Pembahagian Peranan dalam Rumah Tangga, Pilihan atau Ketetapan Syariat?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Tidak dapat dinafikan bahawa pada hari ini, di tengah keadaan ekonomi masyarakat yang tidak menentu akibat pelaksanaan sistem sekular kapitalisme, tidak sedikit keluarga Muslim yang mengalami kesulitan hidup. Sistem ini memang menjadikan kehidupan serba sempit dan harga-harga semakin meningkat naik. Harta berputar pada orang-orang kaya, jurang pemisah antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Pada akhirnya, rakyat kecil menjadi korban, sedangkan hanya pengusaha besar yang mampu bertahan. Gelombang pemberhentian pekerja juga tidak dapat dielakkan, memaksa kaum perempuan atau isteri harus turun tangan agar dapur tetap berasap.
Keadaan ini kemudian mengakibatkan adanya “pertukaran peranan” dalam keluarga: para ibu harus berperanan menafkahi keluarga, sedangkan para ayah beralih peranan menjaga rumah dan mengurus anak-anak.Sebahagian kalangan menilai bahawa pada dasarnya pembahagian peranan ini lebih bersifat pilihan sehingga suami-isteri atau ayah-ibu boleh bekerjasama, baik dalam hal kerja awam untuk mencari nafkah mahupun merealisasikan potensi diri.
Mereka berpendapat bahawa dalam kehidupan rumah tangga sehari-hari, ada dua peranan penting, iaitu domestik dan awam. Peranan domestik adalah pelbagai tugas dan kegiatan di dalam rumah atau kegiatan yang berkaitan dengan tugas-tugas reproduksi. Antaranya adalah mencuci, membersihkan rumah, memasak, menjaga anak, hingga menemani anak belajar. Sedangkan peranan awam adalah tugas atau peranan di luar rumah yang diorientasikan untuk mendapatkan dana atau wang (income) dan untuk kepentingan pengembangan potensi dan merealisasikan potensi diri.
Dua peranan ini difahami sebagai pembahagian peranan suami-isteri secara tidak baku atau ketat. Lelaki tidak semestinya berperanan di awam untuk mencari wang. Sebaliknya, perempuan tidak semestinya tinggal di rumah dan mengerjakan pelbagai tugas rumah tangga serta mengasuh atau mendidik anak. Dengan demikian, suami dan isteri dapat menyesuaikan dengan keadaan, peluang, kemampuan, dan kapasiti masing-masing.
Sekilas pandang, pendapat di atas seolah-olah adil bagi suami-isteri kerana masing-masing bebas memilih mahu peranan yang mana. Hanya saja, bagaimana jika keduanya memilih berada pada peranan yang sama? Siapa yang akan menjalankan peranan yang lainnya? Bagaimana pandangan Islam tentang hal ini?
Pembahagian Peranan di Rumah Tangga dalam Pandangan Islam
Islam sebagai agama yang sempurna telah mengatur kehidupan rumah tangga dengan sangat terperinci sehingga terwujud ketenteraman dan kasih sayang di dalam keluarga. Namun, di tengah gempuran sistem sekular kapitalistik yang mencengkam keluarga Muslim, kadang kala situasi ini tidak sentiasa berlangsung ideal. Liberalisme demikian kuat mengancam keluarga Muslim sehingga mahu tidak mahu ibu bapa harus berusaha ekstra “menyelamatkan” pemahaman keluarganya daripada gempuran fahaman kebebasan ini.
Lebih daripada itu, tidak adanya jaminan pemenuhan keperluan asas oleh negara menjadikan keluarga Muslim perlu mencari sendiri dana untuk mencukupinya. Terkadang, pendapatan yang diperoleh ayah tidak mencukupi untuk memenuhi seluruh keperluan, lebih-lebih lagi pada situasi sekarang ini, terdapat keadaan yang menyebabkan ayah kehilangan pekerjaan atau dirumahkan, dan akhirnya isteri yang harus turun tangan membantu suami agar seluruh keperluan keluarga dapat dipenuhi.
