Penulis: Nabila Ummu Anas
Dalam Islam, berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan. Sudah tentu pelaksanaan kewajipan ini tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba oleh seorang anak apabila dia telah baligh dan berakal. Ianya memerlukan proses pembelajaran, kebiasaan dan bimbingan Islam kepada anak-anak sejak kecil.
Lebih-lebih lagi keadaan umat hari ini yang jauh dari syariat Islam. Ramai anak-anak umat Islam yang tidak memahami ajaran agamanya dalam pelbagai masalah yang mereka hadapi, termasuk cara melaksanakan kewajipan berbakti kepada ibu bapa.
Sekular Liberal Mencabut Sikap Bakti Anak-anak kepada Ibu Bapa
Ibu bapa seharusnya sedar bahawa arus deras sekular liberal di tengah-tengah kehidupan memberi pengaruh besar terhadap pembentukan rasa dan sikap anak-anak terhadap ibu bapa mereka walaupun terhadap anak-anak yang masih kecil dan belum baligh. Kata-kata kasar, membentak, mengarah, sikap tidak acuh, tidak menghiraukan panggilan ibu bapa, tidak mahu mendengar nasihat malah berani memarahi ibu bapa, seolah-olah perkara biasa yang dilakukan oleh anak-anak terhadap ibu bapa mereka.
Hubungan antara anak dan ibu bapa sama seperti berinteraksi dengan rakan sebaya, tiada rasa hormat dan rendah diri terhadap orang yang telah bersusah payah berjuang melahirkan, mengasuh, dan membesarkan mereka. Oleh itu, keluarga muslim mesti memahami bahawa ini adalah hasil dari meninggalkan peraturan Islam dan peraturan buatan manusia yang bebas dan memisahkan Islam dari kehidupan.
Al-Quran dan Sunnah Mewajibkan Berbakti kepada Ibu Bapa
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi yang menjelaskan agar anak perlu berbakti kepada ibu bapanya. Allah SWT berfirman, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah!’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.” [TMQ Al-Israk (17): 23]
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” [TMQ An-Nisa’ (4): 36]
“Katakanlah, ‘Mari aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhanmu kepada kamu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa.’ [TMQ Al-An’am (6): 151]
Rasulullah saw juga perintahkan supaya berbakti kepada ibu bapa ketika beliau ditanya oleh Abdullah bin Mas’ud ra., “Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah ‘Azza Wa Jalla?” Nabi bersabda, “Solat pada waktunya.” Ibnu Mas’ud bertanya lagi, “Lalu apa lagi?” Nabi menjawab, “Lalu birrul walidain (berbakti kepada kedua ibu bapa).” Ibnu Mas’ud bertanya lagi, “Lalu apa lagi?” Nabi menjawab, “Jihad fi sabilillah.” Demikian yang beliau katakan. “Seandainya aku bertanya lagi, tampaknya beliau akan menambahkan lagi.” (HR Bukhari dan Muslim).
Mengajar Kewajipan Islam sejak Kecil
Sejak kecil, ibu bapa hendaklah mengajak anak-anak untuk melaksanakan pelbagai kewajipan di dalam Islam. Mengajar anak-anak cara berwuduk yang benar, solat, puasa sehingga berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Kita hendaklah menyampaikan pada anak-anak bahawa Allah sangat menyayangi anak-anak yang taat kepada Allah, yakni dengan melaksanakan segala yang Allah perintahkan. Jelaskan bahawa balasannya adalah syurga yang kekal abadi dengan pelbagai kenikmatan di dalamnya.
Kita juga perlu mengatakan bahawa tidak melaksanakan kewajipan merupakan kemaksiatan yang akan membuat Allah marah dan murka serta bagi pelakunya akan diseksa di dalam neraka.
Selain itu, biasakan anak-anak untuk bercakap dan bersikap lemah lembut di hadapan ibu bapa, menyayangi, menghormati, tidak memarahi, apalagi mengherdik ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam melatih kebiasaan anak-anak melaksanakan kewajipan berbakti ini. Perlu ada usaha berterusan dan dinamik sambil melihat pelbagai peristiwa di sekeliling anak-anak pastinya akan mempengaruhi pola fikir dan sikap anak-anak.
Ibarat kata, ketika anak keluar dari rumah, sudah tentu banyak debu di luar sana dan boleh jadi kotoran yang mesti ibu bapa bersihkan segera ketika anak pulang ke rumah. Mungkin sukar bagi ibu bapa. Namun, suka atau tidak, inilah yang mesti ibu bapa lakukan dengan sabar dan bersungguh-sungguh kerana ia adalah sebahagian dari tanggungjawab ibu bapa.
Kerana setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan kelak di Yaumil Kiamat tentang bagaimana ibu bapa mempersiapkan anak-anaknya agar dapat menjalankan kewajipan berbakti kepadanya. Bukan setakat usaha, ibu bapa hendaklah sentiasa memanjatkan doa untuk anak-anak. Memohon agar Allah Sang Pencipta kurniakan anak soleh, taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berbakti kepada ibu bapanya.
Berdakwah Mengembalikan Kehidupan Islam
Kita mesti segera menghapuskan sistem kehidupan sekular liberal yang merosakkan anak-anak muslim. Sistem kehidupan yang menghilangkan Islam dari pemikiran anak-anak umat ini adalah sistem rosak yang sangat tidak layak untuk hadir mengelilingi ataupun mengatur pemikiran, rasa, dan sikap umat Islam.
Kesedaran akan kerosakan sistem hari ini perlu ada pada setiap ibu bapa dan keluarga muslim. Perlu ada dorongan kuat untuk membuang sistem beracun ini, jangan sampai mematikan dan seterusnya menghambat kelahiran anak-anak soleh di tengah-tengah masyarakat.
Oleh itu, dakwah untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan manusia juga menjadi kewajipan bagi umat Islam. Ini kerana ia akan menjadi beban yang amat berat bagi ibu bapa untuk melahirkan anak-anak soleh yang berbakti kepadanya jika medan kehidupan mereka dipenuhi lumpur kerosakan dan kemaksiatan.
Sebaliknya, kehidupan Islam adalah arena yang kondusif untuk melahirkan anak-anak yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta berbakti kepada kedua ibu bapa mereka. InsyaAllah. Wallahualam. [MNews/Gz]
Artikel dari:
https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2025208137656991/