Kebiasaan yang Baik
Oleh: ABI
Ada orang meninggal dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Meninggal saat solat berjemaah di masjid, saat membaca al-Quran, saat berzikir atau bertaubat kepada Allah SWT, saat menghadiri majlis ilmu atau mengajarkan ilmu, saat berdakwah atau berjihad di jalan Allah SWT, dll.
Sebaliknya, banyak orang mati dalam keadaan maksiat kepada Allah SWT. Mati di kelab malam, di meja judi atau di tempat pelacuran. Mati saat mabuk atau mati kerana dadah. Ada juga yang mati saat menikmati duit rasuah, hasil korupsi atau hasil riba. Mati dalam keadaaan mendedahkan aurat atau saat berlenggak-lenggok di atas pentas. Mati dalam keadaan menyakiti ibu bapa, mengabaikan hak-hak suami/isteri atau menzalimi orang lain; dll.
Banyak juga yang mati dalam keadaan menangguh-nangguh bahkan meninggalkan solat, lalai dari zikir mengingat Allah SWT, jarang sekali membaca al-Quran. Mati dalam keadaan asyik bermain games, berpesta di tempat-tempat hiburan; dll.
Semua itu tergantung pada kebiasaan masing-masing saat hidup. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Katsir dan Imam as-Sa’adi serta ulama lainnya rahimahumulLaah: “Anna man ‘aasya ‘alaa syay’[in] maata ‘alayh (Sungguh siapa saja yang hidup di atas suatu kebiasaan tertentu, dia pun akan diwafatkan di atas kebiasaan tersebut.” (Ibnu Katsir, Tafsiir al-Qur’aan al-’Azhiim, 2/101).
Alhasil, kita boleh saja berharap mati dalam keadaan husnul khatimah. Namun, pada akhirnya, kita akan mati sesuai dengan kebiasaan kita saat hidup. Apakah semasa hayat kita, biasa taat kepada Allah SWT? Atau sebaliknya, semasa hayat kita sentiasa melakukan dosa dan bermaksiat kepada-Nya?
Sudah pasti, di sinilah pentingnya kita selalu memiliki banyak kebiasaan yang baik, yakni kebiasaan-kebiasaan yang mendatangkan pahala. Apakah itu? Tidak lain semua kebiasaan yang muaranya adalah ketaatan kepada Allah SWT.
Tentang taat kepada Allah SWT, Malik bin Dinar rahimahulLaah berkata: “Ittakhidz thaa’atalLaah tijaarat[an] ta’tika al-arbaah min ghayri bidhaa’at[in] (Jadikanlah ketaatan kepada Allah sebagai ‘perniagaan [bisnes]’ yang mendatangkan laba [keuntungan] tanpa [perlu menjual] barang dagangan).” (Ibnu Hibban, Rawdhah al-’Uqalaa, hlm. 63).
Laba/keuntungan hasil daripada “perniagaan” dalam bentuk ketaatan kepada Allah SWT ini tidak lain berupa syurga yang luasnya seluas langit dan bumi (lihat: QS Ali Imran [3]: 133).
“Perniagaan” dalam bentuk ketaatan kepada Allah SWT inilah yang merupakan “perniagaan” yang tidak akan pernah rugi sekaligus bakal menyelamatkan pelakunya dari azab yang pedih di akhirat (Lihat: QS ash-Shaff [61]: 10).
Saat seorang Muslim menjadikan taat kepada Allah SWT sebagai kebiasaan baiknya, dia tidak akan disibukkan dengan perkara maksiat. Kalaupun dia—sebagai manusia—tak lepas dari dosa, dia selalu berusaha untuk banyak bertaubat. Tak pernah menunda-nunda. Maka dari itu, banyak bertaubat pun menjadi salah satu kebiasaan baiknya. Dalam hal ini, tentu benar apa yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rajab rahimahulLaah, “Menunda-nunda taubat saat usia muda itu sangat buruk. Jauh lebih buruk lagi menunda-nunda taubat saat usia sudah tua.” (Ibnu Rajab, Lathaa’if al-Ma’aarif, 737).
