[HUKUM FIKH] Bolehkah lelaki memakai pakaian perempuan (contohnya baju kaftan)?
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Hukumnya haram lelaki menyerupai wanita (tasyabbuh bi an-nisaa) sebagaimana haramnya wanita menyerupai lelaki (tasyabbuh bi ar-rijal).
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiyallahu anhu bahawasanya, “Rasulullah ﷺ telah melaknat para lelaki yang menyerupai wanita dan [melaknat] wanita yang menyerupai lelaki.” (la’ana Rasulullah ﷺ al-mutasyabbihiina min ar-rijaal bi an-nisaa wa al-mutasyabbihaat min an-nisaa bi ar-rijaal). (HR Ahmad dalam Musnad Imam Ahmad Juz I hal. 227 & 339, dan HR Bukhari, Sahih Bukhari hadis no. 5886 & 6834). (Imam Syaukani, Nailul Authar, [Dar Ibn Hazm : Beirut, 2000], hal. 1306).
Imam Syaukani memberikan syarah (penjelasan) hadis di atas dengan mengatakan, “Dalam hadis itu terdapat dalil bahawa lelaki haram menyerupai wanita, dan haram juga wanita menyerupai lelaki, dari segi percakapan, pakaian, cara berjalan, dan lain-lain…” (fiihi dalil[un] ‘ala annahu yuhramu ‘ala ar-rijaal[i] at-tasyabbuhu bi an-nisaa[i] wa ‘ala an-nisaa`[i] at-tasyabbuhu bi ar-rijaal[i] fi al-kalaam[i] wa al-libaas[i] wa al-masyi wa ghairi dzaalika) (Imam Syaukani, Nailul Authar, hal. 1306).
Oleh itu, jelaslah bahawa lelaki yang memakai pakaian perempuan seperti baju kaftan dsb adalah haram tanpa sebarang keraguan.
Perlu kami tambahkan, bahawa yang dimaksud dengan menyerupai (tasyabbuh) di sini ialah menyerupai jenis-jenis yang lain dari segala hal (berbicara, berpakaian, berjalan, dsb.) yang memang menjadi ciri khas jenis yang lain.
Contohnya lelaki memakai pakaian yang khusus dipakai oleh wanita seperti gaun, skirt, kebaya, tudung (khimar), jilbab (jubah), dan sebagainya. Atau contohnya lelaki memakai subang, cincin emas, memakai kain sutera dan sebagainya. Atau sebaliknya, wanita memakai pakaian yang khusus dipakai oleh lelaki contohnya wanita memakai seluar panjang lelaki, atau memakai kasut lelaki, beg lelaki dan sebagainya. Ini semuanya haram.
Manakala jika suatu pakaian itu biasa dipakai oleh lelaki dan wanita seperti kain sarung, maka hukum memakainya oleh lelaki mahupun wanita tidak haram. Kerana dalam keadaan ini tidak ada perbuatan yang menyerupai jenis lain sehingga hadis di atas tidak boleh digunakan untuk keadaan tersebut.
Jika kita memahami hadis di atas dan mencuba menerapkan kandungan hukumnya kepada masyarakat sekular hari ini, kita akan mendapati banyak penyelewengan dari syariah dalam perkara menyerupai jenis yang lain.
Contohnya, wujudnya maknyah (wanita lelaki) yang sebenarnya berjantina lelaki tetapi berpenampilan seperti wanita. Maknyah ini berdandan, berbicara, dan berpakaian seperti wanita. Ini jelas haram.
Ia juga haram untuk menghalalkan dan mengesahkan kewujudan maknyah itu dengan segala cara dan sarana. Contohnya, menghimpun mereka dalam organisasi/persatuan khas, atau mengadakan pertandingan transgender yang menjijikkan yang disokong oleh pegawai. Atau menyuntik maknyah dengan hormon wanita supaya ciri seksual khusus wanita seperti payudara boleh berkembang. Atau membedah kemaluan mereka sehingga menjadi seperti kemaluan wanita. Semua ini adalah tindakan haram.
Haram juga bagi artis atau selebriti lelaki yang berpenampilan seperti wanita. Perbuatan mereka adalah haram dan terlaknat. Ia juga haram untuk penerbit, stesen penyiaran (production house) dan stesen TV yang memproduksi dan menyiarkan lelaki berpenampilan wanita. Pendapatan mereka dari tayangan itu adalah haram dan tidak akan berkat.
Haram juga bagi lelaki yang secara psikologinya merasakan dirinya sebagai wanita, lalu berpakaian dan berperilaku seperti wanita, contohnya bertudung, padahal jenis jantinanya jelas lelaki. Alasan psikologi sebegitu kadangkala dijadikan alasan untuk menolak takdir Allah yang telah menentukan jantina seseorang. Sudah tentu alasan ini harus ditolak kerana sebenarnya jiwa mereka yang sakit dan perlu dirombak sepenuhnya agar kembali kepada fitrah mereka yang sihat.
Hukuman Islam
Sebagai agama fitrah yang sihat, Islam tidak akan membiarkan adanya orang-orang yang mempunyai jiwa dan tingkah laku yang menyimpang dalam masyarakat. Lelaki yang berkelakuan seperti wanita, atau wanita yang berkelakuan seperti lelaki, mesti diusir dan disisihkan daripada masyarakat. Ini adalah sejenis hukuman takzir yang dikenakan oleh qadhi hisbah (muhtasib) kepada mereka.
Demikianlah Islam sebagai agama fitrah yang sempurna, selain menjelaskan keharaman menyerupai jenis lain, juga menjelaskan hukuman tegas dengan mengusir dan mengasingkan pelaku perbuatan haram itu daripada masyarakat.
Ini sangat berbeza dengan masyarakat sekular yang rosak dan buruk hari ini. Perbuatan menyerupai jenis lain itu malah dilindungi dengan alasan HAM sehinggakan pelbagai tingkah laku menjijikkan dan keji kemudian berleluasa secara menggila dalam masyarakat. Ini tidak boleh dibiarkan dan mesti dihentikan kerana ia merupakan kemungkaran yang nyata.
Sumber:
#Fikih #HukumIslam