Kenaikan OPR, Siapa Yang Kejam?
Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0% yang sekaligus memberi kesan langsung terhadap kenaikan kadar interest (riba) sebahagian pinjaman (pembiayaan) rakyat. Kenaikan OPR ini membawa reaksi yang pelbagai. Ahli ekonomi sudah menjangkakannya, namun ada yang melihat kenaikan ini berlaku terlalu awal. Sekalipun gabenor bank mengatakan OPR tak akan menjadi penyebab orang muflis, namun rakyat yang terkesan meluahkan kekecewaan terhadap kenaikan ini yang dilihat tidak selari dengan idea ‘rahmah’. Lebih memburukkan keadaan, para politikus terus menerus menunggang isu OPR ini demi “political mileage” mereka.
Meskipun umum mengetahui kuasa BNM dalam menentukan naik-turunnya OPR, ia masih sering dijadikan polemik berkaitan kuasa eksekutif kerajaan dalam membantu rakyat. Dalam amalan kapitalis, dasar monetari berasaskan fiat dan ekonomi yang digerakkan oleh hutang ribawi adalah antara faktor nilai matawang mengalami ketidaktentuan. BNM pula bertanggungjawab terhadap turun-naiknya OPR untuk mengawal nilai matawang dan inflasi. Pada dasarnya, pertimbangan kenaikan OPR disandarkan pada faktor domestik dan luaran. Kenaikan OPR dalam konteks domestik bertujuan mengurangkan hutang isi rumah dan mengawal kadar inflasi. Faktor luaran pula amat bergantung kepada kenaikan nilai faedah Dolar Amerika (USD) dan kenaikan OPR dalam konteks ini bertujuan untuk menarik pelabur luar dan memelihara sentimen pelabur agar tidak berlepas diri akibat nilai Ringgit yang jatuh berbanding USD. Walaupun BNM merujuk kepada data ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan yang positif, namun hasilnya tidaklah melimpah dan dinikmati oleh kebanyakan rakyat khususnya golongan B40. Inilah realiti pahit yang terpaksa ditelan. Ironisnya, apabila OPR diturunkan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi maka inflasi akan meningkat dan apabila inflasi meningkat OPR dinaikan semula untuk mengawal jumlah wang yang beredar.
Persoalannya, mengapakah kita seakan pasrah dengan kitaran ekonomi sebegini? Apakah tiada jalan keluar dari krisis ini? Hakikatnya, krisis ini berlaku akibat dasar monetari (kewangan) dan industri hutang ribawi dalam amalan ekonomi kapitalis saat ini. Islam memiliki sistem ekonomi yang berbeza dan merupakan satu-satunya solusi bagi seluruh umat manusia yang didasarkan pada model unik yang berbeza dari kapitalisme. Sistem ekonomi Islam menghapuskan amalan ribawi, spekulasi dan penimbunan harta, serta menggunakan matawang bersandarkan piawai emas dan perak yang mampu membatasi pencetakan matawang serta mampu mencegah terjadinya inflasi. Dan jika terjadi kenaikan harga, ia adalah disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan, bukan kerana dasar monetari Islam. Selain itu, piawai emas dan perak memberikan nilai tukar tetap antara matawang dan mencegah turun-naik nilai tukar yang mendadak. Pembiayaan perniagaan pula boleh dicapai tanpa melibatkan pinjaman riba. Ia boleh dilakukan melalui mekanisme syirkah (perkongsian) yang menepati syariat Islam. Demikian juga halnya dengan larangan penimbunan wang dan larangan monopoli – semuanya berfungsi untuk memastikan aktiviti ekonomi yang adil. Inilah antara gambaran umum sistem ekonomi Islam yang hanya dapat diterapkan dalam sistem Khilafah. Mengapa hanya dengan Khilafah? Kerana sistem ekonomi Islam perlu berjalan beriringan dengan sistem Islam yang lain sebagai manifestasi penerapan Islam yang kaffah!
Sumber: mykhilafah