[Keluarga] Keyakinan, adakah segalanya untuk anak?
Penulis: Ustaz Iwan Januar
Wahai anak, jika kamu yakin, kamu boleh melakukannya!
Perkataan ‘yakin’ seolah-olah menjadi kata-kata semangat bagi manusia. Pakar motivasi sering kali memotivasikan peserta latihan untuk menjadi individu yang yakin. Ibubapa juga memotivasikan anak-anak mereka supaya yakin dalam menghadapi pelbagai masalah hidup.
Namun, adakah keyakinan segalanya untuk anak? Kata azimat untuk kanak-kanak melawan pelbagai masalah? Jika anda, ibubapa, hanya percaya begitu sahaja, mari lihat kisah tragis berikut.
Sebut saja namanya Dion, seorang pelajar dari Perguruan Tinggi Negeri terkemuka di Jakarta, Indonesia. Dia cemerlang sejak sekolah rendah, sentiasa menjadi juara di dalam kelasnya, dan pointernya sentiasa melebihi tiga semasa di kolej. Tanpa diduga, dia mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri. Berkali-kali gagal menghantar tesis kerana pensyarah menolaknya, disyaki kuat menjadi pencetus kematiannya. Selain itu, dia juga baru putus cinta. Seutas tali menjadi pemutus terakhir dalam kehidupan pelajar pintar ini.
Kisah pelajar pintar seperti Dion adalah tragis. Bukannya seorang atau dua orang yang bijaksana tapi akhirnya menderita. Ternyata kecerdasan intelektual bukanlah jaminan seseorang itu kuat menghadapi masalah hidup. Apa yang kurang pada Dion? Dia bijak, berprestasi tinggi, tiada apa yang kurang dalam ‘keyakinan dirinya’.
Keyakinan diri bukanlah segalanya. Ada basic atau dasar dalam kehidupan setiap manusia. Keyakinan diri biasanya dibina kerana power atau modal yang melekat pada dirinya, contoh kecerdasan, kekuatan fizikal—juga ketampanan atau kecantikan—, harta, termasuk sokongan dari orang-orang sekeliling.
Manusia boleh begitu yakin kerana sejumlah besar modal tersebut. Namun, bagaimana jika kekayaan itu hilang atau dia menghadapi masalah di luar kemampuannya? Umumnya manusia akan rebah. Itulah diambang batas keyakinan diri.
Oleh kerana itu, meletakkan keyakinan diri sebagai segala-galanya di atas kehidupan kita, juga anak-anak, sama sahaja dengan membangun kehidupan yang rapuh. Manusia adalah makhluk lemah walaupun memiliki segalanya dalam kehidupan. Anak-anak yang biasa bergantung kepada ibubapa, maka akan rapuh ketika kedua ibu bapanya tidak ada. Anak-anak yang dibangun keyakinan dirinya kerana harta, akan rapuh ketika harta mereka tidak ada. Anak-anak yang dibangun sifat percaya dirinya kerana kecerdasan, akan kecewa menghadapi persoalan yang tidak dapat diatasi kecerdasan akalnya.
Asas yang benar yang semestinya menjadi landasan kehidupan kita adalah percaya kepada Allah SWT. Itulah keimanan. Allah SWT memiliki kekuasaan dan kekuatan tidak terbatas yang sanggup mengatasi pelbagai persoalan manusia kerana memang semua persoalan hakikatnya adalah ujian dari Allah. Dia adalah Al-Ghaniy dan Al-Mughniy, yang Maha Kaya dan Maha Membuat hambaNya menjadi kaya, tidak akan pernah habis kekayaan atau sumber daya untuk membuat siapa sahaja menjadi kaya raya. Dia juga Al-Qabidh yang Maha Menyempitkan rezeki seseorang, dapat menghabiskan kekayaan siapa sahaja yang Dia kehendaki.
Bangunlah kepercayaan diri anak dengan landasan iman kepada Allah SWT. Sampaikan kepada mereka bahawa hanya kepada Allah, kita menggantungkan segala harapan dan kekuatan. Segala susah payah kita adalah sekadar usaha yang akan menjadi pahala di hadapanNya, tetapi hasil akhir, Dia yang Maha Menentukan.
Begitu juga apabila ketika anak-anak kita dilanda musibah, maka ingatkan mereka bahawa semua adalah kehendak Allah SWT semata. Itu adalah takdir yang telah Allah tentukan. Walaupun terasa pahit, tetapi sungguh akan membawa hikmah bagi mereka yang ikhlas menerimanya.
Terdapat seorang pianist (pemain piano) cilik bernama Hee Ah Lee yang dikagumi ramai orang kerana kebolehannya memainkan pelbagai lagu padahal kedua-dua tangannya cacat. Dia hanya memiliki empat jari. Apabila ditanya seorang reporter, “Apakah pendapat anda, mengapa Tuhan memberikan anda hanya empat jari?” Dia menjawab, “Melalui musik empat jari, Tuhan memberi saya sebuah misi pada orang-orang cacat. Saya selalu berterima kasih kepada Tuhan bahawa Dia melakukan ini untuk menggunakan saya dalam cara tertentu.”
Allah SWT jua yang menolong Nabi Yusuf AS dari keadaan yang buruk, dibuang ke dalam perigi oleh saudaranya sendiri, difitnah, dimasukkan ke dalam penjara, lalu menjadi bendahara di kerajaan Mesir. Allah juga yang memberikan kemenangan kepada Nabi Daud AS atas Raja Jalut. Allah juga yang menyelamatkan Musa ketika dihanyutkan di Sungai Nil agar tidak dibunuh hulu balang Firaun, dan sebagainya.
Anak-anak kita hendaklah dilatih pelbagai jenis disiplin ilmu dan berdikari agar dia tidak bergantung kepada orang lain. Namun, sekadar percaya diri tidak akan cukup menolong anak-anak kita mengharungi pelbagai persoalan kehidupan. Orang yang amat percaya diri secara tidak sedar sudah ‘menuhankan’ dirinya, bahawa cukup dirinya sahaja dapat menjaga dirinya. Namun, apabila pelbagai persoalan menghadang dan dia merasakan tidak ada jalan keluar, sikap berputus asa akan menjeratnya.
Oleh kerana itu, sesiapa yang bertawakal kepada Allah SWT, nescaya Allah cukupkan segala keperluan dan pertolongan untuknya.
“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [TMQ at-Talaaq (65): 3].
Sumber: iwanjanuar[dot]com
