[At-Tafkir] Memahami Teks-Teks Pemikiran (Bahagian 4/4)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Adapun golongan kedua dari ulama kaum muslim, iaitu orang-orang yang mempelajari falsafah Yunani dan logika Yunani, mereka terbahagi lagi menjadi dua golongan. Golongan yang pertama adalah golongan yang menjadikan falsafah Yunani sebagai asas dan melakukan takwil terhadap berbagai pemikiran Islam agar sesuai dengan berbagai pemikiran falsafah Yunani. Mereka juga menerapkan berbagai pemikiran falsafah Yunani terhadap pemikiran Islam. Golongan ini adalah golongan Muktazilah.
Golongan yang kedua adalah golongan yang menyikapi pemikiran-pemikiran golongan pertama tersebut dengan sikap penentangan dan kritikan. Mereka berusaha untuk meluruskan dan menolak Muktazilah. Golongan inilah yang dikenal dengan nama Ahlu Sunnah. Maka terjadilah perdebatan di antara dua golongan tersebut.
Mereka disibukkan dengan perdebatan tersebut dan meninggalkan aktiviti mengemban dakwah Islam, sehingga akhirnya mereka dijauhkan dari aktiviti utama yang diwajibkan oleh Allah atas mereka—iaitu mendakwahkan Islam kepada non-muslim—dengan usaha mereka untuk meluruskan akidah pada sesama kaum muslim, apakah dengan menggunakan pemikiran-pemikiran falsafah Yunani sebagai dalil untuk membuktikan kebenaran pemikiran Islam dan untuk menjelaskannya, atau adakah dengan cara menolak pemikiran-pemikiran tersebut.
Kaum muslim akhirnya disibukkan dengan aktiviti ini dari generasi ke generasi dan dari abad ke abad. Meskipun mereka semuanya adalah kaum muslim, tetapi kerana terpengaruh oleh falsafah Yunani akhirnya mereka dijauhkan dari tugas utama, iaitu mengemban dakwah Islam kepada selain kaum muslim.
Masalahnya tidak berhenti sampai di sini. Kajian falsafah dan logika Yunani tersebut juga memunculkan kelompok-kelompok lain seperti Jabariyah, Murji`ah, Qadariyah, dan lain-lain. Keadaan ini mengakibatkan lahirnya berbagai macam mazhab, aliran, pemikiran, dan kelompok di antara kaum muslim.
Akhirnya, berlaku kacau bilau terhadap pemikiran umat Islam sehingga kaum muslim pun menjadi berpuluh-puluh firkah dan aliran pemikiran. Semua itu disebabkan oleh masuknya falsafah Yunani ke negeri-negeri Islam dan akibat kesediaan dari banyak kaum muslim untuk mempelajarinya, tanpa adanya pemahaman yang boleh membatasi dan membezakan berbagai pemikirannya, juga tanpa adanya gambaran yang benar terhadap makna pemikiran-pemikiran tersebut.
Andai kata kekuatan Islam itu sendiri tidak ada, andai kata tidak ada sikap ahlu sunah waljamaah yang dengan jujur dan ikhlas menghadapi berbagai pemikiran-pemikiran tersebut dengan menjelaskan fakta yang ditunjukkannya serta menggambarkan makna-maknanya dengan benar, andai kata tidak dihunus pedang yang tajam untuk menghadapi orang-orang kafir di antara berbagai firkah dan aliran tadi, andai kata semua ini tidak ada, nescaya Islam telah hilang dan hancur akibat falsafah Yunani beserta berbagai pemikiran dan pendapat yang telah dilahirkannya.
Adapun pemikiran-pemikiran kapitalisme dan sosialisme, maka bahayanya boleh disaksikan dan diindera dengan jelas. Kesesatan pemikirannya telah menimpa banyak kaum muslim. Kesalahan pemahamannya telah menyebar dalam pemikiran majoriti kaum muslim. Kita tidak perlu mendatangkan bukti lagi atau menyebutkan contoh-contoh pemikiran-pemikirannya yang sesat dan salah.
Hal itu kerana fakta yang boleh disaksikan di negeri-negeri umat Islam—terutamanya bagi orang-orang yang sedar akan keadaan kehidupan pasca Perang Dunia II—akan memperlihatkan kepada kita kehancuran pemikiran kaum muslim dan betapa jauhnya mereka dari aktiviti-aktiviti untuk menegakkan Islam, sebagai kesan pemikiran-pemikiran Barat tersebut.
Oleh kerana itu, proses berfikir tentang teks-teks pemikiraan perlu diketahui dengan sempurna. Iaitu dalam proses berfikir tentang teks pemikiran tidaklah cukup hanya dengan adanya informasi terdahulu, tetapi informasi terdahulu itu mestilah setaraf dengan pemikiran yang ada, perlu ada pemahaman (idrak, comprehension) terhadap fakta pemikiran sedemikian hingga dapat dibatasi dan dibezakan dengan pemikiran yang lain, juga perlu ada gambaran (tashawwur, concept) terhadap makna pemikiran secara benar yang akan memberikan gambaran yang hakiki tentang makna pemikiran tersebut.
Memang benar, Islam tidak melarang adanya kajian pemikiran, bahkan membenarkannya. Islam juga tidak melarang adanya pengambilan pemikiran, bahkan juga membenarkannya. Akan tetapi, Islam telah menjadikan akidah Islamiyah sebagai landasan bagi seluruh pemikiran dan standard untuk mengambil atau menolak suatu pemikiran. Islam tidak membenarkan mengambil suatu pemikiran yang bertentangan dengan landasan ini, meskipun Islam membenarkan kita membaca teks-teks yang mengandungi pemikiran tersebut.
Islam juga tidak membenarkan untuk mengambil suatu pemikiran, kecuali jika landasan pemikiran tersebut telah membenarkan kita untuk mengambilnya. Untuk mengetahui adakah suatu pemikiran bertentangan atau tidak dengan landasan pemikiran (qa’idah fikriyah) tersebut, maka tidaklah mungkin mengambil sikap terhadap pemikiran tersebut, kecuali setelah memahami faktanya dengan pemahaman yang boleh membatasi dan membezakannya dan setelah menggambarkan makna pemikiran tersebut dengan benar.
Tanpa ini semua, tidak akan mungkin dapat menyesuaikan pemikiran tersebut dengan landasan pemikiran. Seterusnya, tidak mungkin juga mengambil sikap yang benar terhadap pemikiran tersebut.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#fikrulislam #hakikatberfikir #tekspemikiran