[Nafsiyah] Perang dan Persaudaraan Muslim
Penulis: Ustaz M. Taufik N.T.
Persaudaraan (ukhwah) dengan dasar keimanan bukanlah persahabatan biasa. Namun seperti persaudaraan kerana nasab/keturunan, bahkan lebih dari itu. Allah SWT berfirman,
إِنَّمَا الْمًؤْمِنُوْنَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوْا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua-dua saudara kalian, dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapatkan rahmat.” [TMQ al-Hujurat (49): 10].
Dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan perkataan ikhwah yang menurut Abu Hayyan dalam Tafsir Bahrul Muhith, perkataan ikhwah umumnya dipakai untuk menunjukkan saudara senasab. Dengan menggunakan perkataan ikhwah, ayat ini ingin menyatakan bahawa ukhuwah kaum muslim itu lebih daripada persahabatan atau kawan biasa.
Hanya saja, walaupun saudara senasab atau lebih dekat dari itu, tidak menutup kemungkinan terjadinya perbezaan pendapat di antara mereka, perselisihan, bahkan peperangan. Ketika ini terjadi, Allah SWT pun memerintahkan untuk mendamaikan mereka, dengan menyatakan,
فَأَصْلِحُوْا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
“Kerana itu, damaikanlah kedua-dua saudara kalian.”
Jika perselisihan itu meluas dan melibatkan kelompok kaum muslim, Allah tetap meminta mendamaikan mereka. Kalau ada pihak yang menganiaya, maka diminta memerangi mereka dengan perang untuk “memberi pengajaran”, bukan untuk membantai. Allah SWT masih menyebut kedua-dua belah pihak sebagai kaum mukminin.
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berlaku zalim terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berlaku zalim itu sehingga golongan itu kembali mematuhi perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” [TMQ al-Hujurat (49): 9].
Salah satu celah yang sentiasa digunakan oleh musuh Islam untuk menghancurkan Islam adalah dengan mengeksploitasi perbezaan pendapat dalam Islam untuk menghancurkan ukhwah. Dengan demikian, umat ini akan lemah dan melalaikan persoalan utama yang mereka hadapi, seterusnya dengan mudah mereka dijajah.
Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah, 8/127 menceritakan bahawa ketika terjadi pertentangan antara sahabat Ali RA dan Muawiyah RA yang mengakibatkan terjadinya perang, peristiwa ini menjadikan terhentinya futuhat (perluasan wilayah kaum muslimin). Hal ini menjadikan Raja Rom memandang kekuatan Islam telah melemah. Dia segera menggerakkan pasukan yang besar dan bergerak menuju wilayah kaum muslim. Ketika Muawiyah mengetahuinya, dia segera mengirimkan pesanan kepada Raja Rom,
وَاللَّهِ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ وَتَرْجِعْ إِلَى بِلَادِكَ يَا لَعِينُ، لَأَصْطَلِحَنَّ أَنَا وَابْنُ عَمِّي عَلَيْكَ، وَلَأُخْرِجَنَّكَ مِنْ جَمِيعِ بِلَادِكَ، وَلَأُضَيِّقَنَّ عَلَيْكَ الْأَرْضَ بِمَا رَحُبَتْ.
“Wahai orang yang terlaknat! Demi Allah, jika engkau tidak berhenti dan segera kembali ke negeri kalian, aku sungguh akan berdamai dan bersatu dengan sepupuku (Ali RA) untuk memerangimu dan mengusirmu dari seluruh negerimu, serta menyempitkan bumi bagimu.”
Ketika itu Raja Rom menjadi gentar hatinya dan menarik pasukannya. Dia lalu mengirimkan utusan untuk meminta gencatan senjata.
Inilah reaksi sahabat ketika itu yang layak kita jadikan rujukan. Terjadinya penjajahan di negeri ini tidak terlepas dari sikap yang keliru. Sikap menganggap “musuh bagi musuhku adalah kawanku” memudahkan penjajah menguasai negeri ini. Sultan Haji bersekutu dengan Belanda untuk menentang Sultan Ageng Tirtayasa, bapanya sendiri. Sebahagian muslim juga mendukung “pakatan” dengan penjajah Belanda, menganggap mereka ulul amri yang wajib ditaati, serta memburukkan nama umat Islam yang ingin memerdekakan negeri ini.
Pelbagai perkara boleh dilakukan untuk membuat umat Islam saling bertelagah. Salah satu contohnya adalah strategi yang diusulkan oleh Cheryl Benard dari Rand Corporation dalam Civil Democratic Islam, Partners, Resources And Strategies (2003). Dalam penulisannya itu, untuk menghadapi Islam, diusulkan usaha untuk memecah belah kumpulan Islam. Beberapa kumpulan akan disokong dan dibantu, sesetengahnya akan “diarahkan”, kepada pendapat yang negatif, dan sebahagian lagi akan dijadikan musuh bersama.
Semoga Allah memudahkan menyatukan hati-hati kita dan umat Islam, serta memuliakan kita dan kaum muslim di dunia dan akhirat.
Sumber: mtaufiknt[dot]wordpress[dot]com