Site icon MuslimahHTM News

[Nahdhah Fikriyyah] Tenaga Wanita Penting Untuk Membina Peradaban Dunia

[Nahdhah Fikriyyah | NF115] Tenaga Wanita Penting Untuk Membina Peradaban Dunia

Oleh: Amani Mohamed

MUKADIMAH

 

Takbir kemenangan tatkala menjelang Syawal adalah tanda kejayaan melalui bulan Ramadhan penuh keberkatan. Takbir yang pertama kali dilaungkan dalam sejarah Islam adalah ketika tentera Islam meraih kemenangan besar mengalahkan pasukan Ahzab. Kemenangan ini berjaya menguatkan Islam dan melemahkan kekufuran. Kejayaan yang mengukuhkan peradaban Islam yang mulia. Bukan sedikit keringat, air mata dan darah yang tumpah. Kerja keras Rasulullah, para sahabat lelaki dan sahabiyah wanita yang tak kenal erti rehat. Semuanya dilakukan demi rehat yang abadi di syurga milikNya kelak.

 

MUDAHKAH WANITA UNTUK KE SYURGA?

 

Hari ini, ramai wanita rasa gembira tatkala mendengar sebuah hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya, maka masuklah dia ke pintu syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” [HR Ibnu Hibban]

 

Bunyinya seperti mudah untuk wanita melayakkan diri sebagai ahli syurga. Tetapi apabila kita telusuri sumber rujukan utama umat Islam iaitu al-Qur’an, Allah telah memerintahkan kita para Muslimah untuk melaksanakan lebih daripada kewajipan dalam hadis di atas.

 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” [TMQ at-Taubah (9): 71]

 

Hakikatnya, kedua-dua dalil di atas bukanlah bertentangan, malah saling menguatkan. Taat kepada suami bukanlah membawa maksud hanya berdiam diri di rumah berkhidmat 24 jam buat suami dan anak-anak. Dalam muamalat sesama manusia, baik dengan orang tua, suami atau isteri, bahkan dengan pemimpin negara sekalipun, sememangnya kita dituntut untuk taat kepada mereka. Bagi memahami batas ketaatan tersebut, terdapat dua kaedah yang perlu kita perhatikan:

 

Pertama, cinta kepada Allah dan RasulNya adalah yang paling besar berbanding yang lain. Betapa hormat, patuh atau cintanya kita kepada seseorang yang kita taati, tidak boleh melebihi cinta dan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Ia merupakan buah keimanan. Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda,

Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga aku (Rasulullah) menjadi yang paling dicintainya daripada anaknya, orang tuanya dan seluruh manusia.” [HR Bukhari]

 

Kedua, ketaatan kepada orang lain hanya dalam perkara yang makruf. Menurut Syeikh As-Sa’di, “Al-ma’ruf maksudnya perbuatan kebaikan dan perbuatan ketaatan dan semua yang diketahui baiknya oleh syariat dan oleh akal sihat.” (Tafsir As Sa’di, 1/194—196). Dari Ali bin Abi Thalib RA, Rasulullah SAW bersabda,

Tidak ada kewajipan taat jika diperintahkan untuk derhaka kepada Allah. Kewajipan taat hanya ada dalam perkara kebaikan.” [HR Bukhari dan Muslim].

 

Justeru itu, suami yang taat pada perintah Allah dan Rasul tentu tidak berhalangan untuk memberi izin isteri dan anak-anak perempuannya keluar beberapa ketika dari rumahnya untuk menyelesaikan kewajipan-kewajipan lain sebagai hamba Allah. Contohnya kewajipan menuntut dan menyampaikan ilmu, melakukan amar makruf dan nahi mungkar, menyantuni ibu bapa dan berukhuwah dengan jiran tetangga. Sepasang suami isteri yang saling mendukung dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah pastinya mendapat keberkahan yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ingatlah perintah Allah kepada orang-orang yang beriman melalui ayat ke-6 dalam surah At-Tahrim agar dipelihara diri dan ahli keluarga daripada menjadi bahan bakar api neraka.

 

Lihatlah sahaja realiti kes-kes wanita hari ini yang mudah dieksploitasi dan dimanipulasi. Isu ditinggalkan suami, nafkah, hadhanah, dikasari, ditipu ‘scammer’, diperdaya dengan cinta, wang dan sebagainya. Semua ini mencetuskan keperluan untuk wanita memperkasakan sesama wanita agar menjadi celik ilmu dan cerdas menyelesaikan pelbagai ujian kehidupan berlandaskan hukum syari’at Islam. Wanita lebih memahami fitrah sesamanya. Di sinilah peluang untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang juga menjadi fardhu ain ke atas setiap muslimah.

 

Bagaimana peradaban Islam yang hebat akan dibina semula jika wanita hanya mengambil sikap jaga diri sendiri di rumah tanpa peduli nasib wanita dan generasi di luar yang semakin merisaukan? Pada masa yang sama serangan pemikiran untuk menukar cara hidup Islami seorang muslimah secara bertubi-tubi dari pelbagai arah. Adakah kita masih bersikap diam diri atau perlu bertindak?

