Masyarakat Turki menyebut Ramadhan dengan istilah Ramazan. Suasana Ramadhan di negara dua benua ini sangat meriah. Ramadhan di Turki dianggap sebagai perayaan ketika berbuka puasa.
Makanan ringan manis disajikan ketika azan Maghrib tiba. Sementara makan malam yang sebenarnya hanya dinikmati beberapa jam kemudian. Masyarakat Turki gemar melakukan bertukar-tukar juadah berbuka dengan jiran tetangga, ini dilakukan untuk mengeratkan silaturahmi.
Pada malam menjelang Ramadhan, lampu berwarna-warni dapat dilihat menghiasi pokok dan bangunan. Masjid juga kelihatan terang benderang dan penuh dengan jemaah. Lampu-lampu menara yang biasanya hanya dinyalakan setiap malam Jumaat, selama Ramadhan dinyalakan sebulan penuh.
Selain memasang lampu menara, pemasangan mahya turut dilakukan iaitu lampu berbentuk tulisan. Biasanya mengandungi ucapan “Marhaban ya Ramadhan” dan ucapan puji syukur yang lain.
Di sekitar pusat bandar Turki diadakan karnival yang sibuk dengan gerai-gerai yang menjual buku-buku agama, peralatan ibadah, makanan ringan dan barang tradisional yang lain. Selain itu, terdapat pengajian Islam yang diisi oleh pendakwah. Karnival ini diadakan khusus pada bulan Ramadhan.
Pada awal pagi, Turki meriah dengan suara davul (sejenis gendang) yang dipukul untuk membangunkan penduduk untuk bersahur. Pemukul davul atau Ramazan Davulcusu (dibaca: ra-ma-zan-da-wul-ju-su) akan memasuki lorong-lorong kediaman. Davul disangkut pada badan Ramazan Davulcusu, kemudian ditabuh dengan dua buah pemukul drum.
Untuk bersahur, banyak restoran di Turki yang dibuka pada waktu sahur sehingga memudahkan masyarakat. Sementara itu, untuk berbuka puasa juga tidak perlu risau kerana masyarakat Turki gemar mengundang iftar (berbuka puasa) bersama. Hal ini merupakan wujud pelaksanaan ajaran Rasulullah saw, iaitu memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Ada yang unik apabila tiba waktu berbuka puasa. Bukan paluan gendang tetapi bunyi letupan meriam yang akan kedengaran mengiringi azan Maghrib.
Letupan meriam sebagai tanda waktu berbuka puasa ini merupakan tradisi Turki sejak zaman Khilafah Uthmaniyyah, tepatnya pada zaman Sultan Mahmud II yang memerintah pada tahun 1808 sehingga kematiannya pada tahun 1839. Tradisi ini diikuti oleh majoriti negara-negara Arab dan Islam, contohnya di Mesir dan Lubnan.
Hal ini merupakan perkara yang wajar kerana pada masa Khilafah Uthmaniyyah, Turki menjadi pusat pemerintahan Islam yang menyatukan seluruh negeri muslim, termasuk Arab. Ledakan meriam ini sekaligus melambangkan keunggulan ketenteraan Turki Uthmaniyyah yang diakui oleh negara lain termasuk Eropah.
Untuk merealisasikan kecintaan kepada al-Quran, umat Islam Turki juga melakukan mukabele (iaitu tadarus al-Quran). Ibu-ibu bertadarus dari pagi sehingga tengah hari di rumah, manakala kaum bapa tadarus pada waktu malam di masjid.
Secara umum, tradisi Ramadan di Turki merupakan warisan tradisi sejak zaman Turki Uthmaniyyah. Pada zaman Uthmaniyyah, Khalifah memberi subsidi dan bantuan makanan kepada masyarakat miskin selama bulan Ramadhan.
Khilafah Uthmaniyyah mengawal rapi tempat makan dan minum pada siang hari. Polis dikerahkan pada siang dan malam untuk menghalau orang mabuk. Lelaki dan wanita dilarang berjalan berdua-duaan (berkhalwat).
Ulama berperanan penting dalam memberi panduan kepada masyarakat berkenaan syariat yang diterapkan oleh penguasa. Ulama juga terus dijemput untuk membaca al-Quran pada setiap malam, baik di istana mahupun masjid.
Sekolah ditutupkan selama Ramadhan. Namun, ada ketika para siswa diselaraskan oleh pihak sekolah untuk berkunjung ke kampung untuk melakukan khidmat sosial atau berkongsi makanan. Pejabat pemerintah telah dijadualkan semula supaya pekerja mereka tetap boleh memaksimumkan ibadah mereka sepanjang Ramadhan.
Pelancong Eropah yang singgah di wilayah Turki Uthmaniyyah antara abad ke-17 hingga ke-19 menyebut bahawa suasana Ramadan di Istanbul sepi pada waktu siang dan ramai pada malam hari. Gerai penjual makanan dan minuman juga ditutup. Meskipun bukan muslim, pelancong tersebut mengungkapkan dia tidak dihidangkan makanan oleh sesiapa ketika tiba di Istanbul pada siang hari Ramadhan.
Mereka juga berkata bahawa masjid, jalan, dan rumah dibersihkan menjelang dan pada akhir Ramadhan. Mereka saling bertegur sapa dan mesra dengan orang yang lalu lalang sama ada mereka kenali mahupun orang asing.
Sungguh indah Ramadhan di bawah Khilafah. Semoga Turki dan seluruh negeri muslim yang lain kembali bersatu di bawah panji Islam.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/04/09/4083/