Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz, bolehkah kulit lembu korban ditukar dengan daging?
Jawapan:
Haram hukumnya bagi shahibul korban (al mudhahhi) atau urusetia korban yang mewakilinya untuk menukarkan kulit korban dengan daging, kerana menukarkan kulit korban dengan daging itu sebenarnya termasuk juga dalam istilah jual-beli (al bai’). Padahal syariah Islam telah mengharamkan menjual-belikan kulit korban, sebagaimana pendapat jumhur ulama, iaitu ulama Malikiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah. (Hisamuddin ‘Ifanah, Al Mufashshal fii Ahkam Al Udh-hiyyah, hlm.154-155; Nada Abu Ahmad, Al Jami’ Li Ahkam Al Udh-hiyah, hlm. 55-56; Abu Abdirrahman M. Al ‘Alawi, Fiqh Al Udh-hiyah, hlm. 127-132).
Menukarkan kulit korban dengan daging termasuk dalam jual-beli, kerana jual-beli itu ditinjau dari segi barang dagangannya (al mabii’) merupakan istilah umum yang mencakup 3 jenis jual-beli. Pertama, menukarkan wang dengan barang, yang disebut jual-beli mutlak (al bai’ al muthlaq). Kedua, menukarkan wang dengan wang, yang disebut jual-beli mata wang (bai’ ash sharaf). Ketiga, menukarkan barang dengan barang, yang disebut jual-beli barter (bai’ al muqaayadhah). (Shalah Al Shawi dan Abdullah Al Mushlih, Maa Laa Yasa’u Al Taajir Jahluhu, hlm. 75).
Maka keharaman menjual belikan kulit korban dapat diberlakukan pada pertukaran kulit korban dengan daging, kerana pertukaran ini termasuk juga dalam keumuman istilah jual-beli (al bai’), walaupun disebut dengan istilah “pertukaran” (al mubadalah).
Adapun dalil-dalil yang menunjukkan haramnya menjual kulit korban antara lain:
Pertama, dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang menjual kulit korbannya, maka tidak ada (pahala) korban baginya.” (Arab: man baa’a jilda udh-hiyatihi fa-laa udh-hiyata lahu). (HR Al Hakim, Al Mustadrak ‘Ala Al Shahihain, Juz II, hlm. 286, nombor 3468, dan Al Baihaqi, Sunan Al Baihaqi, Juz IX, hlm. 294. Ini adalah hadis sahih, demikian menurut Imam As Suyuthi dalam Al Jami’ Al Shaghir Juz II hlm. 167, juga menurut Syeikh Nashiruddin Al Albani dalam Sahih At Targhib wa At Tarhiib hlm. 455 dan Sahih Al Jami’ Al Shaghir, Juz II, hlm.1055).
Kedua, dari Qatadah bin An Nu’man RA, Nabi SAW bersabda, “Manfaatkanlah kulit-kulit korban itu tapi janganlah kamu menjualnya.” (Arab: wastamti’uu bi-juluudihaa wa laa tabii’uuhaa). (HR Ahmad, Juz IV, hlm. 15. Dalam Majma’uz Zawaid, Imam Al Haitsami mengatakan hadis ini adalah hadis mursal yang sahih isnadnya. Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 1019, hadis no. 2138).
Berdasarkan dalil-dalil inilah para ulama mengharamkan jual-beli kulit korban. Imam Ibnu Hazm berkata, “Tidak halal bagi orang yang berkorban untuk menjual sedikit pun dari korbannya setelah dia selesai menyembelihnya, samada kulitnya, bulunya, rambutnya…” (Ibnu Hazm, Al Muhalla, Juz VII, hlm. 385).
Imam Nawawi berkata, “Tidak boleh menjual kulit korban, tidak boleh juga menjadikan kulit korban sebagai upah bagi urusetia, meskipun itu korban sunnah. Yang perlu dilakukan adalah menyedekahkan kulit korban itu.” (Imam Nawawi, Raudhat Al Thalibin, Juz II, hlm. 493).
Imam Ibnu Qudamah berkata, “Secara umum bahawa tidak boleh menjual sesuatu pun dari korban, baik itu dagingnya mahupun kulitnya, baik itu korban sunnah mahupun korban wajib…” (Ibnu Qudamah, Al Mughni, Juz IX, hlm. 356).
Maka dari itu, haram hukumnya menukarkan kulit korban dengan daging, kerana pertukaran ini sebenarnya juga termasuk dalam keumuman istilah jual-beli (al bai’). Kaedah ushuliyah menetapkan : Al ‘aam yabqaa ‘alaa ‘umuumihi maa lam yarid daliil at takhshiish. (Dalil yang umum tetap dalam keumumannya selama tidak terdapat dalil yang mengkhususkannya). Wallahu a’lam. [ ]