Sejatinya, tanggung jawab mengurus keluarga tidak dapat diserahkan kepada satu pihak, ibu sahaja atau ayah sahaja. Apalagi jika ayah dan ibu sama-sama harus bekerja dan tidak mudah pula bagi pasangan untuk menyerahkan urusan rumah tangga kepada orang lain, terlebih pengasuhan dan pendidikan anak-anaknya.
Keadaan seperti ini mungkin sedang kita alami. Membahagikan masa dan memberi tumpuan untuk bekerja, sekaligus mengurus anak dan rumah tangga, bukanlah hal yang mudah. Oleh itu, kerjasama dan kesepakatan ayah-ibu dan anak-anak dalam mengurus keluarga sangatlah diperlukan.
Selain memiliki peraturan terperinci tentang hukum-hukum keluarga, Islam memiliki sekumpulan peraturan yang memastikan hukum-hukumnya ditegakkan secara sempurna, baik yang mesti dilaksanakan oleh individu, masyarakat, maupun negara. Secara individu, setiap Muslim hendaklah memiliki pemahaman yang benar terkait seluruh hukum Islam, termasuk hukum-hukum keluarga dan wajib terikat dengannya sebagai konsekuensi iman. Setiap anggota keluarga mesti memainkan peranan dan fungsinya masing-masing dengan benar. Dapat dibayangkan apa yang akan terjadi kalau seorang isteri sesuka hati keluar masuk dari rumah, atau sebaliknya, suami juga berbuat sesuka hatinya, tentu kekacauan yang akan timbul.
Oleh sebab itu, agar keluarga Muslim sentiasa berada dalam keadaan sakinah, mawaddah, dan penuh rahmat (samara), Islam memberikan peraturan khusus bagi suami-isteri atau ayah-ibu untuk mengemban tanggungjawab kepimpinan dalam rumah tangga. Suami sebagai ketua dan pemimpin keluarga, sedangkan isteri sebagai pemimpin rumah suaminya sekaligus pemimpin bagi anak-anaknya.
Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kalian adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya. Seorang amir (ketua negara) adalah pemimpin rakyatnya, yang akan dimintai pertanggungjawapan atas kepimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin rumah tangga, yang akan dimintai pertanggungjawapan atas kepimpinannya, seorang perempuan adalah pemimpin atas rumah tangga suaminya dan anak-anaknya yang akan dimintai pertanggungjawapan atas kepimpinannya, seorang pelayan adalah pemimpin atas harta tuannya, yang akan dimintai pertanggungjawapan atas kepimpinannya. Ingatlah setiap kalian adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggungjawapan atas kepimpinannya.” [HR Bukhari Muslim].
Peranan kepimpinan dalam hadis ini sama sekali tidak menunjukkan adanya legitimasi atau kelebihan darjat yang satu atas yang lain. Pemimpin negara tidak dianggap lebih mulia daripada rakyatnya. Seorang lelaki sebagai suami tidak pula dianggap lebih mulia berbanding isteri dan anak-anaknya. Kepimpinan adalah tanggungjawab dan amanah yang dibebankan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan, seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai sebuah amal ibadah.
Allah SWT telah memberikan peranan dan tanggungjawab yang sedemikian adil bagi lelaki dan perempuan dalam kehidupan berkeluarga. Keduanya adalah pemimpin, hanya saja cakupannya berbeza. Lelaki sebagai suami/ayah adalah ketua keluarga, ia adalah pemimpin keluarga. Sedangkan perempuan sebagai isteri/ibu adalah pemimpin di rumah suaminya. Keduanya dituntut untuk dapat melaksanakan peranannya dengan baik dan mereka akan diminta pertanggungjawapan kelak di akhirat. Di sinilah sesungguhnya setiap pasangan hendaklah saling menguatkan agar seluruh tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Peranan Mulia Seorang Suami
Islam menetapkan peranan dan fungsi suami adalah menjadi pemimpin rumah tangga yang berkewajipan menafkahi dan melindungi seluruh anggota keluarganya. Dia adalah nakhoda yang akan mengendalikan ke mana bahtera akan diarahkan, dan kepimpinan tersebut telah Allah amanahkan ke bahu suami.
