[Kolum Siyasah] Ibrah Daripada Bencana Gempa Bumi Turki-Syria
Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turki dan utara Syria pada 6 February lalu telah memusnahkan lebih 50,000 bangunan dan sehingga kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya lebih 40,000 nyawa. Gegaran yang berlaku di sepanjang garisan Anatolia Timur pada kali ini disifatkan sebagai bencana dan gempa bumi terburuk yang melanda negara itu sejak 1939 yang telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa.
Musibah sebegini boleh menghapuskan dosa mangsa, mengangkat mereka ke darjat syahid dan boleh memberi pengajaran kepada kita semua tentang ketundukan dan ketaatan kepada Allah (SWT) Pencipta alam semesta. Bencana alam seperti gempa bumi merupakan manifestasi jelas kelemahan dan ketidakupayaan manusia dalam dua aspek.
Pertama, kita mempunyai sedikit pengetahuan yang terhad, kurang ilmu ghaib yang di luar jangkauan manusia. Tiada yang tahu kecuali Pencipta manusia dan alam semesta. Allah (swt) berfirman, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun
dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” [Surah Al-An’am: 59].
Kedua, manusia tidak boleh menghentikan atau mengawal kejadian tersebut sekiranya Pencipta menghendakinya. Dialah Pemilik dan Pengawal semua makhluk dan segala-galanya adalah milik-Nya termasuk langit, bumi dan manusia. Allah (swt)
berfirman, “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak daripada peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” [Surah Fatir:41].
Musibah gempa ini mendedahkan kekuatan ikatan persaudaraan akidah berada dalam lubuk hati umat ini. Tanpa mengira bangsa dan bahasa mereka bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan bagi meringankan beban saudara mereka di Turki dan Syria. Rasulullah (SAW) pernah bersabda, “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik dan itu tidak untuk seseorang kecuali orang mukmin. Jika dia mendapat kebaikan dia bersyukur dan itu baik untuknya. Jika ditimpa kemudharatan dia bersabar dan itu baik baginya.” [HR Muslim].
Sekalipun kita berasa amat sedih dengan apa yang berlaku, ini tidak menghalang kita daripada menilai rentetan tragedi dan malapetaka yang menimpa negeri-negeri umat Islam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, peperangan, kemiskinan dan
kebuluran. Walaupun kedudukan geografi sebahagian wilayah telah diketahui sebagai kawasan berisiko tinggi terdedah kepada bencana, namun negara bertanggungjawab mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya secara holistik bagi mengelakkan korban nyawa seperti menetapkan spesifikasi dan syarat untuk
membina bangunan di kawasan berisiko tanpa adanya kelalaian.
Seandainya negeri-negeri umat Islam bersatu di bawah naungan Khilafah, ia sudah pasti mempunyai keupayaan yang luas daripada aspek dana, kepakaran, teknologi dan tenaga kerja yang memadai bagi pengurusan bencana. Bahkan umat Islam di
Syria tidak akan dibiarkan dalam keadaan yang sungguh menyedihkan seperti saat ini apabila diabaikan pemimpin dunia Islam. Sungguh, amat berat tugas dan tanggungjawab para pemimpin umat Islam untuk memelihara harta dan nyawa umat
ini dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Sumber: mykhilafah
#gempabumi #saveturkiye #savesyria #earthquaketurkeysyria