[Tsaqafah] Muslimah Tidak Wajib Berniqab (Bahagian 2)
Penulis: Najmah Saiidah
Persoalan ini merupakan salah satu persoalan penting dalam sistem interaksi antara lelaki dan perempuan. Usaha untuk mengangkat pendapat mana pun akan mempengaruhi corak kehidupan Islam.
Penjelasan tentang Hadis Rasulullah SAW
Sementara itu, hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka tentang kewajipan wanita muslimah memakai niqab, sesungguhnya tidak menunjukkan pengertian ini.
Hadis yang menyatakan bahawa أَلْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ (wanita itu adalah aurat), sesungguhnya bersifat umum dan ada hadis-hadis lain yang mengkhususkannya. Ini menunjukkan bahawa aurat wanita adalah wajah dan telapak tangan.
Salah satu di antaranya adalah hadis Asma’ yang menjelaskan hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Hai Asma’, sesungguhnya seorang wanita itu jika telah baligh, tidak boleh untuk dilihat kecuali ini dan ini (Baginda memberi isyarat pada wajah dan telapak tangannya).”
Hadis berkenaan hamba mukatab -jika dia mampu membayar tebusannya- yang diperintahkan untuk berniqab di hadapan tuannya, adalah khusus terkait dengan isteri-isteri Nabi SAW. Hadis ini diperkuat oleh hadis lainnya.
Abu Qilabah bertutur, “Isteri-isteri Nabi SAW tidak berniqab di hadapan hamba mukatab yang masih memiliki harta satu dinar (untuk tebusan).”
Dari sini jelaslah bahawa hadis ini tidak boleh dijadikan sebagai hujah yang mewajibkan hanya mata muslimah yang boleh dilihat. Setelah itu, turunlah ayat mengenai hijab.
Sementara itu, hadis mengenai Fadhl ibn Abbas bukanlah dalil bagi kewajipan untuk berniqab melainkan ia hanya dalil bahawa tidak adanya keharusan untuk berniqab.
Khuts’amiyah sendiri, ketika menanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW, wajahnya kelihatan. Buktinya lagi, Fadhl sempat memandang wajahnya dan adanya kalimat terakhir yang tercantum dalam hadis tersebut yang berbunyi, “oleh kerana itu, Rasulullah SAW memalingkan wajah Fadhl ke arah yang lain.” Hal ini adalah kerana Rasulullah SAW melihat ada perubahan pada pandangan Fadhl iaitu dari pandangan biasa kepada pandangan syahwat. Ini merupakan pandangan yang diharamkan kerana itu Baginda SAW memalingkan wajah Fadhl.
Atas dasar ini, bermaksud tidak ada hadis yang menunjukkan bahawa Allah SWT telah mensyariatkan muslimah untuk mengenakan hijab pada wajahnya sebagaimana yang diserukan oleh mereka yang berpendirian seperti ini.
Walhasil, jelaslah bahawa tidak ada satu dalil pun yang menunjukkan Allah SWT telah mewajibkan muslimah untuk mengenakan hijab pada wajahnya atau bahawa wajah dan kedua telapak tangan wanita merupakan aurat, baik dalam waktu solat ataupun di luar waktu solat. Dalil-dalil yang ditunjukkan oleh mereka tidak ada relevannya dengan kewajipan untuk berhijab, apalagi riwayat dan penunjukan dalilnya adalah lemah.
Sebagaimana diketahui, wajah dan kedua telapak tangan perempuan bukanlah aurat. Oleh kerana itu, seorang wanita dibolehkan untuk keluar menuju pasar atau melalui jalan umum menuju ke tempat mana pun dengan menampakkan wajah dan kedua telapak tangannya. Hal ini telah ditegaskan di dalam Al-Quran mahupun Hadis.
