Oleh: KH. Muhammad Shiddiq Al-Jawi
Haram hukumnya Muslim berpuasa Arafah pada hari yang berbeza dengan waktu wukuf di Padang Arafah. Inilah pendapat terkuat (râjih) dalam masalah ini berdasarkan dua dalil sebagai berikut:
Pertama : kerana puasa hari Arafah yang berbeza dengan hari wukuf di Arafah telah menyimpang dari definisi syariah (al-ta’rîf al-syar’î) untuk hari Arafah (yauma ‘Arafah).
Imam Badruddin Al ‘Aini menjelaskan bahawa “Hari Arafah” (yauma ‘Arafah) menunjukkan waktu (al-zaman) dan tempat (al-makan) sekaligus. Dari segi waktu, hari Arafah adalah hari ke-9 bulan Zulhijjah. Manakala dari segi tempat, hari Arafah adalah hari di mana para jemaah haji berwukuf di tempat yang dikenal sebagai Padang Arafah. Jadi, hari Arafah tidak cukup didefinisikan sebagai hari yang ke-9 di bulan Zulhijjah, namun wajib disempurnakan dengan redaksi, bahawa hari ‘Arafah adalah hari yang ke-9 di bulan Zulhijjah ketika jemaah haji berwukuf di tempat bernama Padang ‘Arafah. (Badruddin Al-‘Ainî, ‘Umdatul Qâri Syarah Shahîh Al-Bukhârî, syarah hadis no. 603, 5/339; Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 5/44).
Jadi, definisi syarie untuk “Hari Arafah” (yauma ‘Arafah) adalah :
يَوْمَ عَرَفَةَ هُوَ اْليَوْمُ الَّذِيْ يَقِفُ فِيْهِ الْحَجِيْجُ بِعَرَفَةَ
“Hari ‘Arafah adalah hari yang para jemaah haji berwukuf di Arafah.” (yauma ‘arafah huwa al-yaumu alladzî yaqifu fîhi al hajîj bi-‘arafah).
Definisi inilah yang dianggap kuat (râjih) oleh Al-Lajnah Ad-Dâimah Lil Buhûts Al-‘Ilmiyyah wal Iftâ` (Dewan Tetap untuk Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Saudi) di bawah pimpinan Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Definisi ini juga dipilih oleh Lajnah Al-Iftâ Al-Mashriyyah (Dewan Fatwa Mesir), Syeikh Hisamuddin ‘Ifanah dari Jordan, Syeikh Abdurrahman As-Sahim, dan lain-lain. (Abu Muhammad bin Khalil, An-Nûr As-Sâthi’ min Ufuq Al-Thawâli’ fi Tahdîd Yaumi ‘Arafah Idzâ Ikhtalafal Mathâli’, hlm. 3).
Definisi tersebut didasarkan pada beberapa dalil hadis. Di antaranya sabda Rasulullah SAW :
وَعَرَفَةُ يَوْمَ تَعْرِفُوْنَ
“Arafah adalah hari yang kamu kenal.” (‘arafah yauma ta’rifûn). (HR. Baihaqi, As-Sunan Al-Kubrâ, 5/176, disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahîh Al-Jâmi’, no 4224).
Maka dari itu, jika seorang Muslim berpuasa Arafah pada hari yang dianggapnya tanggal 9 Zulhijjah, namun bukan hari wukuf di Padang Arafah, misalnya berpuasa satu hari sebelumnya mahupun sesudahnya, bererti dia telah menyalahi hukum syariah.
Padahal Islam telah melarang seorang Muslim untuk melakukan amal yang menyalahi hukum syariah, berdasarkan dalil umum dari sabda Rasulullah SAW :
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa melakukan suatu perbuatan (amal) yang tidak ada perintah kami atasnya, maka perbuatan itu tertolak.” (HR. Bukhari no 2550; Muslim no 1718).
Kedua : kerana berpuasa Arafah secara berbeza dengan waktu wukuf di Arafah telah menyalahi patokan (standard) wajib untuk menentukan Aidiladha dan rangkaian manasik haji di bulan Zulhijjah, iaitu rukyatul hilal yang dilakukan oleh Wali Makkah (penguasa Mekah). Dengan kata lain, patokan/standardnya bukanlah hisab, dan juga bukan rukyatul hilal di masing-masing negeri Islam berdasarkan prinsip ikhtilâful mathâli’ (perbezaan mathla’).
Yang lebih tepat, perbezaan mathla’ tidak dapat dijadikan patokan/standard (laa ‘ibrata bikhtilâf al mathâli’), kerana telah terdapat dalil khusus yang menunjukkan bahawa penentuan Aidiladha, termasuk waktu manasik haji seperti wukuf di Arafah, wajib mengikuti rukyatul hilal Wali Makkah (Penguasa Mekah), bukan yang lain. Jika Wali Makkah (Penguasa Mekah) tidak berjaya merukyat hilal, barulah kemudian Wali Makkah mengamalkan rukyat dari negeri-negeri Islam di luar Mekah.
