Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semasa musim pandemik, isu keganasan rumah tangga masih hangat dibincangkan. Walaupun berlaku penurunan berbanding tahun sebelum pandemik (2019), namun angka kes keganasan rumah tangga masih ditahap membimbangkan. Menurut laporan, sedari awal PKP dilaksanakan pada Mac 2020 sehingga Disember 2020 dicatatkan 4,110 kes dan daripada Januari hingga Ogos 2021, jumlah kes yang direkodkan adalah 4, 905 kes yang membawa kepada jumlah sebanyak 9,015 kes. Jumlah kes keganasan yang mencecah hampir 10,000 ini sudah cukup untuk menggambarkan situasi institusi kekeluargaan masyarakat kita diambang keruntuhan dan ketidaksejahteraan sepanjang tempoh pandemik justeru memerlukan intervensi dan penyelesaian segera yang tuntas.
Seperti yang kita sedia maklum, kes keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan pasangan dewasa yakni si ibu atau bapa sahaja. Bahkan turut melibatkan anak-anak sebagai sebahagian dari struktur keluarga. Hal ini terbukti melalui laporan Utusan (15/4/2021) menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan penderaan seksual dan emosi terhadap kanak-kanak meningkat antara 2.5 dan 51 peratus kes sepanjang tempoh PKP sejak tahun lalu. Berikut adalah jumlah dan pengklasifikasian kes pada 2020: Penderaan seksual terhadap kanak-kanak 1904 kes, penderaan emosi 171 kes, penderaan fizikal 1459 kes, pengabaian kanak-kanak 1618 kes, dibuang atau tiada ibu bapa 162 kes, dan lain-lain 522 kes.
Tingginya angka keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dalam rumah tangga Ketika pandemik Covid-19 ini disebabkan masyarakat lebih banyak beraktiviti di rumah. Lebih-lebih lagi tatkala pergerakan setiap individu menjadi terhad meletakkan mangsa keganasan sedia ada `terperangkap’ lebih lama bersama pelaku di dalam rumah yang sama. Tak kurang juga, bermunculan kes baru yang dicetuskan oleh perubahan persekitaran dan keadaan semasa seperti kehilangan pekerjaan, tekanan perasaan, masalah kewangan dan lain-lain yang menimpa sejak bermulanya pandemik.
Inilah realiti pahit yang menimpa sebahagian kita sepanjang krisis pandemik melanda. Bagi kes dera dan keganasan terhadap kanak-kanak, golongan ini yang lemah emosi dan fizikal sering menjadi mangsa orang dewasa sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Kesan dari penderaan ke atas kanak-kanak memberikan implikasi terhadap perkembangan mental, fizikal dan pertumbuhan mereka. Implikasi ini jika tidak ditangani dengan baik akan memberikan kesan jangka panjang kepada si anak sehinggalah dia tumbuh dewasa. Malah lebih buruk akan mempengaruhi proses pembinaan potensi mereka. Justeru, apa pun alasan terjadinya segala macam bentuk penderaan ini, baik disebabkan oleh kerakusan, keganasan, tekanan mental dan kecuaian orang dewas, ia bukanlah justifikasi yang boleh diterima. Tidak boleh dinafikan bahawa semua penderaan terhadap kanak-kanak ini hakikatnya berlaku akibat pengaruh lingkungan kehidupan sehari-hari kita yang jauh dari ketakwaan menjadikan orang dewasa seringkali mendepankan nafsu dan emosi dalam bertindak. Termasuklah dalam mengurus hal ehwal anak-anak. Sebagaimana dalam laporan Sinar Harian terkini (13/11/2021) yang diungkapkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff, antara punca penderaan ialah keluarga mengalami masalah kewangan, ibu bapa terlibat kes dadah dan mengalami masalah mental. Hal ini memberikan gambaran keadaan tidak sihat yang wujud dalam keluarga mangsa sehingga mempengaruhi pertimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Walhal ibu bapa sepatutnya berperanan sebagai pelindung kepada anak-anak. Bukan sebagai pemangsa kepada mereka.
Situasi ini terjadi selain daripada faktor individu, tidak dinafikan juga dipengaruhi oleh kegagalan sistemik dalam membentuk institusi keluarga sejahtera dengan model acuan yang benar yakni model kekeluargaan Islam sejati. Sehinggakan kebanyakan tips keibubapaan dan kekeluargaan yang banyak kita temui pada zaman sekarang bercampur baur dengan idea moderat atau tokoh-tokoh yang hanya melandaskan pengetahuan mereka berdasarkan budaya, tradisi, ilmu asing, logik akal dan pengalaman semata. Sehingga akhirnya mencetuskan pemahaman yang keliru dan celaru dalam hal kekeluargaan. Walhal, sistem sosial adalah antara aspek yang sudah ada aturannya dalam Islam. Justeru tips atau model kekeluargaan tidak boleh tidak mestilah didasarkan pada ketetapan syariat Islam atas hal ehwal kekeluargaan itu sendiri bermula dari soal pernikahan, pengasuhan, penafkahan, pendidikan, akhlak, fungsi dan sebagainya. Inilah batu asas yang sepatutnya diutamakan dalam membina model kekeluargaan.
Atas dasar ini, keganasan rumah tangga mesti dipandang serius dan ditangani segera demi kesejahteraan dan keutuhan institusi kekeluargaan Islam dan masa depan generasi kita. Mimpi ngeri yang dilalui oleh sebahagian dari anak-anak kita semasa era pandemik ini mestilah dirawat sepenuhnya agar tidak menjadi halangan kepada tumbesaran mereka. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk memperjuangkan dan bekerja ke arah mewujudkan harapan yang gemilang buat mereka di masa hadapan.
Sumber rujukan berita:
1) https://www.utusan.com.my/…/parlimen-9015-kes…/
2) https://www.utusan.com.my/…/jkm-dedah-5836-kanak-kanak…/
3) https://www.sinarharian.com.my/…/3875-kes-dera-kanak…