Khilafah, Bukan Romantisme Sejarah (Bahagian 1/3)
Penulis: Dr. Ummu Mumtazah
Bercakap tentang Islam ialah bercakap tentang satu umat, tentang tamadun, sejarah dan sistem yang sempurna—iaitu Islam—dalam mentadbir kehidupan ini. Sesuatu sistem dikatakan sempurna apabila ia mengatur segala aspek kehidupan manusia di dunia dan akhirat termasuk sistem pemerintahan.
Fakta empirikal menunjukkan bahawa Islam pernah menjadi ideologi yang menerajui dunia apabila ia diterapkan dan disebarkan oleh sebuah kuasa besar iaitu Daulah Islamiyah. Negara ini secara de facto diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW. di Madinah pada 12 Rabiulawal bersamaan 23 September 622.
Selepas ketiadaan Rasulullah SAW., negara ini diteruskan dalam format Khilafah Islamiyah. Kepimpinan ini berterusan dengan pasang surutnya, sehingga pada tarikh 3 Mac 1924, Khilafah yang ketika itu berpusat di Istanbul Turki secara rasminya dibubarkan.
Walaupun masa kekhalifahan yang baik dan buruk datang silih berganti, Khilafah secara de facto tetaplah menjadi negara yang menjadi tempat dunia bergantung selama hampir 14 abad. Ketika itu, umat Islam juga diperhitungkan dan diperbincangkan.
Saat ini, umat tanpa Khilafah ibarat anak ayam yang kehilangan ibunya. Pada siapakah rakyat hendak mengadukan segala permasalahan yang melanda mereka? Siapa yang akan membela dan melindungi mereka dari segala penghinaan, gangguan dan penindasan?
Mengharapkan institusi yang dibentuk oleh Barat seperti PBB untuk menyelesaikan masalah umat Islam ibarat menahan asap. Faktanya, Khilafah adalah realiti sejarah kebangkitan dan keagungan Islam, serta mercu tanda kegemilangan Islam.
Sudah tiba masanya umat bangkit kembali kepada Islam, kembali kepada sumber ajarannya iaitu Al-Quran dan Sunnah dengan melaksanakan Islam secara kaffah (keseluruhan) di bawah naungan Khilafah Islamiyah.
Masa Kejayaan Islam
Sejak kemunculan Islam lebih kurang 14 abad yang lalu, telah berdirinya sebuah negara yang menjadikan syariat Islam yang lahir daripada wahyu Allah sebagai asas ideologinya. Negara ini mampu menyatukan umat Islam seluruh dunia dalam satu ikatan iaitu ikatan persaudaraan Islam. Itulah Negara Islam yang Nabi Muhammad SAW. dirikan di Madinah Munawwarah.
Selepas Rasulullah SAW. wafat, pemerintahan ini kemudiannya diteruskan oleh penerus kepimpinannya sebagai ketua negara iaitu zaman Khulafaurasyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyah, sehingga berakhir pada zaman Khalifah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924.
Ketika itu, syariat Islam diterapkannya sepenuhnya baik di dalam mahupun luar negara. Umat Islam dan umat lainnya dapat merasakan betapa indahnya hidup dalam naungan aturan Islam, dalam naungan Khilafah Islamiyah.
Khilafah adalah negara yang berasaskan akidah Islam yang menerapkan hukum Islam di dalam negara dan menyebarkan dakwah Islam ke luar negara. Akidah Islam menegaskan bahawa penerapan hukum Islam secara keseluruhan oleh Khilafah merupakan kunci yang akan menghadirkan rahmat bagi sekalian alam secara nyata.
Ketika rahmat diertikan sebagai keadilan, hukum Islam akan datang membawa keadilan. Ketika rahmat itu bermakna kesejahteraan, hukum Islam juga akan datang memberikan kesejahteraan nyata yang didambakan.
Peradaban Islam telah menorehkan tinta emas dalam perjalanan kehidupan manusia dalam berbagai aspek. Kemajuan ilmu pengetahuan sehingga kesejahteraan masyarakat menjadi catatan gemilang ketika peradaban Islam tegak di muka bumi ini. Peradaban gemilang tersebut ada pada saat Islam dijadikan sebagai pedoman dalam segala aspek kehidupan rakyat di dalam institusi Khilafah Islamiyah.
