Penulis: Najmah Saiidah
Siapalah yang tidak ingin dipandang mulia di hadapan Allah SWT? Siapa yang tidak ingin mendapatkan jaminan bahawa kelak, dia pasti akan masuk ke syurga-Nya? Setiap insan pasti menginginkannya. Beribadah bersungguh-sungguh, menjalankan kewajipan yang Allah perintahkan, berbuat baik kepada makhluk-Nya, menjauhi hal terlarang adalah sekian dari begitu banyaknya cara untuk mendapatkan redha Allah. Ketika Allah redha, maka berdasarkan janji-Nya, kita akan meraih syurga.
Berkahwin adalah salah satu ibadah yang boleh mendatangkan redha Allah SWT. Perkahwinan merupakan ibadah manusia sehingga akhir hidup. Dalam perkahwinan, ada banyak kewajipan yang perlu dilaksanakan dan bak-hak yang wajib dipenuhi oleh suami mahupun isteri. Seorang suami atau ayah mempunyai peranan penting iaitu sebagai imam buat isteri dan anak-anaknya. Begitu juga dengan seorang isteri yang memiliki peranan yang penting dalam keluarga sebagai sahabat kepada suami sekaligus ibu dan pengelola rumahtangga. Ketika semua peranan ini terlaksana dengan baik sesuai dengan perintah Allah, Allah akan menjamin dengan Syurga.
Gapailah Redha Allah Melalui Taat pada Suami
Setiap muslim perlu selalu berusaha untuk mendapatkan redha Allah kerana redha Allah adalah tujuan utama kehidupan seorang muslim. Kehidupan berumahtangga merupakan sebahagian daripadanya. Antara perkara yang akan mendatangkan keredhaan Allah adalah proses ketaatan isteri terhadap suaminya, sebuah tujuan yang lebih agung daripada berbagai kenikmatan apa pun. Firman Allah SWT,
وَعَدَ اللّٰهُ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَا وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً فِيْ جَنّٰتِ عَدْنٍ ۗوَرِضْوَانٌ مِّنَ اللّٰهِ اَكْبَرُ ۗذٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمُ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [TMQ At-Taubah (9): 72]
Keutamaan redha Allah atas nikmat yang lain menunjukkan bahawa sekecil apa pun yang akan membuahkan redha Allah adalah lebih baik daripada segala jenis kenikmatan. Seorang isteri hendaknya menjadikan redha Allah sebagai tujuan utama. Harapan untuk meraih redha Allah inilah yang sepatutnya menjadi motivasi bagi isteri untuk sentiasa taat pada sang suami. Jika Allah sudah memberikan redha-Nya, adakah perkara lain yang lebih baik kita harapkan?
Taat kepada suami merupakan salah satu kewajipan sebagai seorang isteri agar kita dapat merebut hati suami dan mendapatkan ganjaran dari Allah berupa syurga-Nya yang indah. Banyak hadis yang memerintahkan isteri untuk taat kepada suami, bahkan salah satunya menegaskan dengan sangat jelas bahawa ketika seorang isteri taat kepada suami, terbukalah pintu syurga dan kita boleh masuk dari pintu mana pun yang kita suka. Masya Allah! Tidakkah kita semua menginginkannya? Sabda Rasulullah SAW,
شِئْتِ الْجَنَّةِ أَبْوَابِ أَىِّ مِنْ الْجَنَّةَ ادْخُلِى لَهَا قِيلَ زَوْجَهَا وَأَطَاعَتْ فَرْجَهَا وَحَفِظَتْ شَهْرَهَا وَصَامَتْ خَمْسَهَا الْمَرْأَةُ صَلَّتِ إِذَا
“Jika seorang wanita selalu menjaga solat lima waktu, juga berpuasa sebulan (di bulan Ramadan), serta betul-betul menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) dan benar-benar taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita yang memiliki sifat mulia ini, ‘Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang engkau suka.’” (HR Ahmad dan Ibnu Hibban).
“Seandainya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada orang lain, maka aku akan menyuruh seorang wanita sujud kepada suaminya.” (HR At-Tirmidzi).
Dari Abu Hurairah ra., dia berkata, قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW., “Siapakah perempuan yang paling baik?” Jawab Baginda, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.” (HR An-Nasai).
Dalam hadis lain dijelaskan bahawa salah satu ciri isteri solehah adalah yang taat kepada suaminya. Rasulullah SAW. bersabda, ”Bagi seorang mukmin lelaki, sesudah takwa kepada Allah SWT., maka tidak ada sesuatu yang paling berguna bagi dirinya, selain isteri yang solehah iaiitu, taat bila diperintah, melegakan bila dilihat, redha bila diberi yang sedikit dan menjaga kehormatan diri dan suaminya ketika suaminya pergi.” (HR Ibnu Majah).
