“Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada wanita. Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku yang paling baik kepada isteri”.
Inilah anjuran berumahtangga yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW sepatutnya menjadi model kepada suami dan isteri dalam melayari bahtera rumahtangga tanpa mempertikaikan tangungjawab sesama sendiri. Islam tidak melebihkan lelaki berbanding wanita malah tiada sebarang bentuk diskriminasi keatas wanita boleh dilakukan. Allah juga telah mengingatkan kepada kita dalam surah An-Nisa ayat 32. Setiap wanita dan lelaki akan memperoleh ganjaran atas setiap apa yang diusahakan. Oleh itu ketahuilah bahawa Islam sangat memuliakan wanita dan meletakkan wanita setaraf dengan lelaki yangmana kedua-duanya adalah makhluk dan hamba Allah SWT.
Citra buruk sistem kapitalisme telah mengangkat penyimpangan sudut pandang feminisme atau golongan liberalisme terhadap wanita dalam Islam. Salah tanggap ini yang menyebabkan mereka mengangkat isu kesetaraan gender kerana pada logik akal mereka hukum-hukum Islam itu mendiskriminasikan wanita terutamanya dari segi harta pewarisan. Malah mereka turut mempersoalkan kedudukan lelaki sebagai qawwan/pemimpin dalam rumahtangga.
Islam meletakkan fungsi negara sebagai sebuah institusi politik yang menjamin kesejahteraan hidup warganegaranya dengan penerapan syariah Islam dalam kehidupan masyarakat. Ini akan menghasilkan kehidupan masyarakat penuh ketenteraman, kemuliaan, keadilan dan kesejahteraan.
Negara akan menutup segala bentuk aktiviti mengeksploitasi wanita dan merendahkan wanita serta khalifah akan memastikan keselamatan wanita dan seluruh warganya terpelihara . Ini jelas dinyatakan dalam artikel 112 draf Undang-undang Dasar Daulah Khilafah dimana perempuan merupakan kehormatan yang wajib dijaga. Wanita merupakan aset negara yang terpenting kerana dari wanita akan terlahirnya generasi. Jika rosaknya wanita maka rosaklah generasi. Artikel 119 draf Undang-undang Dasar Khilafah memastikan setiap lelaki dan wanita tidak boleh melakukan aktiviti yang membahayakan akhlak atau mengundang kerosakan ditengah-tengah masyarakat.
Secara kesimpulannya sejarah telah menunjukkan sebelum ini dimana Islam dilaksanakan secara menyeluruh dan secara kaffah, para wanita mendapat kehormatan dan kehidupan mereka adalah sejahtera.
– Puan Ummu Maryam
Pembentang dalam E-Forum Keluarga Sejahtera Wanita Bahagia (2022)