Dalam Al-Quran, terdapat firman Allah SWT.,
وَقُلْ لِّلْمُؤْمِنٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ اَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوْجَهُنَّ وَلَا يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ اِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلٰى جُيُوْبِهِنَّۖ
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [TMQ An-Nur (24): 31]
Dalam ayat ini, Allah SWT melarang muslimah untuk menampakkan perhiasannya atau menampakkan bahagian tubuh tempat melekatnya perhiasannya. Inilah maksud dari larangan tersebut. Pengecualian atas bahagian tubuh selain tempat melekatnya perhiasan, iaitu berupa apa yang biasa tampak, sudah sangat jelas. Maksudnya, pada diri wanita terdapat bahagian-bahagian tubuh tertentu tempat melekatnya perhiasannya yang biasa tampak. Bahagian-bahagian tubuh tersebut secara jelas memang tidak dimasukkan ke dalam larangan.
Ibnu ‘Abbas mentafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengan mâ zhahara minhâ (apa yang biasa tampak pada dirinya) adalah wajah dan kedua telapak tangan. Pendapat ini seiring dengan pendapat para ahli tafsir yang lain.
Ibnu Jarîr ath-Thabarî menyatakan, “Yang paling benar adalah pendapat yang menyatakan bahawa yang dimaksud adalah wajah dan dua telapak tangan.”
Imam Al-Qurthubî pula mengatakan “Wajah dan kedua telapak tangan lazim terlihat, baik dalam keseharian atau dalam haji dan solat.”
Kerana itu, layak jika pengecualian itu dikembalikan maksudnya pada dua anggota badan ini.
Pendapat ini didukung oleh Imam Az-Zamakhsyarî yang menyatakan, “Sesungguhnya seorang wanita, tatkala melakukan sesuatu, mutlak perlu menggunakan kedua telapak tangannya dan menampakkan wajahnya; terutama pergelangannya.” (HR Abu Dawud)
Hadis-hadis ini menunjukkan gambaran pasti bahawa yang biasa terlihat pada kaum wanita adalah wajah dan kedua telapak tangan mereka.
Perempuan Muslimah Biasa Lebih Wajib Berniqab daripada Isteri Rasul, Benarkah?
Sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW saja (yang mereka itu terjaga kesuciannya) wajib berniqab, apalagi muslimah biasa (maka lebih wajib untuk berniqab), maka pendapat ini tidak boleh diterima.
Ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan isteri-isteri Rasulullah SAW untuk berniqab (Surah Al-Ahzab: 33 dan 53) adalah ayat-ayat yang bersifat khusus untuk mereka, sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya.
Dalam hal ini, tidak berlaku kaedah al-ibrah bi umuumi lafdzi la bikhususis sabaab (berlakunya hukum ditentukan oleh umumnya lafaz, bukan oleh khususnya sebab). Dalam konteks ini, tidak boleh disimpulkan bahawa sebab turunnya ayat tersebut memang khusus berkaitan dengan isteri-isteri Nabi SAW, tetapi ketentuan hukumnya berlaku umum bagi semua muslimah.
Pendapat seperti ini tidak dapar diterima. Ini kerana, yang disebut dengan asbabun nuzul ayat adalah mengacu pada suatu peristiwa yang terjadi, sedangkan dalam ayat tersebut, isteri-isteri Nabi SAW bukanlah “peristiwa” yang terjadi dan ditunjuk oleh ayat tersebut.
Ayat tersebut merupakan nas tertentu yang menjelaskan apa yang seharusnya dilakukan oleh orang-orang tertentu. Maksudnya, nasnya hanya menyangkut isteri-isteri Nabi SAW.
Kedua ayat yang dimaksud merupakan perintah yang ditujukan hanya kepada individu-individu tertentu (isteri Rasul) yang karakternya telah disifati dengan sifat-sifat tertentu sehingga tidak berlaku sama sekali bagi selain mereka, baik yang darjatnya lebih tinggi ataupun yang lebih rendah daripada mereka dan memang khusus untuk isteri-isteri Rasulullah saja.
Dari seluruh pemaparan di atas, jelaslah bahawa tidak ada kewajipan bagi muslimah untuk berniqab, sama ada ketika solat mahupun tidak. Kewajipan berniqab hanya dikhususkan untuk isteri-isteri Rasul saja.
Tidak benar jika dikatakan bahawa muslimah biasa lebih wajib berniqab. Hal ini diperkuat lagi dengan fakta mengenai keadaan muslimah pada masa Rasulullah SAW pada masa Al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini lebih menguatkan bahawa muslimah tidak wajib berniqab, tidak juga sunnah, melainkan mubah, boleh saja.
Perempuan Muslimah di Hadapan Rasulullah SAW
Ada beberapa hadis yang menjelaskan tentang bagaimana para muslimah di hadapan Rasulullah SAW, iaitu bahawa mereka dalam keadaan tidak berniqab, mereka menampakkan wajahnya. Ini bermaksud bahawa muslimah tidak wajib berniqab dan tidak pula sunnah kerana memang tidak ada qarinah (indikasi) yang menunjukkan hal demikian.
Di antara hadis tersebut adalah riwayat ‘Athâ’ bin Abî Rabbâh. Dia menuturkan bahawa Ibnu ‘Abbas pernah berkata kepadanya, “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Aku menjawab, “Ya.” Dia kemudian menceritakan bahawa wanita tersebut berkulit hitam. Wanita itu pernah datang kepada Nabi SAW lalu berkata, “Aku ini menderita penyakit ayan sehingga auratku sering tersingkap. Oleh kerana itu, aku mohon engkau berdoa kepada Allah untukku.” Rasulullah SAW menjawab. “Sesungguhnya jika engkau menghendaki dan bersabar, balasannya syurga. Akan tetapi, jika engkau menghendaki, aku boleh mendoakanmu supaya engkau sembuh.” wanita itu berkata, “Kalau begitu, aku mahu bersabar. Akan tetapi, auratku sering tersingkap. Oleh kerana itu, doakanlah agar auratku tidak tersingkap.” Setelah itu, Nabi SAW. mendoakannya.
Hadis lainnya, Bilal berkata, “Aku pernah bersama-sama Rasulullah SAW. pada hari raya. Ketika itu, Baginda SAW berlalu sehingga datang para wanita kepadanya. Baginda kemudian bersabda kepada mereka, ‘Hendaklah kalian bersedekah kerana sesungguhnya kebanyakan penghuni neraka adalah para wanita.’ Salah seorang wanita di antara kerumunan itu, sambil memukul-mukul pipinya, berkata, ‘Mengapa demikian, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kerana kalian banyak mengeluh dan menolak keluarga kalian.’ Kemudian Rasulullah SAW menganjurkan mereka untuk menyedekahkan perhiasan-perhiasan yang mereka miliki dan dikumpulkan pada kainnya Bilal.” Dalam riwayat lain, Bilal mengatakan, “Ada wanita yang memiliki bintik-bintik hitam di wajahnya telah menyedekahkan hartanya.”
Jadi, bagaimana dengan pendapat yang menyatakan wajibnya berniqab kerana takut fitnah? Oleh sebab itu, sesungguhnya fitnah tidak boleh menjadi perbahasan yang mengharamkan untuk menampakkan wajah. Ini kerana memang tidak ada nas syarak yang menyatakan hal demikian.
Hukum syarak adalah seruan Asy-Syaari’ (Pembuat Hukum, iaitu Allah), sedangkan pengharaman untuk menampakkan wajah kerana khuatir adanya fitnah tidak ada dalam seruan Asy-Syaari’. Oleh sebab itu, kita tidak boleh semena-mena membuat hukum sendiri.
Khatimah
Dari seluruh penjelasan di atas, jelaslah bahawa tidak ada satu dalil pun yang menunjukkan bahawa Allah SWT telah mewajibkan muslimah untuk mengenakan niqab atas wajahnya. Wajah dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat, baik ketika solat mahupun di luar solat. Dalil-dalil yang mereka tunjukkan tidak ada relevannya dengan kewajipan untuk berniqab.
Lebih lagi, adanya fakta yang menunjukkan para muslimah di hadapan Rasulullah SAW adalah dalam keadaan menampakkan wajahnya. Dengan demikian, pendapat yang lebih kuat adalah tidak wajib bagi wanita muslimah untuk berniqab, melainkan mubah (boleh saja) hukumnya. Wallahualam bissawab.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/09/17/11597/
#Fokus #Tsaqafah