Kegemilangan ini merupakan salah satu hikmah dan rahmat yang Allah Taala jaminkan ketika syariat-Nya diterapkan secara menyeluruh. Jejak peradaban Islam sehingga sekarang masih ada, bahkan dapat ditemukan di dalam banyak catatan sejarah yang bahkan ditulis oleh non-muslim.
Will Durant, seorang sejarawan Barat, menyebutkan dalam bukunya, Story of Civilization, “Para khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia sehingga batas yang luar biasa besarnya bagi kehidupan dan kerja keras mereka. Para khalifah itu juga telah menyediakan berbagai peluang untuk siapa pun yang memerlukan dan memberikan kesejahteraan selama beradab-abad dalam wilayah yang sangat luas. Fenomena seperti itu belum pernah tercatat (dalam sejarah) setelah zaman mereka.”
Ketiadaan Khilafah
Sejak runtuhnya Khilafah Islamiyah, umat Islam kini hidup tanpa sebarang institusi yang melindungi dan mempertahankan mereka. Lebih memeritkan lagi majoriti umat Islam tidak pernah mendengar dan tidak dapat membayangkan kehebatan pelaksanaan syariah Islam di bawah naungan Daulah. Sekadar mengenali runtuhan bangunan—melalui sejarah dan tsaqafah Islam—sangat sukar.
Generasi umat Islam kini lahir bukan di bawah keagungan Daulah, tetapi dididik dengan pendidikan yang bahan dan kurikulumnya disediakan oleh musuh Islam. Mereka disusupi oleh pemikiran kufur dan sekular, diasuh dalam tamadun Barat yang materialistik, hedonistik dan dibesarkan dalam sistem kufur, baik undang-undang, sosial mahupun politik.
Tidak hairanlah jika generasi Islam kini tidak mengenal Khilafah Islamiyah, tidak biasa dengan budaya dan tsaqafah Islam, serta jauh dari kehidupan dan akhlak Islam. Malah, mereka cenderung fobia, sinis, antipati, bermusuhan dan menolak ajaran Islam.
Sungguh, keadaan umat Islam ketika ini berada pada titik terendah dalam sejarah Islam dan kaum muslim. Sistem perundangan Islam dianggap zalim, identiti Islam dan kaum muslim telah dibelenggu dan ditindas, dan institusi Khilafah Islamiah—pembela/penjaga Islam dan umat Islam—juga telah diruntuhkan.
Akhirnya, umat Islam hidup memikul dosa yang sangat berat dan masalah yang sangat dahsyat. Semua ini adalah implikasi langsung dari lenyapnya politik Islam, ideologi Islam, yang dipromosikan oleh Khilafah Islamiyah, di samping ketiadaan khalifah yang memerintah umat Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
Hidup tanpa sebuah Daulah Islamiyah telah membawa kesengsaraan yang luar biasa bagi umat Islam. Tanpa Daulah, umat Islam terpecah-belah menjadi sebuah negara-negara kecil yang lemah dan tidak berdaya. Mereka dibahagikan atas dasar kedudukan geografi dan negara bangsa (kebangsaan) yang direka oleh penjajah Barat.
Inilah punca umat Islam lemah dalam menghadapi kuasa penjajah. Jangankan bersatu untuk menghadapi penjajah, malah mereka berperang sesama sendiri berdasarkan kepentingan negara masing-masing. Terkait Gaza, contohnyalnya, apabila entiti Yahudi mengebom kawasan Gaza, membunuh kanak-kanak dan wanita, serta penduduk lain yang tidak berdosa, tidak ada satu negara Islam pun yang membela dan menghantar tentera untuk berjihad dan membantu memerangi penceroboh Yahudi. Negara-negara Arab di Timur Tengah dan pemerintah Islam lain hanya mengutuk dan mengecam tindakan kejam di sana.
Hal ini berlaku kerana Khilafah sebagai pemersatu dan pelindung umat Islam di seluruh dunia, sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi khalifah yang menyatukan negara-negara Islam di seluruh dunia.
Hidup tanpa Daulah telah menyebabkan telantarnya hukum-hukum Allah, terutama terkait masalah negara dan kemasyarakatan. Hukum-hukum Allah kemudian tidak diterapkan dalam bidang pemerintahan, politik, ekonomi, pendidikan dan bidang sosial lainnya, yang membawa maksud, sebuah malapetaka.
