Satu kajian menganggarkan seramai 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia telah kehilangan ibu bapa, penjaga atau datuk dan nenek yang membantu menjaga mereka ketika Covid-19. Penyelidik di sebalik kajian yang diterbitkan Lancet telah menggunakan data kematian Covid-19 dari Mac 2020 hingga April 2021 dan statistik kesuburan negara di 21 negara untuk menghasilkan anggaran di seluruh dunia. Analisis ini termasuklah oleh penyelidik dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), USAID, Bank Dunia dan University College London.
Hasil analisis mendapati lebih daripada 1 juta kanak-kanak mengalami kematian seorang atau kedua-dua ibu bapa dalam tempoh 14 bulan pertama pandemik berlangsung, manakala kira-kira setengah juta kehilangan datuk dan nenek yang menjaga mereka di rumah mereka. Para penyelidik menggesa agar pelaburan segera dilakukan dalam perkhidmatan menyokong kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa semasa pandemik, kerana kanak-kanak ini berisiko tinggi terdedah pada pelbagai isu terkait kesihatan mental, kemiskinan keluarga, dan penderaan fizikal, emosi dan seksual. (thehill.com)
Kehilangan ahli keluarga semestinya mewujudkan kelompongan dalam sesebuah keluarga dan memberi kesan kepada emosi terhadap setiap anggota keluarga. Demikianlah juga nasib yang menimpa kanak-kanak di seluruh dunia apabila mereka kehilangan ibu dan ayah atau salah seorang penjaga akibat pandemik. Ibu bapa merupakan pengemudi utama sesebuah keluarga, kehilangan mereka serentak adalah ibarat sebuah kapal layar tanpa pengemudi, hanyut mengikut gelombang. Atau jika kehilangan salah seorang, menjadikan ia kapal yang tidak lengkap…tanpa pengemudi atau layar atau sauh… yang menjadikan pelayaran kehidupan tetap berisiko dan penuh cabaran serta dugaan. Apatah lagi bilamana anak yang ditinggalkan masih kecil. Anak yang sepatutnya menerima kasih sayang dan penjagaan dari ibu bapa, namun hilang hak tersebut secara tiba-tiba. Situasi ini menjadi kebimbangan dan banyak dikongsikan di media massa seluruh dunia.
Misalnya perkongsian oleh Ebony James yang dilaporkan dalam Utusan (2/6/2021) bagaimana anak-anaknya mengalami perubahan psikologi setelah kematian ayah mereka. Manakala Laura Guerra dan Pamela Anderson menjadi balu diusia muda. Mereka terpaksa berjuang dengan kemelut ekonomi selepas kematian suami mereka. Kini semua tanggungjawab penafkahan dan pengurusan keluarga terpaksa dipikul oleh balu secara sendirian demi membesarkan anak-anak mereka. Dalam laporan sama turut menyatakan komentar dari Emily Smith-Greenaway (Ketua Penyelidik, Universiti California Selatan) bahawa kebanyakan kanak-kanak berdepan dengan kehilangan ibu bapa mereka secara ‘menyendiri dan lebih sukar berbanding sebelum pandemik’. Namun apa yang lebih mengecewakan di AS, kanak-kanak ini dikatakan tidak menerima faedah dan pampasan sebagaimana nasib anak yatim korban tragedi 11 September.
Di Malaysia pula, sehingga akhir September 2021, seramai 4696 kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau pun salah seorang penjaga akibat pandemik ini. Manakala berdasarkan maklumat sehingga 20 September 2021, seramai 154 kanak-kanak menjadi yatim piatu. (Channel News Asia)
Walaupun di Malaysia terdapat bantuan kerajaan kepada anak-anak ini, termasuklah bantuan dari saudara mara terdekat, komuniti dan NGO. Namun kehilangan ibu bapa atau penjaga dalam situasi krisis masih merupakan satu tragedi besar kerana ketidaktentuan ekonomi dan sosial semasa menjadikan gambaran jaminan masa depan bagi anak-anak ini masih suram. Bahkan pada masa sekarang, terdapat sebahagian anak yatim sudah terpaksa menggalas beban pengurusan rumah dan penafkahan sendiri sebaik sahaja kehilangan ibu bapa dan penjaga.
Dari laporan di atas, kita dapati pandemik turut menyumbang kepada perubahan struktur kekeluargaan dan fungsinya. Bila mana sesebuah keluarga kehilangan tonggaknya (ibubapa) sudah pasti ia menjadi struktur yang rentan kerana hilangnya pelindung bagi anak-anak. Hal ini jika tidak ditangani segera, dikhuatiri akan memberi kesan terhadap pertumbuhan generasi serta mempengaruhi keharmonian dan kesejahteraan dalam anggota keluarga. Keluarga yang rapuh, penuh kemelut, kacau bilau, tidak sihat akan menyumbang kepada pelbagai masalah sosial lainnya. Justeru, memulihkan kembali struktur dan fungsi keluarga sangat penting agar ahli keluarga dapat memikul peranan yang sewajarnya dan hidup dalam suasana sejahtera serta harmoni. Terutamanya fungsi kanak-kanak perlu dipelihara dan diberikan hak mereka, tidak dibebankan dengan peranan orang dewasa. Dari keluarga yang sihat mental dan fizikal, harmoni dan bertakwalah pula akan melahirkan masyarakat yang sejahtera dan bertakwa. Demikianlah pentingnya institusi kekeluargaan dalam mempengaruhi pembentukan masyarakat yang berkualiti.
Sumber berita:
1) https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/43000-kanak-kanak-as-kematian-ibu-bapa-akibat-covid-19/
2) Thehill.com
3) https://www.channelnewsasia.com/asia/focus-malaysia-covid-19-children-lost-parents-orphans-2254521