[FORUM MUSLIMAH ONLINE: CABARAN DAN HARAPAN KEBANGKITAN GENERASI PASCACOVID-19]
Islam akan memastikan anak-anak yatim akan terpenuhi keperluan fizikal iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Malah keperluan bukan fizikal seperti belaian kasih sayang dan peluang pendidikan juga akan dipenuhi. Oleh itu dalam Islam telah meletakkan hak-hak yang sepatutnya dalam pengurusan anak yatim supaya anak-anak ini sentiasa terbela dan terjamin kehidupannya.
Pemilikan hak harta pewarisan dalam hukum faraid telah disebutkan dalam surah An Nisa ayat 11. Begitu juga dengan harta wasiat yang juga dapat dimiliki oleh mereka seperti firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 8. Inilah yang akan menjamin kehidupan mereka untuk memenuhi tuntuan keperluan kehidupan masa mendatang.
Anak-anak yatim juga tidak akan dibiarkan menguruskan kehidupan mereka apabila Islam telah menggariskan hukum hadhanah dan juga hukum kafalah. Wali yang dipertanggungjawab akan menjaga dan mengasuh anak-anak yatim ini dan memenuhi keperluan kehidupan mereka sepertimana keperluan anak-anak yang lain. Cantiknya Islam apabila semuanya telah diatur dengan satu sistem yang akan menjamin hak-hak anak ini terpelihara dan mereka akan membesar dengan baik.
Dr Aslam Diyana