Episod duka terus mencengkam umat pada Rajab tahun ini apabila ia melepasi satu abad runtuhnya Khilafah. Seratus tahun bukanlah tempoh yang singkat bagi mana-mana bangsa yang kehilangan negara, apatah lagi bagi umat Islam yang kehilangan sebuah negara yang diberkati, yang dibina di atas darah dan air mata, di atas keimanan dan perintah dari tujuh petala langit. Inilah negara yang telah membebaskan kaum Muslimin daripada semua penderitaan, membebaskan dunia daripada segala kegelapan dan membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah Azza wa Jalla. Inilah negara yang telah menjadikan Islam dan penganutnya mulia dan menjadikan kekufuran dan penganutnya hina. Inilah negara yang telah menzahirkan agama Allah (swt) di atas semua agama yang lain, dan negara yang telah membawa rahmat Allah (swt) ke seluruh alam. Inilah negara yang telah menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah (menyeluruh), yang telah memberi keadilan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada manusia, tetapi haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Negara yang gagah perkasa lagi penuh keberkatan ini telah runtuh pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M) akibat pengkhianatan dalaman, yang telah meninggalkan luka yang cukup parah dan mendalam kepada umat ini sehingga kini.
Seiring dengan runtuhnya Khilafah, maka sirnalah segala kemuliaan, hilanglah segala keberkatan, lenyaplah segala rahmat dan runtuhnya “Islam Kaffah” yang selama 13 abad menaungi umat. Apa yang tersisa hanyalah sedikit hukum Islam yang diamalkan secara individu seperti dalam hal ibadat, aurat, perkahwinan, perwarisan, makan dan minum. Islam dalam bentuk bernegara dan bermasyarakat telah punah daripada kehidupan kaum Muslimin dan lebih buruk telah diganti dengan negara sekular serta hukum-hukum kufur dari Barat. Natijahnya, umat Islam semakin lupa bagaimanakah Islam Kaffah, bagaimanakah Islam yang syumul (sempurna) – bagaimanakah sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, polisi pendidikan dan polisi luar negeri, dalam Islam. Bahkan ada sebahagian umat Islam yang sudah lupa dan ada yang sudah hilang keyakinan terhadap sistem dan hukum-hakam Islam dalam mengatur kehidupan dan negara.
Atas dasar itu, dan sempena dengan Rajab, bulan kejatuhan Khilafah, pada tahun ini, Hizbut Tahrir / Malaysia melancarkan kempen “Islam Kaffah Di Bawah Khilafah” yang akan berlangsung dari awal hingga akhir Rajab insya Allah. Di sepanjang bulan Rajab ini, kami akan menerangkan, di samping memberi peringatan kepada umat Islam amnya, dan pemerintah khususnya mengenai kesyumulan Islam dan kewajipan untuk mengembalikan keseluruhan syariat Islam yang sekali gus bermaksud mengembalikan semula Khilafah sebagai satu-satunya institusi penerap dan pelaksana kepada “Islam Kaffah”. Kami berdoa kepada Allah (swt) agar melancarkan perjalanan dan memberkati kempen ini, di samping memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kewajipan dan kepentingan mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia