Tidak mudah bagi manusia agar amalnya diterima oleh Allah SWT. Para Nabi sahaja banyak berdoa agar Allah menerima amalannya kerana Dia hanya menerima amal dari hamba-Nya yang bertakwa.
Sebelum kedatangan Ramadhan, para Sahabat akan berdoa selama enam bulan agar sampai pada bulan Ramadhan dan ketika Ramadhan telah berlalu, mereka risau jika amalan mereka tidak diterima. Berbeza dengan kita yang begitu gembira menyambut kemenangan Aidilfitri, sedangkan belum tentu kita peroleh kemenangan dan belum tentu Allah menerima amalan kita sepanjang Ramadhan.
Oleh kerana itulah kita perlu mengisi Ramadhan dengan ketaatan sepenuhnya. Jangan isi bulan Ramadhan dengan dosa yang mengakibatkan rosaknya amal ibadah secara umum dan amal ibadah kita saat di bulan Ramadhan. Isilah Ramadhan bukan hanya dengan tilawah, terawih, iktikaf serta membayar zakat fitrah, tetapi juga dengan komitmen kita untuk meninggalkan dosa.
Lebih dari itu, pembatal amal saat Ramadhan bukan sekadar makan, minum, berbicara kasar dan berdusta. Jadi, apakah amalan yang boleh merosak amal yang lainnya?
Pertama, syirik.
Syirik merupakan salah satu perosak amal kita tanpa meninggalkan sisa sedikit pun. Firman Allah SWT, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Az-Zumar (39): 65]
Rasulullah SAW juga bersabda, “Syirik adalah engkau mendatangkan tandingan bagi Allah, sedangkan Allah lah yang menciptakan kamu.”
Antara dosa syirik adalah meyakini dukun/bomoh, meyakini mitos-mitos di tengah-tengah masyarakat dan mempercayai ramalan. Dan kepercayaan inilah yang akan merosak amalan puasa. Sayangnya, aktiviti syirik tidak ditolak secara keseluruhan dalam masyarakat malahan tumbuh subur di dalam sistem sekular ini. Lihat sajalah, pawang hujan dianggap menyumbang untuk bangsa, sedangkan sangat jelas bahawa aktiviti ini adalah satu bentuk kesyirikan.
Kedua, orang yang menjalani Ramadhan, tetapi membawa penyakit kemunafikan.
Secara bahasa, munafik adalah orang yang masuk dan keluarnya berbeza. Secara istilah, munafik ialah orang yang zahirnya memperlihatkan kebaikan Islam, tetapi menyembunyikan kebenciannya terhadap Islam. Amalan orang munafik juga habis tiada sisa sedikitpun di sisi Allah meskipun di hujung kuku. Tempat kembalinya orang-orang munafik adalah tempat yang paling buruk iaitu keraknya neraka.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [TMQ An-Nisaa’ (4) :142]
Orang munafik memiliki lima sifat. Pertama, membenci Rasulullah. Kedua, membenci syariat yang disampaikan oleh Baginda Nabi. Orang munafik menempatkan syariat sebagai bufet di restoran. Jika dia tidak suka dengan salah satu hukum Allah, mereka akan membiarkan hukum tersebut dengan alasan tidak relevan atau tidak layak diterapkan.
Mereka berpuasa tetapi tidak ada faedahnya di sisi Allah. “Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.” [TMQ Muhammad (47): 9]
Ketiga, mendustakan Rasul dengan mengatakan Rasulullah boleh saja melakukan kesalahan contohnya mengatakan, “Muhammad itu hanyalah tokoh sejarah sama seperti Mahatma Gandhi dan Ibu Teresa.”
Keempat, ketika kaum munafik mendustakan sebahagian yang disampaikan oleh Rasul.
Kelima, orang munafik gembira ketika orang kafir menang dan bersedih ketika kaum muslim yang menang.
Kerana itu, jika selama Ramadhan kita masih mendapati ada umat Islam yang membawa lima sifat di atas, maka amal ibadahnya akan rosak.
Perosak amal yang ketiga adalah meninggalkan solat. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang meninggalkan solat Asar, makan terhapuslah amalahnya.” (HR Bukhari)
Maksudnya, jika seseorang berpuasa tetapi dia tidak menunaikan solat fardhu, maka terhapuslah seluruh amalnya pada hari itu. Bukan dia meninggalkan solat selama 30 tahun, maka selama itu jugalah amalnya tidak pernah dicatat oleh malaikat.
Keempat, menggugat takdir Allah SWT. Dari Abu Umamah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga orang yang Allah tidak menerima dari mereka amal fardhu dan amalan sunnah mereka iaitu orang yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya, orang yang mengungkit-ungkit pemberian dan orang yang mendustakan takdir.” (HR Ibnu Abi Ashim)
Menggugat atau mendustakan takdir Allah menyebabkan amalan yang wajib dan sunnah tidak diterima. Wajib bagi kita untuk berhati-hati dalam perkara ini saat Ramadhan kerana salah satu amalan wajib saat Ramadhan adalah berpuasa.
Allah tidak mungkin menzalimi manusia, makhluk ciptaan-Nya. Sesungguhnya apa pun yang diputuskan oleh Allah pada hamba-Nya adalah kebaikan.
Kelima, orang yang derhaka pada suaminya. Dari Ibnu Abbas ra. Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga manusia yang solat mereka tidaklah naik melebihi kepada mereka sejengkal, iaitu seorang yang mengimami sebuah kaum tetapi kaum itu membencinya, seorang isteri yang tidur sementara suaminya sedang marah kepadanya dan dua orang saudara yang saling memutuskan tali silaturahim.” (HR Ibnu Majah)
Jika kemarahan itu disebabkan sesuatu yang syari’e, maka perbuatan tersebut perlu dihindari. Jika solat saja susah diterima oleh Allah, apatahlagi amalan puasa kita. Mencari redha suami juga merupakan kewajipan bagi seorang isteri.
Semoga kita dapat menghindari segala perbuatan dan sifat yang boleh merosakkan amalan kita pada bulan Ramadhan.