara-meningkat-84-peratus-pada-2020
(3) https://cepsasdkedah.com/2021/07/29/masalah-nutrisi-dalam-kalangan-pelajar-miskin-di-ambang-covid-19/
(4) https://www.bernama.com/bm/rencana/news.php?id=2011068
(5) https://www.journalmalaysia.com/2021/07/01/statistik-pdrm-dua-kes-bunuh-diri-setiap-hari/