Jejak Khilafah Di Sulawesi: Membongkar Jalinan Politik & Spiritual yang Dilupakan (8)
Oleh: Nicko Pandawa
Setelah Sultan Manshur Syah Perak, yang berkuasa berikutnya adalah Sultan Makota Buyung selama dua tahun (1586-1589). Barulah setelah itu Sultan ‘Ala’uddin Sayyid al-Mukammil naik takhta (1589-1604). Tidak jauh berbeza dengan Sultan Manshur Syah Perak, Sultan ‘Ala’uddin Sayyid al-Mukammil juga banyak terpengaruh dengan Khilafah ‘Uthmaniyah. Gallop menemukan bahawa cap rasmi Sultan Sayyid al-Mukammil mempunyai gaya yang berbeza dari sekitar 1500 cap Asia Tenggara yang dibuat sebelum tahun 1850-an dalam katalognya. Ia hanya dapat dibandingkan dengan cap-cap rasmi para Khalifah dan pejabat ‘Uthmaniyah. Dari penelitian tersebut, Gallop berkesimpulan bahawa cap Sultan Sayyid al-Mukammil kemungkinan besar dibuat oleh tukang ‘Uthmaniyah yang sudah lama tinggal di Aceh.[1]
Memang, ketika Cournelis de Houtman dari Belanda datang pertama kali ke Aceh pada 1599, nakhodanya yang orang Inggeris, John Davis mengabarkan bahawa di sana banyak sekali “pedagang dari Mekah. Mereka adalah orang-orang Turkiye dan Arab”.[2]
Jika kita sudah melihat bahawa Syaikh ‘Abdul Ma’mur (Datu’ ri Bandang), Syaikh Sulayman (Datu’ ri Pattimang), dan Syaikh ‘Abdul Jawad (Datu’ ri Tiro) berasal dari Minangkabau dan berangkat melalui Aceh pada masa Sultan Sayyid al-Mukammil, tambahan informasi berikutnya kita dapatkan dari sebuah manuskrip yang disebut Naskah Gantarang (Pulau Selayar).[3]
Naskah ini menyebutkan bahawa Trio Datu’ tersebut datang ke Sulawesi kerana diutus “Raja di Mekah dan Khalifah di Mekah” (karaeng ri Makka halifayya ri Makka).[4]
Kalau keterangan dari naskah ini kita jadikan pegangan, maka alur instruksi yang diberikan kepada Trio Datu’ Minangkabau berasal dari Aceh-Mekah-‘Uthmaniyah.
Sultan Sayyid al-Mukammil inilah orang yang mendukung penuh dan mendana tugas dakwah Trio Datu’ ke Sulawesi –sejak mereka tergolong sebagai warga Kesultanan Aceh, dan kekuasaan ulama-ulama tersebut untuk memberikan gelar “Sultan” kepada raja-raja yang berjaya diislamkan berasal dari penguasa Mekah. Kekuasaan (emirat) Mekah pada abad ke-16 dan 17 disandang oleh para Asyraf (jamak dari Syarif, keturunan Rasulullah saw.) dari Bani Qatadah.
Sejak ‘Uthmaniyah menjadi Khilafah, para Asyraf Makkah ditunjuk menjadi Veli (Arab: Wali, gabenor) Wilayah Hijaz. Yang menjadi Syarif Makkah ketika pengiriman Trio Datu’ pada pertengahan 1603 adalah Syarif Abu Thalib bin Hasan, cucu Syarif Muhammad Abu Numayy II bin Barakat, Syarif Makkah pertama yang berbaiat kepada Khilafah ‘Uthmaniyah di masa Yavuz Sultan Selim I. Yang menjadi Khalifah ‘Uthmaniyah sekaligus atasan Syarif Abu Thalib Hasan adalah Sultan Mehmed III (berkuasa 1595-1603).
Akhirnya, boleh kita simpulkan, Trio Datu’ Minangkabau dapat memberikan gelar Kesultanan kepada Datu’ Luwu sebagai Sultan Muhammad Wali Muzhahiruddin, Karaeng Tallo’ sebagai Sultan ‘Abdullah Awwal al-Islam, dan Karaeng Gowa sebagai Sultan ‘Ala’uddin; kerana sudah diberi kekuasaan dari Khalifah Mehmed III di Istanbul yang diwakilkan kepada gubernurnya di Makkah, Syarif Abu Thalib bin Hasan bin Abu Numayy II.
Catatan kaki:
1 Annabel Teh Gallop, “Ottoman Influences in the Seal of Sultan Alauddin Riayat Syah of Aceh (r. 1589-1604)”, Indonesia and the Malay World, Vol. 32, No. 93 (July 2004): 180, 182, 187.
2 ACS. Peacock, “The Economic Relationship Between the Ottoman Empire and Southeast Asia in the Seventeenth Century”, dalam ACS. Peacock dan Annabel Teh Gallop, From Anatolia to Aceh, 78.
3 Naskah Gantarang disimpan oleh Djinabong binti Maddahung (pada 2014 berusia 90 tahun), tinggal di Kp. Pinang-Pinang, Ds. Bontomarunnu, Kec. Bontomanae. Naskah ini ditulis oleh Guru Cawang, beraksara Serang (Arab-Makassar) dan berbahasa Makassar. Berukuran 13,5×22 cm dengan tebal 32 halaman. Lihat: Husnul Fahimah Ilyas, “Islamisasi Selayar Abad XV: Kajian Naskah”, Jurnal Lektur Keagamaan, Vol. 12, No. 1, (2014): 112.
4 Ibid, 113, 126.