Rasulullah bersabda, ”Ada tiga jenis keberuntungan (bagi seorang lelaki), iaitu pertama, mempunyai isteri yang solehah, jika kamu melihatnya, dia melegakan dan kalau kamu tinggal pergi dia amanah serta menjaga kehormatan dirinya dan hartamu, dan jika diperintah, maka ia mentaatimu …” (HR Hakim).
Taat pada Suami Tidak Bersifat Mutlak
Dalam muamalat dengan sesama manusia, baik dengan orang tua, suami atau isteri, bahkan dengan pemimpin negara sekalipun, seseorang dituntut untuk taat kepada mereka. Ada dua kaidah yang perlu kita perhatikan iaitu حب الله و رسوله أعظم (cinta kepada Allah dan Rasul-Nya itu yang paling besar dari yang lain) dan إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ (sesungguhnya ketaatan itu hanya dalam perkara yang makruf). Betapa hormat, patuh atau cintanya kita kepada seseorang yang kita taati, tidak boleh melebihi cinta dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya perlu lebih besar dari yang lain kerana ini adalah buah keimanan. Dalam hadis dari Anas bin Malik ra., Nabi SAW bersabda, “Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga aku (Rasulullah) menjadi yang paling dicintainya daripada anaknya, orang tuanya dan seluruh manusia.” (HR Bukhari)
“Tiga jenis orang yang jika tergolong di dalamnya, akan merasakan kemanisan iman. (1) orang yang mencintai seseorang, tidaklah ia mencintainya kecuali kerana Allah, (2) orang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya paling ia cintai daripada selain keduanya dan (3) orang yang dilemparkan ke dalam api lebih ia sukai daripada ia kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan ia dari kekufuran.” (HR Bukhari Muslim)
Dalam hal ketaatan kepada manusia, tidak kiralah siapa pun (selain Rasulullah) tidak bersifat mutlak dalam segala perkara dan keadaan kerana ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketika sudah berkahwin, suami adalah pemimpin rumahtangga kita, pemimpin keluarga kita, maka sudah sepatutnya sebagai suami isteri perlu saling memahami peranan masing-masing dalam rumahtangga. Kita memiliki kewajipan untuk taat kepada suami selagi bukan ketaatan dalam perkara yang Allah SWT larang. Kerana itulah ketaatan kepada suami bukanlah sesuatu yang mutlak kerana kita tidak boleh taat kepadanya dalam hal kemaksiatan. Tidak ada alasan ketaatan untuk kemaksiatan. “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Al-Khaliq.”
Ketaatan kepada orang lain hanya dalam perkara yang makruf. Dari Ali bin Abi Thalib ra. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada kewajipan taat jika diperintahkan untuk derhaka kepada Allah. Kewajipan taat hanya ada dalam kebajikan.” (HR Bukhari no. 7257 dan Muslim no. 1840). Perkara yang makruf sebagaimana definisi Syekh As-Sa’di, “Al-ma’ruf maksudnya perbuatan kebaikan dan perbuatan ketaatan dan semua yang diketahui baiknya oleh syariat dan oleh akal sihat.” (Tafsir As Sa’di, 1/194—196).
Dalam hadis lain, terdapat larangan bagi suami untuk mencegah isterinya mendatangi masjid atau majlis-majlis ilmu, tentu saja jika ia telah tunaikan seluruh kewajibannya. Dari Abdullah in Umar, Rasulullah SAW. Bersabda, “Janganlah kalian (para suami) melarang para wanita bahagiannya (isteri-isterinya) ke masjid kalau mereka meminta izin kepadamu.” (HR Muslim)
Khatimah
Demikianlah, Islam menetapkan bahawa seorang isteri wajib untuk taat kepada suaminya, sekaligus menjelaskan bahawa ketika isteri taat kepada suaminya, ia akan mendapatkan syurga, bahkan diperbolehkan untuk masuk dari pintu mana pun. Maksudnya, ketaatan seorang isteri merupakan bentuk ibadah kita kepada Allah SWT.. Ketaatan kepada suami tidak hanya mempengaruhi keamanan dan keharmonian hubungan keluarga, tetapi hal ini akan berpengaruh terhadap kehidupan akhirat. Islam juga memuji para isteri yang taat kepada suaminya sebagai wanita terbaik. Rasulullah SAW. bersabda, “Sebaik-baiknya isteri adalah jika kamu memandangnya kamu akan terhibur. Jika kamu menyuruhnya ia akan patuh. Jika kamu bersumpah agar ia melakukan sesuatu, ia akan memenuhinya dengan baik, dan jika kamu berpergian ia akan menjaga diri dan harta bendamu.” (HR Nasa’i).
Wallahu a’lam bisawwab.