 

Sedangkan Allah juga telah mengancam umat Islam dengan seksaan yang keras sekiranya mereka bersikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang nyata di hadapan mata, serta tidak bertindak untuk mengubah kemungkaran tersebut.  Huzaifah Al-Yamani meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW,


“Demi Zat yang jiwaku di tanganNya, (sungguh kalian memiliki dua pilihan iaitu) benar-benar memerintah berbuat makruf dan melarang membuat mungkar, ataukah Allah akan mendatangkan seksa dari sisiNya yang akan menimpa kalian. Kemudian setelah itu kalian berdoa, maka doa itu tidak akan dimakbulkan
” [HR Tirmidzi]

 

ME’MADU’KAN KEWAJIPAN LAIN DENGAN TUGASAN RUMAHTANGGA

 

Kehidupan bermadu dengan wanita lain adalah ujian buat insan bernama isteri. Tetapi, bukan isu ‘evergreen’ ini yang akan diulas. Kehidupan moden dalam dunia kapitalis hari ni, ramai juga sukakan topik me’madu’kan rumahtangga dengan kerjaya. Tugas ibu dan isteri adalah wajib, sedangkan keluar bekerja pula hanya mubah (harus) hukumnya. Formulanya mudah. Haram mengabaikan yang wajib dengan alasan mengejar tingkat tertinggi dalam kerjaya. Ini kerana tidak pernah terbukti bahawa sebuah peradaban hebat boleh dibina apabila semakin ramai wanita hebat dalam kerjaya atau menduduki pelbagai jawatan penting negara. Semuanya retorik semata-mata.

 

Persoalan yang lebih besar adalah me’madu’kan semua tugasan wajib yang diperintahkan Allah dan akan disoal di akhirat kelak. Bunyinya seperti melelahkan, tetapi Allah tahu kita mampu kerana segala perintah dari Dia tidak pernah menzalimi para hambaNya. Pelajarilah dari pengorbanan Saidatina Asma’ binti Abu Bakar, isteri solehah buat suaminya Zubair bin Awwam. Kecerdasannya dalam berkhidmat buat suaminya yang tidak berharta melainkan seekor kuda. Tidak pernah diabaikan tugasnya sebagai seorang isteri dan anak kepada Saidina Abu Bakar. Pengorbanannya menjadi pembawa bekal makanan buat Baginda SAW dan ayahnya di Gua Tsur sehingga digelar Dzatun Nithaqain. Bayangkan keadaannya walau sedang sarat hamil, beliau sanggup keluar rumah memikul tugas penuh risiko. Bukan sahaja diasak, malah ditampar oleh kafir Quraisy untuk mendapatkan maklumat persembunyian Baginda. Asma’ amat berjasa supaya Islam dapat dimulakan peradabannya di Madinah ketika itu. Malah beliau tidak pernah berhenti untuk mempertahankan Islam, dengan terus menyatakan yang haq, mencegah kebatilan sehinggalah beliau menjangkau usia tua. Beliaulah yang menempelak pemimpin Hajjaj Ibnu Yusuf yang telah menentang khalifah dan membunuh anaknya, Abdullah bin Zubair. Ramai lagi sahabiyah inspiratif yang saling membantu perjuangan lelaki ke arah kejayaan Islam serta mempertahankannya termasuklah menyertai pasukan jihad ke medan perang.

 

Buat para isteri yang sedar akan kewajipan ini, izin dan redha suami perlu dititik beratkan. Mintalah dengan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan. Berikut beberapa tips yang boleh diikhtiarkan sebelum keluar rumah:

1) Fahamkan suami tentang tanggungjawab wajib kita di luar rumah adalah perintah Allah.

2) Bereskan urusan rumahtangga semampunya dengan bantuan suami dan ahli keluarga yang lain.

3) Pastikan anak yang dibawa dalam keadaan yang cukup keperluannya.

4) Atur masa kita dengan sebaik-baiknya agar yang dikendong tidak berciciran.

5) Elakkan mengeluh dan mengadu kepenatan dan kepayahan yang merisaukan suami.

 

KHATIMAH

Sesungguhnya harga syurga Allah itu terlalu mahal buat kita. Tugas mengembalikan semula Islam sebagai peradaban juga berat. Tetapi Allah telah berjanji:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad (47):7]

Peradaban Islam ini penting untuk memposisikan semula wanita di tempat yang mulia setelah sekian lama hidup terpuruk. Muslimah hari ini wajib untuk bersama-sama terlibat dalam tugas amar makruf nahi mungkar semata-mata untuk memastikan hanya syariat Islam sahaja yang ditegakkan di tengah-tengah umat. Bukan hanya wanita, tetapi para lelaki dan generasi juga kelak akan dapat limpahan keberkahan dari Allah SWT. Semoga segala tekad dan usaha kita untuk melaksanakan semua ketaatan kepadaNya diganjari dengan Jannatul Firdaus yang diidamkan.

 

Wallahua’lam.

 

RUJUKAN

Biografi 35 Sahabiyah Nabi. Syaikh Mahmud A-Mishri.

Meraih Syurga Allah dengan Taat kepada Suami

 

Exit mobile version