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisaa (4): 34,
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
Sebagai pemimpin keluarga, suami berkewajipan memberi nafkah yang layak kepada isteri dan anak-anaknya. Ketentuan ini sangat jelas dan tegas dipaparkan dalam firman Allah SWT,
“Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].
Suami yang baik dalam perspektif Islam adalah orang yang sungguh-sungguh dalam bekerja demi memenuhi keperluan nafkah keluarganya secara makruf. Dia tidak akan lari dari tanggungjawab ini, apalagi dengan melimpahkan beban nafkah kepada isteri atau anak-anaknya. Sungguh besar balasan yang Allah berikan pada suami yang kuat bekerja demi memenuhi kewajipan nafkah keluarga.
As-Sarkhasi dalam Al-Mabsuth menyebutkan bahwa Rasulullah SAW pernah bersalaman tangan Sa’ad bin Muadz RA. Ketika itu, kedua tangan Sa’ad tampak kasar. Nabi SAW lalu bertanya kepadanya dan Sa’ad menjawab, “Saya sentiasa mengayunkan cangkul dan kapak untuk mencari nafkah keluargaku.” Kemudian Rasulullah SAW mencium tangan Sa’ad seraya bersabda, “Inilah dua telapak tangan yang disukai Allah.”
Selain itu, Allah memerintahkan kepada suami agar bergaul secara makruf dengan isterinya, sebagaimana dalam firmanNya surah Al-Baqarah (2): 228,
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوف.
“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”
Terkait ayat di atas, Ibnu Abbas menuturkan dalam tafsirnya, “Para isteri berhak atas persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka wajib taat (kepada suaminya) dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.”
Di samping mewajibkan suami yang mampu untuk bekerja, Islam juga memberi dorongan yang sangat besar agar suami berusaha memenuhi nafkah keluarga. Islam telah menetapkan bahwa pembelanjaan untuk nafkah keluarga lebih agung pahalanya dibanding infak fisabilillah, membebaskan budak, dan bersedekah kepada orang miskin.
Rasul SAW bersabda, “Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan budak, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu, yang paling agung pahalanya adalah yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu.” [HR Muslim].
Peranan Mulia Seorang Isteri
Islam juga memberi kewajipan, peranan, dan fungsi mulia bagi isteri. Isteri berkewajipan mentaati suaminya. Di samping kewajipan, taat kepada suami juga merupakan sifat seorang isteri solehah. Allah SWT menegaskan hal tersebut dalam surah An-Nisa ayat 34,
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّه
“Maka perempuan-perempuan yang solehah itu adalah mereka yang taat dan menjaga diri ketika suaminya tidak ada.”
Sedangkan perempuan sebagai pemimpin rumah tangga suami dan anak-anaknya mengandungi pengertian bahawa dia adalah sebagai ibu dan pengurus rumah suaminya (ummun wa rabbah al-bayt). Kepimpinan yang utama adalah merawat, mengasuh, dan mendidik anak-anaknya agar kelak menjadi orang yang mulia di hadapan Allah. Ia juga berperanan membina, mengatur, dan menyelesaikan urusan rumah tangga agar memberikan ketenteraman dan keselesaan bagi anggota-anggota keluarga lainnya.
Dengan peranan ini, bermakna dia telah memberikan sumbangan besar kepada negara dan masyarakatnya. Dia telah mendidik dan memelihara generasi umat agar tumbuh menjadi individu-individu yang soleh dan muslih di tengah masyarakatnya. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa kepimpinan perempuan ini berperanan melahirkan pemimpin-pemimpin yang adil, jujur, dan dipercayai di tengah umat. Adapun dalam kedudukannya sebagai pengurus rumah, perempuan berfungsi sebagai rakan kongsi utama daripada pemimpin rumah tangga (suami). Hubungan keduanya dalam rumah tangga dibina atas dasar persahabatan dan kasih sayang sebagai persahabatan yang sempurna.
Semua penjelasan di atas terkait peranan dan fungsi suami isteri dalam rumah tangga. Lantas bagaimana terkait pelaksanaan berbagai pekerjaan rumah tangga?
