[Nafsiyah] Empat Perkara untuk Menggapai Redha Allah
Penulis: H. Luthfi H.
Al-Hafidz Abu Naim dalam Hilyatul Auliya dari Hatim al-Asham menyatakan, “Barangsiapa yang istiqamah berada dalam empat perkara, maka dia akan mendapat redha Allah SWT., iaitu tsiqah, tawakal, ikhlas dan makrifat. Dan segala sesuatunya akan sempurna dengan makrifat kepada Allah SWT.” (Fashal Khitab, Zuhud, Raqaaiq dan Adab, Juz 2)
Pertama tsiqah (percaya) kepada Allah.
Maksudnya adalah membenarkan apa saja yang diperintahkan, dikhabarkan dan dijanjikan oleh Allah SWT. kepada kita. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perkataan, sebaik-baik penepat janji dan Dia tidak pernah menyalahi janji-Nya.
Firman Allah SWT.,
(وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا وَعْدَ اللَّـهِ حَقًّا وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّـهِ قِيلًا)
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagaimana janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” [TMQ An-Nisa’ (4): 122]
Begitu juga firman-Nya,
(لَـٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِّن فَوْقِهَا غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَعْدَ اللَّهِ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ الْمِيعَادَ)
“Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.” [TMQ Az-Zumar (39): 20]
اللهم اجعلنا من الذين اتقوا ربهم وعملوا الصالحات … آمين يا رب العالمين!!
“Semoga Allah menjadikan kita orang-orang yang bertakwa dan beramal soleh, aamiin yaa Rabbal ‘aalamiin.”
Kedua, tawakal kepada Allah.
Bertawakal kepada Allah adalah sesuatu yang dituntut selain kita melakukan usaha sebagai sebuah kausaliti. Tawakal bukanlah sikap pasrah tetapi ia merupakan sikap hati, keimanan bahawa hanya Allah SWT. satu-satunya Zat yang layak dijadikan sandaran dan penentu segala kejayaan.
Firman Allah SWT.,
(وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ).
“…dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah, jika benar kamu orang-orang yang beriman” [TMQ Al-Maidah (5): 23]
اللهم اجعلنا ممن يتوكلون عليك حق توكله … آمين يا رب العالمين!!
“Ya Allah, jadikanlah kami di antara orang-orang yang bertawakal kepada-Mu dengan sebenar-benar tawakal, aamiin yaa Rabbal ‘aalamiin.”
Ketiga, ikhlas.
Sikap ikhlas ini dituntut dalam segala perkataan, perbuatan, dakwah dan serangkaian amal ibadah lainnya. Hanya kepada Allahlah segala perkataan dan perbuatan kita persembahkan.
Firman Allah SWT.,
(فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ).
“Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).” [TMQ Ghaafir (40): 14]
(وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ)
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.” [TMQ Al-Bayyinah (98): 5]
اللهم اجعلنا ممن يعبدون الله مخلصين له الدين … آمين يا رب العالمين!!
“Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dalam menjalankan agama yang lurus. Aamiin yaa Rabbal ‘aalamiin.”
Keempat, makrifat kepada Allah.
Makrifat adalah ilmu pengetahuan yang menghilangkan kebodohan. Siapa saja yang memiliki pengetahuan pastinya akan berbeza dengan orang yang bodoh. Siapa yang mengetahui, tidak akan menjadi seperti orang yang tidak mengetahui.
(قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ)
“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” [TMQ Az-Zumar (39): 9]
Sungguh benar bahawa tidak akan pernah sama antara orang-orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui. Seorang ulama memiliki kedudukan yang istimewa dan tinggi di sisi Allah. Allah juga akan meninggikan darjat mereka di syurga kelak.
Firman Allah SWT.,
(يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ).
“…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan..” [TMQ Al-Mujadalah (58): 11]
نسأل الله العظيم رب العرش الكريم أن يحعلنا وإياكم من الذين آمنوا ومن الذين أوتوا العلم فيرفعهم درجات … إنه ولي ذلك والقادر عليه… آمين يا رب العالمين!!
“Kami memohon kepada Allah yang Maha Agung, pengatur ‘Arsy yang mulia, untuk menjadikan kami semua termasuk orang-orang yang beriman, dan termasuk orang-orang yang diberikan ilmu sehingga mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sesungguhnya hanya Allah pelindung kita dan Dia berkuasa atas segala sesuatu.” Aamiin yaa Rabbal ‘aalamiin.
#Nafsiyah