Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz, bolehkah kita berkorban dengan menyembelih ayam? Benarkah ada ulama yang membolehkannya?
Jawapan:
Jumhur ulama termasuk ulama mazhab yang empat telah sepakat (ijmak) jenis binatang yang sah disembelih dalam korban hanya binatang ternak (bahiimatul al an’aam), iaitu unta (al ibil), lembu (al baqar), dan kambing (al ghanam), baik jantan mahupun betina, baik yang dikebiri mahupun yang tidak, termasuk kerbau (al jamus) yang disamakan hukumnya dengan jenis lembu (al baqar), dan bebiri (al ma’iz) yang disamakan hukumnya dengan kambing (al ghanam).
Adanya ijmak ulama tersebut telah diriwayatkan oleh para ulama, di antaranya oleh Imam Kasani (Badaiush Shana`i’, IV/205), Imam Qurthubi (Tafsir Al Qurthubi, XV/109), Imam Nawawi (Al Majmu’ Syarah Al Muhadzdzab, XVIII/394), Imam Ibnu Abdil Barr (At Tamhid, XXIII/188), Imam Ibnu Qudamah (Al Mughni, IX/440), dan Imam Syaukani (As Sailul Jarrar, IV/78). (Lihat Husamuddin ‘Ifanah, Al Mufashshal fi Ahkam Al Udh-hiyyah, hlm. 47; Nada Abu Ahmad, Al Jami’ li Ahkam Al Udh-hiyyah, hlm. 11).
Dalil syarie bahawa binatang korban terbatas pada unta, lembu, dan kambing adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Dalil Al-Quran adalah firman Allah SWT (yang ertinya), “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak (bahiimatul al an’aam) yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka.” (TMQ Al Hajj [22]: 34). Imam Qurthubi menafsirkan ayat tersebut dengan mengatakan, “Yang dimaksud binatang ternak (bahiimatul al an’aam), hanyalah unta, lembu, dan kambing.” (Tafsir Al Qurthubi, XI/44).
Adapun dalil As-Sunnah, bahawa tidak pernah diriwayatkan dari Nabi SAW bahawa beliau pernah menyembelihkan binatang korban selain unta, lembu, dan kambing. (Husamuddin ‘Ifanah, Al Mufashshal fi Ahkam Al Udh-hiyyah, hlm. 47).
Berdasarkan penjelasan di atas, maka tidak sah hukumnya berkorban dengan menyembelih lembu jantan atau lembu liar (al baqar al wahsyi), kijang (al ghazaal), juga berbagai macam unggas (al thuyuur) seperti ayam, itik, dan sebagainya. Pendapat jumhur ulama inilah yang kami anggap lebih kuat (rajih) dalam masalah ini.
Memang ada sebahagian ulama yang membolehkan berkorban dengan menyembelih ayam. Imam Ibnu Hazm berkata, “Berkorban itu boleh dengan apa jua haiwan yang halal dimakan yang berkaki empat dan burung (unggas) seperti kuda (al faras), unta, lembu jantan (baqar al wahsy), ayam (ad diik), dan semua jenis burung (unggas) yang halal dimakan.” (Ibnu Hazm, Al Muhalla, VI/29).
Dalil-dalil Imam Ibnu Hazm antara lain; (1) bahawa nas umum dalam surah Al Hajj: 77 menunjukkan berkorban itu merupakan perbuatan baik (fi’lul khair) yang boleh dilakukan dengan apa saja selagi tidak ada dalil yang melarangnya; (2) bahawa sebahagian shahabat Nabi SAW ada yang berkorban dengan selain binatang ternak. Bilal pernah berkata, “Aku tak peduli kalau aku berkorban dengan ayam.” Ibnu Abbas pernah membeli daging dan berkata, “Ini adalah korbannya Ibnu Abbas.” (Ibnu Hazm, Al Muhalla, VI/30-31).
Namun dalil-dalil tersebut sangat lemah dan tidak dapat diterima, kerana nas umum dalam surah Al Hajj: 77 tersebut telah dikhususkan oleh nas-nas lain bahawa berkorban itu hanya terbatas pada binatang seperti unta, lembu, dan kambing sahaja. Kaedah ushuliyah menyebutkan al ‘aam yabqa ‘alaa ‘umuumihi maa lad yarid daliil at takhshish (dalil umum tetap dalam keumumannya selama tidak terdapat dalil yang mengkhususkannya). (Imam Taqiyuddin An Nabhani, Al Syakhshiyyah Al Islamiyyah, Juz I). Selain itu ijtihad sahabat secara perorangan (mazhab al shahabi) bukanlah sumber hukum yang kuat (mu’tabar). (Imam Taqiyuddin An Nabhani, Al Syakhshiyyah Al Islamiyyah, III/417). Wallahu a’lam.