Perkongsian Peranan dalam Pekerjaan Rumah Tangga
Sesungguhnya, Islam telah mengaturnya dengan sangat terperinci. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Nizham al-Ijtima’iy menjelaskan bahawa seorang isteri wajib melayani suaminya, seperti menanak nasi, memasak, membersihkan rumah, menyediakan minuman jika suami memintanya, menyiapkan makanan untuk dimakan, serta melayani suaminya dalam seluruh perkara yang harus dilakukannya di dalam rumah. Sebaliknya, suami wajib menyediakan apa sahaja yang diperlukan isterinya yang berasal dari luar rumah, seperti menyediakan air, serta apa sahaja yang diperlukan untuk membersihkan kotoran dan pelbagai keperluan lain.
Ringkasnya, seluruh aktiviti yang harus dilakukan di dalam rumah menjadi kewajipan isteri. Sebaliknya, seluruh aktiviti yang harus dilakukan di luar rumah menjadi tanggungjawab suami. Ini sebagaimana hadis berkaitan dengan kisah Ali dan Fatimah RA., “Rasulullah SAW telah memutuskan atas puteri baginda, Fatimah, wajib mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di dalam rumah; dan atas Ali wajib mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan di luar rumah.”
Hanya sahaja, adanya pembahagian peranan ini tidaklah bersifat kaku sampai-sampai suami tidak boleh membantu isterinya untuk mengerjakan tugas di dalam rumah, atau sebaliknya. Sekali lagi, kehidupan perkahwinan adalah kehidupan persahabatan. Tidak dilarang bagi suami untuk mengemop lantai, menyapu, mahupun mencuci pakaian, bahkan memasak. Demikian juga seorang isteri yang berbelanja ke pasar untuk keperluan memasak. Semuanya bernilai pahala.
Contoh yang cukup masyhur adalah keluarga Ali bin Abi Thalib. Mereka selalu bekerja sama dan saling membantu dalam mengurus keperluan-keperluan rumah tangga. Fatimah membuat tepung gandum dan memutar penggiling dengan tangan sendiri. Dia membuat roti, menyapu lantai, dan mencuci. Hampir tidak ada pekerjaan rumah tangga yang tidak ditanganinya sendiri. Pada suatu hari, Rasulullah SAW datang menjenguk Fatimah RA, tepat saat dia dan suaminya sedang menggiling tepung. Baginda SAW terus bertanya, “Siapakah di antara kalian berdua yang akan kugantikan?” ‘Ali menjawab, “Fatimah!” Fatimah lalu berhenti dan digantikan oleh ayahandanya menggiling tepung bersama Ali RA.
Khatimah
Demikianlah cara Islam mengatur tentang kehidupan keluarga, serta bagaimana gambaran kehidupan keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat. Sungguh Islam telah mengatur dengan sangat terperinci peranan masing-masing anggota keluarga. Islam pun memberikan keleluasaan untuk saling berkongsi peranan, membantu satu dan yang lainnya tanpa mengabaikan tugas dan peranan utamanya. Bermaksud, pembahagian peranan dalam rumah tangga bukanlah pilihan, melainkan ketetapan hukum syarak yang mesti ditunaikan pasangan suami-isteri agar rumah tangganya sentiasa diliputi ketenteraman dan keberkatan.
Hanya sahaja, memang kehidupan keluarga yang ideal ini memerlukan sistem kehidupan yang kondusif, iaitu sistem peraturan yang datang daripada Sang Maha Pencipta dan Pengatur. Tiada lain sistem itu adalah Islam. Ini semua hanya akan terwujud apabila Islam diterapkan secara kaffah dalam naungan Daulah Khilafah Islamiah. Keluarga yang kukuh hanya akan terwujud melalui metode yang sesuai dengan tuntunan syariat Islam dan dukungan sistem politik Islam. Wallahu a‘lam.
#KeluargaMuslimIdeal #HakSuamiIsteri #PerananKekekluargaan #NafkahKeluarga #SistemIjtimaie