Taubat adalah salah satu usaha kesan dari kesedaran akan banyaknya kekurangan diri; merasa diri banyak dosa. Hal ini sudah pasti amat penting agar seorang Muslim berusaha memperbaiki diri setiap hari. Jangan sampai, seperti kata Imam Ibnu al-Mubarak rahimahulLaah, “Di antara musibah terbesar bagi seseorang adalah dia tahu kekurangan (aib) dirinya, lalu dia tidak peduli dan tidak bersedih atas kekurangan (aib) dirinya tersebut.” (Al-Baihaqi, Syu’ab al-Iimaan, hlm. 867).
Banyak orang sedar atas kekurangan (aib) dirinya, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengubah keadaannya. Sedar banyak dosa, tetapi tidak segera bertaubat. Sedar memiliki sedikit pahala, tetapi tidak segera melakukan amal soleh. Inilah di antara musibah terbesar yang menimpa seseorang.
Dengan demikian yang diperlukan seseorang bukan sekadar menyedari segala kekurangan (aib) dirinya, tetapi usahanya untuk memperbaiki diri dengan cara: meninggalkan perkara dosa dan maksiat, memperbanyak amal soleh, disertai dengan terus meningkatkan pemahaman agamanya (tafaqquh fii ad-diin).
Penting juga untuk memiliki kebiasan baik yang lain, yakni: tidak menunda-nunda dalam melakukan amal kebaikan. Demikian sebagaimana dikatakan oleh Khalid bin Ma’dan rahimahulLaah, “Saat pintu kebaikan telah terbuka di hadapan salah seorang di antara kalian, segera masuk, kerana dia tidak tahu bila pintu kebaikan tersebut tertutup kembali.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’laam an-Nubalaa’, 4/540).
Oleh sebab itu, jangan sesekali menunda-nunda untuk beramal soleh kerana merasa masih banyak kesempatan. Kesempatan itu boleh berupa waktu lapang, masa muda, kesihatan, kecukupan harta, dll. Semua kesempatan itu boleh saja hilang tiba-tiba dan tidak akan kembali lagi. Pada saat itu, bukan sahaja peluang untuk beramal soleh makin terbatas, malah boleh jadi tiada lagi peluang.
Sebaliknya, segera akhiri segala kebiasaan buruk, termasuk yang sia-sia (tak berguna). Dalam hal ini, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa, “Di antara tanda Allah berpaling dari hamba-Nya adalah Dia menjadikan dirinya sibuk dalam hal-hal yang tak berguna (sia-sia).” (Ibnu Abdil Barr, At-Tamhiid, hlm. 200).
Hal-hal yang tidak berguna (sia-sia) adalah semua perkara yang tidak mendatangkan manfaat di dunia dan pahala di akhirat. Agar Allah SWT tidak berpaling dari diri kita, semua kesia-siaan itu perlu ditinggalkan. Apalagi jika di dalamnya mengandungi unsur dosa dan kemaksiatan.
Maka dari itu penting untuk mengingat salah satu pesan Imam Ali ra., “Dari sekian banyak kesibukan, cukuplah ketaatan menjadi kesibukanmu (Imam an-Nawawi, Nashaa’ih al-’Ibaad, hlm. 18).
Terakhir, kita hendaklah sentiasa ingat akan nasihat Rasulullah SAW, “Manfaatkanlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa muda (kekuatan)-mu sebelum datang masa tua (kelemahan)-mu; masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu; masa kaya (kecukupan)-mu sebelum datang masa kefakiran (kekurangan)-mu; waktu lapangmu sebelum datang masa sempitmu.” (Al-Mundziri, At-Targhiib wa at-Tarhiib, 2/203).
Alhasil, semoga kita memiliki banyak kebiasaan yang baik—yakni amal kebiasaan yang diliputi dengan ketaatan kepada Allah SWT—dan semoga kita dapat istiqamah dengannya hingga akhir hayat.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.
#muhasabah #nasihat #selfreminder