Setiap pengabaian dan penolakan terhadap hukum Allah jelas akan menyengsarakan kaum muslim dan kenyataan itu telah tampak di tengah kaum muslim. Kaum muslim mengalami kemunduran yang luar biasa dalam berbagai bidang kehidupan.
Secara politik, mereka tunduk kepada permainan politik negara-negara penjajah. Di bidang ekonomi, hampir sebahagian besar negera umat Islam termasuk dalam katagori negara-negara berkembang dan miskin. Kekayaan alamnya dieksploitasi untuk kepentingan penjajah Barat.
Bahkan, banyak negera umat Islam yang kaya—seperti Indonesia—perlu meminta-minta hutang kepada IMF atau Bank Dunia. Melalui mekanisme hutang luar negara, negara-negara umat Islam dijerat kemiskinan dan terpaksa tunduk pada kepentingan Barat kapitalis.
Dalam bidang pemerintahan, hampir sebahagian besar negara-negara umat Islam menerapkan sistem pemerintahan kufur demokrasi. Atas nama demokrasi, konflik dan perselisihan antara rakyat dan penguasa terus berlanjut tiada hentinya.
Bidang pendidikan juga menerima nasib yang sama. Pendidikan yang berasaskan sekular di negeri-negeri Islam telah mencetak generasi pemuda Islam yang jauh dari akar Islam. Mereka menjadi generasi yang lebih meyakini idea-idea penjajah Barat berbanding idea-idea yang berasal dari Islam. Hasilnya dapat dirasakan, betapa pendidikan sekular menghasilkan generasi yang tidak hirau terhadap Islam dan masalah kaum muslim.
Tidak hanya itu, pendidikan sekular juga telah menghasilkan generasi yang anarkis. Seks bebas, jenayah dadah, minum arak, pergaduhan pelajar, menjadi bahagian yang tidak terpisahkan dari generasi Islam saat ini.
Tidak diterapkannya hukum-hukum Allah pada bidang undang-undang jenayah juga telah menyebabkan membengkaknya kes jenayah seperti pemerkosaan, pelacuran, pembunuhan dan perompakan.
Semua derita itu berpangkal dari tidak diterapkannya aturan-aturan Allah dalam masyarakat akibat ketiadaan Khilafah sekarang ini. Ini kerana salah satu tugas pokok Khilafah adalah menerapkan aturan-aturan Allah di tengah-tengah masyarakat.
Ketiadaan Khilafah juga ibarat barah mematikan bagi perlindungan nasib kaum muslim. Kaum muslim tidak lagi memiliki pelindung yang merupakan salah satu tugas Khalifah. Akibatnya, penjajah Barat dengan mudah membantai kaum muslim tanpa mendapat perlawanan yang setimpal dari kaum muslim.
Penderitaan akibat ketiadaan Khilafah juga bukan hanya menimpa kaum muslim. Ini juga merupakan malapetaka dunia. Saat dunia tidak dipimpin oleh Islam, tetapi dipimpin oleh kapitalisme, dunia mengalami penderitaan yang sangat menyedihkan di berbagai aspek. Terjadi berbagai krisis global bermula dari kemiskinan, pengangguran, kerosakan masyarakat, kejahilan, sehingga konflik dan ancaman perang.
Oleh kerana itu, sangat penting dan mendesak untuk kita menghadirkan kembali Khilafah Islamiyah di tengah kaum muslim dan dunia. Khilafah akan menjadi pemersatu negera-negera umat Islam, menerapkan seluruh aturan Allah dan melindungi semua umat di seluruh dunia.
Khilafah Islamiyah juga akan muncul untuk menggantikan negara-negara kapitalis saat ini yang telah menyengsarakan umat manusia. Khilafah akan menyebarluaskan mabda’ Islam ke segenap penjuru dunia sehingga dunia merasakan hidup sejahtera di bawah lindungan Islam.
(Bersambung ke Bahagian 2/3, “Bukan Sekadar Romantisme Sejarah” )
#KapitalismeSengsarakanUmat
#KhilafahPerisaiHakiki
#IslamSolusi
#Khilafah