Dari Husain bin Al-Harits Al-Jadali RA, dia berkata :
أنَّ أَمِيْرَ مَكَّةَ خَطَبَ ، ثُمَّ قَالَ : عَهِدَ إلَيْنَا رَسُوْلُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ أَنْ نَنْسُكَ لِلرُّؤيَةَ ، فَإِنْ لَمْ نَرَهُ ، وَشَهِدَ شَاهِدَا عَدْلٍ نَسَكْنَا بِشَهَادَتِهِمَا
“Amir (penguasa) Mekah berkhutbah kemudian dia berkata, “Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita agar kita menjalankan manasik haji berdasarkan rukyat. Lalu jika kita tidak melihat hilal, dan ada dua orang saksi yang adil yang menyaksikannya, maka kita akan menjalankan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya.” (HR. Abu Dawud, hadis no 2340. Imam ad-Daraquthni berkata, “Hadis ini isnadnya muttashil dan sahih.” Lihat _Sunan Ad Daraquthni, 2/267. Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Dawud (2/54) berkata, “Hadis ini sahih”).
Hadis ini menunjukkan bahawa yang mempunyai autoriti menetapkan hari-hari manasik haji, seperti hari Arafah dan Aidiladha, adalah Amir Mekah (penguasa Mekah), bukan yang lain. Jika Wali Makkah (Penguasa Mekah) tidak berjaya merukyat hilal, barulah kemudian Wali Makkah mengamalkan rukyat dari negeri-negeri Islam di luar Mekah, misalnya dari Indonesia, Mesir, Marocco, dan sebagainya.
Maka berpuasa Arafah secara berbeza dengan hari Arafah kerana mengikuti rukyat masing-masing negeri Islam, haram hukumnya, kerana telah meninggalkan patokan/standard wajib yang ditetapkan Rasulullah SAW, iaitu rukyatul hilal penguasa Mekah.
Sebagai penutup, kami tegaskan sekali lagi, bahawa kaum muslimin seluruh dunia wajib hukumnya mengikuti rukyatul hilal penduduk Mekah dalam segala hal yang terkait dengan ibadah haji, misalnya bila jadual wukuf di Padang Arafah, bila jadual Aidiladha, dan sebagainya.
Dalilnya firman Allah SWT :
وَاذْكُرُوا اللّٰهَ فِيْٓ اَيَّامٍ مَّعْدُوْدٰتٍ ۗ
“Dan berzikirlah kamu [dalam ibadah haji] kepada Allah pada hari-hari yang telah ditentukan jumlahnya.” (TMQ Al-Baqarah : 203)
Imam Ibnul ‘Arabi menafsirkan ayat tersebut dengan berkata:
[ … وَأَنَّ سَائِرَ أَهْلِ اْلآفَاقِ تَبِعٌ لِلْحَاجِ فَيْهَا] . أحكام القرآن 1/143.
“Bahawa seluruh umat Islam dari berbagai belahan dunia wajib hukumnya mengikuti jemaah haji di Mekah.” (Imam Ibnul ‘Arabi, Ahkâmul Qur`ân, Juz I, hlm. 143).
Syeikh Dr. Muhammad Sulaimân Al-Asyqâr mengatakan :
إِنَّ الْمُسْلِمِيْنَ فِيْ جَمِيْعِ أَقْطَارِ الْعَالَمِ اْلإِسْلاَمِيِّ قَدْ أَجْمَعُوْا إِجْمَاعاً عَمَلِيّاً مُنْذُ عَشَرَاتِ السِّنِيْنَ عَلىَ مُتَابَعَةِ الْحُجَّاجِ فِيْ عِيْدِ اْلَأْضْحَى وَلاَ يَجُوْزُ لِأَيِّ جِهَةٍ أَوْ مَجْمُوْعَةٍ مِنَ النَّاسِ مُخَالَفَةُ هَذَا اْلإِجْمَاعِ
“Sesungguhnya kaum muslimin di seluruh penjuru Dunia Islam telah sepakat dengan kesepakatan yang bersifat ‘amal (dipraktikkan) (Arab : ijmâ’ ‘amali) semenjak puluhan tahun yang lalu untuk mengikuti para jemaah haji dalam Aidiladha, dan tidak boleh bagi pihak atau kelompok mana pun untuk menyalahi ijma’ ini.” (Syeikh Husamuddin ‘Ifanah, Al-Fatâwâ, Juz VI, hlm. 10; https://al-maktaba.org/book/10517/452). Wallahu a’lam.[*]
M.Shiddiq Al-Jawi
(1 Julai 2022)
[*] : Tulisan ini adalah penyempurnaan dari tulisan kami yang sudah pernah ada sebelumnya.