[Kenyataan Media] Lawatan Perdana Menteri Malaysia ke China, Apa yang Tak Kena?
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan rasminya ke China selama 3 hari bermula 29 Mac lepas. Ia merupakan lawatan sulung Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022. Hampir kesemua saluran berita dan portal yang pro kerajaan melaporkan dan membesar-besarkan kejayaan lawatan ini seolah-olah ini adalah kejayaan terbesar bagi Malaysia. Tidak dinafikan propaganda ini dilakukan demi memulih dan mencantikkan imej Perdana Menteri ke-10 itu setelah lawatan beliau ke Arab Saudi seminggu sebelumnya didakwa gagal oleh pembangkang gara-gara gagal menemui pemimpin tertinggi negara Arab tersebut.
Anwar nampaknya cukup berbangga apabila disambut dengan permaidani merah di China dan dapat menemui Presiden dan juga Perdana Menteri negara tembok besar itu. Lawatan sulung ini menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dari China iaitu sebanyak RM170 bilion, yang merupakan jumlah terbesar setakat ini. Ia adalah hasil daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan China-Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital. Kedua-dua pihak bersetuju untuk merancakkan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Sejak 2009, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di mana pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion).
Di sebalik kebanggaan Anwar membawa masuk pelaburan yang begitu besar, ia hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman China ke atas ekonomi Malaysia, yang sekali gus memberi kesan kepada apa jua keputusan politik Malaysia terhadap China yang akan memuaskan hati China . Secara langsung atau tidak, keadaan ini sebenarnya telah memberi laluan kepada China untuk menguasai bukan sahaja bidang ekonomi Malaysia, tetapi juga politik dan pemerintahan. Sedangkan Allah (swt) berfirman, ﴾ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا ﴿ “Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan bagi orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].
Setakat ini, walaupun China merupakan antara kuasa besar dunia yang belum berminat ke arah penjajahan fizikal, namun melalui kekuatan ekonominya, ia telah berjaya “menduduki” banyak negara di dunia termasuk beberapa negara Eropah dan Timur Tengah sehingga berjaya menggoncang hegemoni Amerika. Dalam rangka kekhuatiran mengguris hati Amerika, Anwar semasa ucapannya di China menegaskan bahawa Malaysia akan tetap mengekalkan hubungan baik dengan negara Uncle Sam tersebut. Di sebalik kewajipan untuk memutuskan hubungan dengan negara kafir yang memusuhi Islam, sungguh malang apabila Anwar sebaliknya berusaha meneruskan hubungan baik, yang menunjukkan tidak ada perbezaan antara Anwar dengan para pemimpin Malaysia yang terdahulu.
Hipokrasi China sangat jelas apabila semasa pertemuan antara Anwar dan Xi Jinping, pemimpin republik tersebut melahirkan kebimbangan mengenai situasi yang sedang berlaku di Myanmar. Xi berkata China menyokong usaha yang diterajui ASEAN untuk menangani situasi di Myanmar termasuk usaha untuk membantu merungkai masalah Rohingya. Di negaranya sendiri dia telah melakukan kekejaman melampau ke atas Muslim Uighur, lalu tiba-tiba dia menunjukkan keprihatinan terhadap Muslim Rohingya? Adakah Anwar tidak nampak akan hipokrasi China ini, atau tidak pernah tahu akan kekejaman China ke atas Muslim di Turkestan Timur itu, atau Anwar hanya menutup mata dengan semua itu demi habuan duniawi yang ingin diraih daripada China?
Sungguh, perbezaan pemerintah Muslim sekarang dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) terlalu jauh, malah mereka melakukan yang sebaliknya. Semasa Rasulullah (saw) mula menjadi penguasa di Madinah, walaupun Madinah pada waktu itu baru sahaja muncul sebagai sebuah negara, masih kecil dan serba kekurangan, malah dinilai lemah oleh musuh-musuhnya, namun ternyata Rasulullah (saw) telah mengirim utusan ke Rom dan Parsi, dua buah super power dunia pada waktu itu dalam rangka mengajak mereka masuk Islam sekali gus tunduk kepada agama Allah demi keselamatan mereka. Di sepanjang pemerintahan baginda, hubungan yang dibangun oleh Rasulullah (saw) dengan negara luar adalah berdasarkan akidah Islam semata-mata, bukannya berdasarkan manfaat, jauh sekali untuk menjalin hubungan baik apabila ia melibatkan negara yang memusuhi Islam. Sebaliknya bagi penguasa Muslim pada hari ini yang menjalin hubungan dengan negara luar semata-mata kerana manfaat duniawi. Mereka tidak pernah menjadikan misi mengajak kepada Islam apabila menjalin hubungan dengan pemimpin negara kafir tersebut. Sedangkan Rasulullah (saw) sentiasa menjadikan dakwah dan jihad sebagai asas membangun hubungan dengan negara-negara kafir.
Sungguh, umat Islam memerlukan negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang bukan sahaja untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya dalam negara, tetapi untuk mengembalikan semula jati diri dan kemuliaan Islam apabila berhadapan dengan negara-negara kufur. Apabila tegaknya Khilafah sedikit masa lagi dengan izin Allah (swt), kita tidak akan menyaksikan lagi pemimpin kaum Muslimin terhegeh-hegeh mencari izzah (kemuliaan) daripada orang-orang kafir sebagaimana pada hari ini, tetapi kita akan menyaksikan sebaliknya Insya Allah, yang mana para pemimpin kafir akan datang menemui Khalifah dalam keadaan penuh hormat dan rendah diri. Wallahu A’lam.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia
Ruj: HTM 1444 / 01
Selasa, 13 Ramadhan 1444 H/ 4 April 2023