Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq Al-Jawi, M.Si.
Soalan:
Assalamualaikum, Ustaz. Semoga Ustaz sentiasa dalam keadaan sihat dan diberkati oleh Allah SWT, Aamin. Ustaz, saya mahu bertanya tentang hukum berniaga, iaitu perniagaan jual beli wang di bursa mata wang seperti forex ataupun Net89. Apakah hukum perniagaan seperti ini, Ustaz? Adakah terdapat kandungan riba, judi, atau perkara-perkara lain yang diharamkan? Sebab sepintas lalu maklumat yang ditawarkan kepada saya, iaitu kita melaburkan sejumlah wang dan sebahagiannya untuk membeli robot dan selebihnya untuk membeli mata wang dolar atau euro. Dan jika ada keuntungan, ia akan dibahagi 50:50 untuk kita dan syarikat. Manakala syarikat memberi jaminan hanya 5% sahaja per hari terhad jika berlaku kerugian. Dan jika kita rugi, kita yang perlu menanggungnya. Selain itu, syarikat juga menawarkan jika kita ingin aktif, kita boleh mengajak orang lain dan terdapat bonus jika ada yang menyertai, seperti skim MLM. Mohon pencerahan, Ustaz. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih sebanyaknya. (Hamba Allah, di bumi Allah)
Jawapan:
Fakta yang ditanyakan di atas sebenarnya ialah money game. Money game di Indonesia biasa dipanggil sebagai Perniagaan Penggandaan Wang. Money game ialah perniagaan penggandaan wang melalui sistem piramid wang, iaitu pemberian bonus kepada ahli lama (upline) yang diperoleh daripada wang ahli baru (downline) tanpa produk (barang) yang dijualbelikan, kecuali sekadar penyamaran.
Mekanisme penggandaan wang bermula dengan permintaan syarikat kepada ahli untuk melaburkan wang mereka dalam syarikat (sering dipanggil sebagai “pelaburan”). Syarikat berjanji untuk mengembalikan wang tersebut kepada ahli dengan nilai yang berlipat kali ganda. Syarikat itu kemudiannya meminta ahli tersebut untuk merekrut beberapa orang untuk menjadi ahli baru sebagai downline-nya dan turut melaburkan wang mereka dalam syarikat itu.
Wang dari para downline inilah yang akan diberikan kepada ahli lama (upline) dengan nilai yang berlipat kali ganda dari nilai yang telah dilaburkan. Wang selebihnya menjadi milik syarikat.
Ilustrasinya ialah seperti berikut: Si A melaburkan wang RM 1,000 dalam syarikat. Kemudian A mencari, contohnya 8 orang ahli baru untuk menjadi downline-nya. Lapan ahli baru itu juga melabur RM 1,000 setiap seorang ke dalam syarikat itu. Jumlah wang yang masuk ialah RM 1,000 ditambah RM 8,000, iaitu bersamaan dengan RM 9,000.
Katakan syarikat menjanjikan keuntungan tiga kali ganda kepada A, maka syarikat memberikan wang RM 3,000 kepada si A pada akhir tempoh. Bakinya sebanyak RM 6,000 menjadi milik syarikat.
Jadi bagaimana cara syarikat membayar balik wang milik 8 orang yang menjadi downline A? Apa yang syarikat lakukan ialah meminta setiap lapan orang itu untuk mencari lapan orang lagi sebagai downline mereka. Demikianlah seterusnya.
Money game menggunakan sistem piramid yang mirip dengan MLM, tetapi tanpa jual beli produk seperti yang biasa dilakukan oleh MLM. Sistem piramid tersebut dipanggil skim Ponzy. Jika terdapat penjualan produk, ia hanya penyamaran. Penyamaran ini bermacam-macam, contohnya perniagaan computer riba, data, emas, berlian, alat pertanian, objek seni dalaman (art interior), peralatan perubatan, perdagangan forex, dan sebagainya.
Pada tahun 2000 beberapa syarikat yang menjalankan money game telah terbongkar, seperti New Era 21, BMA, Solusi Centre, PT BUS (Republika, 25/7/1999; Adil, No.42 21-27 Julai 1999). Pada tahun 2012, terbongkar pula money game Koperasi Langit Biru yang berselindung di sebalik perkongsian hasil perniagaan daging lembu dan Speedline yang berselindung di sebalik perdagangan forex (dagangan pertukaran asing).
Pada September tahun 2021, money game terbaharu yang berselindung di sebalik pelaburan forex dengan perdagangan robot. Antara cirinya, terdapat ahli mencari ahli atau skim Ponzy. Sedangkan pada pelaburan forex dengan perdagangan robot yang bukan money game, tidak ada skim Ponzy (tiada ahli mencari ahli).
Nota
Terbongkarnya money game yang berselindung di sebalik pelaburan forex dengan perdagangan robot, yang bercirikan adanya sistem ahli mencari ahli (skim Ponzy), tidak bermakna bahawa pelaburan forex tanpa ahli mencari ahli kemudiannya halal mengikut syariat. Perdagangan Forex itu sendiri, sama ada yang konvensional atau yang kononnya didakwa syarie, sebenarnya ialah haram dalam syariat Islam. InsyaAllah keharaman perdagangan forex akan dijelaskan pada masa yang lain.
Hukum Money Game
Money game hukumnya haram dan berdosa besar, kerana dua sebab utama, iaitu Ghisy (Penipuan) dan Riba.
Pertama, kerana money game merupakan penipuan atau kecurangan (al ghisy; fraudulent), kerana syarikat money game mendakwa mereka melakukan perniagaan sebenar (jual beli produk berbentuk barang atau perkhidmatan), padahal sebenarnya tidak. Ini termasuk kategori penipuan/kecurangan (al ghisy) yang diharamkan oleh Islam, berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA,
أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلم مرّ على صبرة طعام، فأدخل يده فيها، فنالت أصابعه بللاً. فقال:ماهذا يا صاحب الطعام؟ قال: أصابته السَّماء يا رسول الله. قال: أفلا جعلته فوق الطَّعام كي يراه النَّاس؟ من غشَّ فليس منِّي
“Bahawa Rasulullah SAW suatu ketika melewati selonggok makanan [yang dijual di pasar]. Kemudian Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan makanan itu, kemudian jari Baginda menyentuh makanan yang basah. Rasulullah SAW bertanya, ”Apakah ini wahai penjual makanan?” Penjual makanan menjawab, “Itu terkena hujan, wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah SAW bersabda, ”Mengapa kamu tidak meletakkan yang basah itu di atas, supaya orag dapat melihat? Barangsiapa berbuat curang, maka dia bukan golongan kami.” [HR Muslim]
Kedua, kerana syarikat money game menjalankan transaksi riba. Ketika syarikat money game meminta ahli melabur dalam syarikat, sebenarnya syarikat itu hanya meminjam wang (qardh) dari ahlinya, bukan benar-benar memusingkan wang itu dalam perniagaan sebenar. Syarikat itu kemudian mengembalikan wang itu dengan disertai tambahan yang disebut bonus atau komisen atau perkongsian hasil. Jelas sekali ini ialah riba yang diharamkan oleh Islam. Allah SWT berfirman,
وَاَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ
”Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [TMQ al Baqarah (2) : 275].
Wallahu a’lam.
Rujukan:
https://www.globalmuslim.web.id/2012/10/hukum-money-game.html