Penulis: Nabila Ummu Anas
Setelah melengkapkan perjanjian damai dengan Mesir, Amr bin Ash beserta pasukan kaum Muslimin meneruskan ekspedisi mereka menuju Iskandariah. Iskandariah merupakan salah satu kota termegah bangsa Romawi, nombor dua setelah Kota Rom. Ia adalah kota penghubung Laut Tengah dan menjadi salah satu pusat peradaban Romawi. Di Iskandariah, pasukan Rom dan orang-orang Koptik dalam jumlah yang besar menghalang kaum muslimin. Pertempuran semakin sengit. Pada awalnya, Amr bin Ash menawarkan perjanjian damai kepada mereka sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Mesir. Akan tetapi, penduduk Iskandariah menolak tawaran tersebut. Akhirnya, pasukan kaum muslimin berjuang untuk menakluk wilayah tersebut dengan jalan peperangan.
Pasukan kaum muslimin yang dipimpin oleh Amr bin Ash berjaya memenangi pertempuran dan mendapatkan banyak harta rampasan perang. Kemudian, warga Iskandariah diyey sebagai ahlu dzimmah. Setelah Mesir dan Iskandariah berjaya ditakluk, Bangsa Rom melarikan diri ke Konstantinopel, Muqauqis dan bangsa Koptik setuju untuk berdamai dengan kaum muslimin. Dengan tertakluknya Mesir dan Iskandariah, maka berakhirlah catatan kisah kaum muslimin dengan bangsa Romawi di era Khalifah Umar bin al-Khattab. Kaum muslimin berjaya menguasai dua wilayah besar ketika itu iaitu Syam dan Mesir serta bahagian terpenting di wilayah Selatan Romawi. Kekuatan Romawi semakin berkurang dan kedaulatan mereka pun hancur.
Seterusnya, pasukan Amr bin Ash terus bergerak ke arah Barat. Kaum muslimin berjaya menakluk wilayah Barqah dan mengadakan perjanjian damai dengan penduduknya. Amr bin Ash mengirom Uqbah bin Nafi’ ke wilayah Zawilah yang kemudiannya berjaya di-futuhat wilayah tersebut.
Uqbah kemudian meninjau wilayah Nubia, sedangkan pasukan Amr bin Ash bergerak menuju Tripoli dan berjaya mendudukinya setelah mengepung kota itu selama satu bulan. Selepas penaklukan Tripoli, Khalifah Umar bin al-Khattab tidak membenarkan tentera Amr bin Ash meneruskan ekspedisi ketenteraan mereka ke Barat. Khalifah Umar bin Khattab berjaya meluaskan wilayah Negara Islam serta menakluki dua kuasa besar ketika itu iaitu Parsi dan Rom.
Bendera Islam berkibar tinggi di bekas empayar Parsi dan Rom. Allah mengurniakan kemenangan demi kemenangan kepada umat Islam dan memberi mereka hak untuk tinggal di kawasan-kawasan ini. Allah juga memberikan harta yang melimpah kepada umat Islam melalui harta rampasan perang, jizyah, dan kharaj. Ganjaran syahid kepada mereka yang mati dalam penaklukan ini dan sebaik-baik tempat kembali yang kekal abadi di syurga-Nya juga merupakan anugerah Allah SWT.
Sungguh Allah Maha Pemurah dan Maha Agung. Janji Allah kepada umat Islam terbukti. Sesungguhnya Allah berfirman,
“Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).” [TMQ As-Saaffaat (37): 171-173]
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” [TMQ Al-Qasas (28): 5-6]
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [TMQ An-Nuur (24): 55]
Zaman pemerintahan Nabi Muhamma SAW dan dua khalifah selepasnya ialah zaman kelahiran sistem negara Islam. Islam tersebar luas dengan dakwah dan jihad fi sabilillah. Kekuatan negara Islam amat diambil kira oleh dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab kerana berjaya menumbangkan dua kuasa besar iaitu Parsi dan Rom. Kerana itu, andai umat Islam menggunapakai sistem ini, nescaya Allah akan memberikan kemuliaan dan kekuasaan di muka bumi. Umat Islam akan kembali memimpin dunia. InsyaAllah.