[Ahad , 29 Oktober 2023] Program Mini Forum tajuk “Ibu Suri Hati ,Pendidik Generasi” yang telah berlangsung di Bangi, Selangor baru-baru ini mengakhiri kempen The Power of Mother anjuran Muslimah HTM.
Ustazah Ummu Hajar selaku panel pertama telah menjelaskan peranan utama ibu iaitu selaku pengatur rumah tangga, pendakwah dan keterlibatan dalam urusan politik. Beliau menekankan konteks seorang ibu sebagai sekolah pertama bagi anak-anak di samping berkongsi pandangan dalam menangani cabaran para ibu hari ini dalam mendidik generasi agar menjadi generasi dambaan Allah dan Rasul serta Ummah.
Sementara panel kedua ustazah Aisyah Rahmat menerangkan konteks ibu inspirasi iaitu berkaitan persiapan yang perlu dilakukan oleh seorang muslimah untuk membentuk anak-anak yang soleh beserta penekanan mengenai tujuan hidup, tuntutan menuntut Ilmu dan kepentingan ibu memiliki teladan baik dengan ciri ketaqwaan yang tinggi bagi membentuk generasi yang berkualiti.
Persembahan anak-anak solehah telah menyerikan sesi rehat dengan sajian persembahan nasyid bertemakan ibu dan sajak bagi menunjukkan kepedulian dan solidariti untuk saudara-saudara di Palestin.
Sesi interaktif pada pusingan kedua telah dikendalikan oleh Moderator Dr Huda Anas bersama ahli panel dan peserta. Para peserta yang berjaya menjawab soalan kuiz sewaktu sesi ini turut menerima hadiah saguhati.
Secara keseluruhannya alhamdulillah program ini berjalan lancar dan sambutan yang diterima dari peserta sangat memberangsangkan serta di luar jangkaan.
Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima Kasih kepada para peserta yang sudi meluangkan masa menghadiri Mini Forum pada kali ini. Semoga segala perkongsian ilmu dan tips oleh ahli panel bermanfaat untuk semua.