Penulis: Ustaz M. Shiddiq Al Jawi
Fidyah puasa merupakan pengganti (badal) dari puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan berupa memberi makan kepada orang miskin sebanyak jumlah hari yang ditinggalkan (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughah Al Fuqaha`, hlm. 260)
Siapakah yang wajib mengeluarkan fidyah? Menurut Syeikh Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah dalam kitabnya Al Jami’ li Ahkan As Shiyam, mereka yang wajib membayar fidyah ada 3 golongan :
Pertama, orang-orang yang tidak mampu berpuasa iaitu lelaki atau perempuan yang sudah lanjut usia serta orang uzur yang tidak dapat diharap kesembuhannya. Dalilnya adalah firman Allah SWT,
وَعَلَى الَّذِيْنَ يُطِيْقُوْنَهٗ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِيْنٍۗ
”Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 184]
Ibnu Abbas ra. mentafsirkan ayat tersebut dengan berkata, “Ayat tersebut tidaklah mansukh (dihapus hukumnya), tetapi yang dimaksudkan adalah lelaki lanjut usia (al syaikh al kabiir) dan perempuan lanjut usia (al mar’ah al kabirah) yang tidak mampu lagi berkuasa, maka keduanya perlu memberi makan kepada seorang miskin mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan.” (HR Bukhari, Abu Dawud, Nasa’i, Daruquthni)
Orang sakit yang tidak mampu untuk berpuasa yang juga tidak dapat diharapkan kesembuhannya, hukumnnya sama dengan orang yang lanjut usia tersebut (Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al Jami’ li Ahkam As Shiyam, hlm. 202 & 206).
Kedua, pihak wali (keluarga) dari orang yang meninggal dunia. Mereka boleh memilih antara mengqada’kan puasa atau membayar fidyah dari puasa yang ditinggalkan oleh orang yang meninggal dunia tersebut. Pendapat bolehnya membayar fidyah bagi orang yang meninggal dunia merupakan pendapat beberapa sahabat Nabi SAW antaranya Umar bin Khattab, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas ra. (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al Jami’ li Ahkam As Shiyam, hlm 207)
Ketiga, suami yang bersama dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan tidak mampu untuk membayar kafarah berupa puasa selama dua bulan berturut-turut. Suami ini wajib membayar fidyah iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin. (HR Bukhari no 6164; Muslim no 2559). (Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al Jami’ li Ahkam As Shiyam, hlm. 207)
Adapun bagi wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak, juga orang yang menunda qada’ puasa sehingga masuk Ramadhan berikutnya, menurut pendapat yang kami anggap rajih, tidak ada kewajipan fidyah ke atas mereka. Mereka hanya diwajibkan mengqada’ puasanya. (Mushannaf Abdur Razaq, no 7564, Mahmud Abdul Latif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hlm.210, Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 872, Yusuf Qaradhawi, Fiqhush Shiyam, hlm. 64).
Cara membayar fidyah adalah dengan memberi makanan asas (ghaalibu quut al balad) kepada satu orang yang miskin sebanyak satu mud untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan. Jika tidak berpuasa selama satu hari, maka fidyahnya adalah satu mud. Jika dua hari, fidyahnya adalah dua mud dan begitulah seterusnya. Mud adalah ukuran takaran (bukan berat) yang setara dengan takaran 544 gram gandum (al qamhu). Untuk Indonesia, fidyah dikeluarkan dalam bentuk beras (Abdul Qadim Zallum, Al Amwal fi Daulah al Khilafah, hlm. 62, Wahbah Zuhaili, Al Fiqh al Islami wa Adillatuhu, 2/687).
Menurut ulama Hanafiyah, fidyah boleh dibayar dengan nilainya (qiimatuhu), iaitu dalam bentuk wang yang senilai. Menurut ulama jumhur pula (Malikiyah, Syafi’iyah, Hanabilah), fidyah tidak boleh dibayar dengan nilainya. (Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, 2/687)
Kami cenderung kepada pendapat jumhur sebab secara jelas, nas Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat ke-184 menyebutkan pembayaran fidyah adalah dalam bentuk makanan (tha’aam),
فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِين
“Fidyatun tha’aamu miskin.”
Selain itu membayar fidyah dalam bentuk makanan adalah apa yang diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW., seperti Ibnu Abbas dan Anas bin Malik ra. (Imam Syirazi, Al Muhadzdzab, 1/178). Wallahualam.