[KHILAFAH & ANAK YATIM]
Qadhi Mundzir Merobohkan Rumah Anak Yatim
Mundzir bin Said merupakan seorang qadhi (hakim) yang tegas dalam menetapkan keputusan hukum. Dia memiliki pemikiran yang kuat dalam menegakkan kes yang perlu ditanganinya, tidak gentar dengan ancaman sultan apatahlagi orang bawahannya. Terdapat kisah menarik berkenaan dirinya dengan anak-anak yatim Najdah. Cerita ini disampaikan oleh sumber-sumber yang dipercayai.
Kisahnya, Khalifah An-Nashir Lidinillah Abdurrahman bin Muhammad perlu membeli sebuah rumah di kota Cordova. Rumah itu akan diberikan kepada salah seorang isterinya. Beliau tertarik pada sebuah rumah milik anak-anak Zakariya, saudara Najdah. Rumah itu berada di bahagian timur istana Khalifah, berhubungan dengan tempat pemandian umum dan memiliki lorong yang luas.
Anak-anak Zakariya merupakan anak-anak yatim yang diasuh oleh Qadhi Mundzir. Setelah yakin untuk membeli rumah itu, Khalifah mengirim utusan untuk mengambil tahu berapa anggaran harga rumah yang sudah menarik minatnya itu. Dia juga mengutuskan orang-orang untuk memujuk pengasuh anak-anak yatim tersebut agar bersedia menjual rumah itu. Tetapi, pengasuh mengatakan bahawa dia tidak berani untuk menjual rumah itu selagi tidak mendapatkan keizinan dari Qadhi Mundzir. Kemudian, Khalifah mengirim utusan untuk memujuk Qadhi Mundzir agar mahu mengizinkan penjualan rumah tersebut. Kepada utusan Khalifah, Qadhi Mundzir berkata, “Rumah anak-anak yatim itu tidak boleh dijual kecuali untuk beberapa sebab iaitu jika ada keperluan mendesak untuk menjualnya, rumah hampir roboh dan jika ia mendatangkan keuntungan bagi anak-anak yatim. Dilihat dari sisi keperluan, anak-anak yatim itu sekarang tidak ada keperluan mendesak yang memaksa mereka untuk menjual rumah tersebut. Jika dilihat pula dari keadaan fizikalnya, rumah itu masih kuat dan kukuh. Dalam hal keuntungan pula, jika Khalifah memberikan harga yang berpatutan, maka aku akan mengizinkan rumah itu dijual.”
Sang utusan menyampaikan jawapan itu kepada Khalifah. Khalifah tetap mahu membeli rumah tersebut tetapi Qadhi Mundzir risau kalau-kalau tekad Khalifah akan memberikan kesan buruk kepada anak-anak yatim. Kerana itu, dia memerintahkan pengasuh mereka untuk merobohkan rumah itu. Pengasuh itu dengan segera melaksanakan perintah Qadhi Mundzir. Bahan binaan bekas bangunan rumah itu dijual dengan harga yang ternyata melebihi keseluruhan harga rumah yang ditetapkan oleh juru nilai khalifah.
Berita perobohan rumah itu sampai ke telinga khalifah. Khabar itu membuatkan khalifah terkejut sehingga dia memerintahkan agar pengasuh anak-anak yatim itu menghentikan segala kegiatan perobohan rumah itu. Tetapi pengasuh itu mengatakan bahawa ia hanya melaksanakan perintah dari Qadhi Mundzir. Khalifah kemudiannya memanggil Qadhi Mundzir. Setelah Qadhi Mundzir datang, Khalifah berkata, “Adakah engkau yang menyuruh untuk merobohkan rumah Akhi Najdah?” “Ya” jawab sang qadhi dengan ringkas. “Apa yang mendorongmu untuk melakukan perkara itu?” Dia menjawab, “Aku melakukannya kerana mengamalkan firman Allah, “Adapun perahu itu dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.” [TMQ Al-Kahfi (18):79].
Juru nilai tuan telah meletakkan harga yang sangat rendah dan kerana itu Tuan ingin membelinya sedangkan hasil jualan bahan bekas bangunannya saja melebihi harga yang telah ditetapkan oleh juru nilai tuan. Lagipun, bangunan dewan dan tempat pemandian umum yang termasuk dalam kompleks rumah itu masih utuh sehingga kini.”
Khalifah menerima keputusan Qadhi dengan sabar lalu berkata, “Aku adalah orang pertama yang tunduk pada kebenaran. Semoga Allah memberikan balasan kepadaku kerana menunjukkan kebenaran kepadaku dan kerana keteguhanmu dalam menjaga amanah.”
Sumber : Golden Stories/Mahmud Mushthafa Sa’ad & Dr. Nashir Abu Amir Al-Humahi