Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Qurban (korban) disebut udhhiyyah. Dalam fikih, “udhhiyyah” adalah haiwan ternak yang disembelih pada Hari Nahr, dengan niat untuk mengerjakan kesunahan. Udhhiyyah hukumnya sunah, sebagaimana sabda Nabi (saw.),
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
“Jika kalian melihat hilal Zulhijjah, dan salah seorang di antara kalian ingin menyembelih, maka hendaknya dia tidak memotong rambut dan kukunya.” [HR Muslim][1] Sabda Nabi (saw.) yang menyatakan, “Wa arada ahadukum an yudhahhiya,” [salah seorang di antara kalian ingin menyembelih], mempunyai konotasi sunah, bukan wajib.
Pengorban
Korban tidak ditetapkan kecuali terhadap orang yang memenuhi syarat:
1. Islam: korban merupakan ibadah, dan ibadah tidak diberlakukan kecuali terhadap kaum muslim. Sedangkan non-muslim tidak.
2. Mukim: korban hanya berlaku untuk orang yang bermukim, bukan musafir.
3. Mampu (ada kelebihan harta): korban hanya berlaku bagi orang yang mempunyai nafkah untuk Hari Raya, dan wang untuk melakukan korban, dan telah memenuhi keperluan asasnya, seperti makan, pakai dan tempat tinggal. Boleh juga ditambah seperti keperluan kesihatan, pendidikan dan keamanan.
4. Tidak wajib baligh dan berakal: korban boleh dilakukan oleh wali kepada anak-anak kecil dan orang gila, kerana korban merupakan nafkah yang diberikan secara makruf, yang disyariatkan untuk harta.
5. Niat berkorban: kerana niat dapat membezakan antara sembelihan yang merupakan tradisi, dengan korban yang merupakan ibadah.
6. Korban orang yang berhutang: membayar hutang perlu didahulukan berbanding berkorban, meski orang yang berhutang tersebut tidak ditagih untuk membayar hutangnya.
7. Korban untuk orang yang sudah meninggal: korban boleh diperuntukkan bagi orang yang sudah meninggal, dan insyaallah, bermanfaat bagi si mati.
8. Menyembelih dengan tangan sendiri: bagi orang yang berkorban lebih baik menyembelih korban dengan tangannya sendiri, atau menyaksikan sembelihannya, adapun boleh juga digantikan oleh orang lain.