Khilafah, Bukan Romantisme Sejarah (Bahagian 2/3)
Penulis: Dr. Ummu Mumtazah
Keruntuhan Khilafah pada 3 Mac 1924 merupakan hari yang suram dan menyedihkan buat umat Islam di seluruh dunia. Pada tanggal itu, secara rasminya Khilafah dibubarkan oleh seorang Yahudi, ejen Britain iaitu Mustafa Kamal Ataturk. Maksudnya, sudah 100 tahun Masihi (2024) umat Islam tidak memiliki Khilafah. Berbagai cara sudah diusahakan untuk mengembalikan Khilafah, tetapi masih terus mengalami kegagalan kerana dihalang oleh Barat dan para sekutunya di negeri umat Islam.
Sehingga saat ini, seruan menegakkan kembali Khilafah terus dilaungkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ironinya, masih ada yang menuding bahawa seruan ini tidak memiliki landasan dalam Islam. Menurut mereka, Khilafah hanya sekadar romantisme sejarah, sedangkan keberadaan Khilafah itu begitu penting dan mendesak.
Pentingnya kewajipan ini ditegaskan sendiri oleh para alim ulama dari generasi salaf mahupun khalaf. Mereka bersepakat bahawa menegakkan Khilafah Islamiyah merupakan kewajipan penting dalam Islam.
Al-‘Allamah al-Imam Ibnu al-Haitamiy asy-Syafi’i rahimahullah menyatakan, “Ketahuilah juga, sesungguhnya seluruh sahabat telah bersepakat bahawasanya mengangkat seorang imam setelah berakhirnya zaman kenabian adalah wajib. Bahkan, mereka menjadikan kewajipan tersebut sebagai kewajipan yang paling penting. Oleh sebab itu, mereka lebih menyibukkan diri dengan kewajipan tersebut daripada kewajipan menguruskan jenazah Rasulullah SAW.” (Ash-Shawaa’iq al-Muhriqah, juz 1, hlm. 25).
Terkait dengan Khilafah ini, Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah menjelaskan tentang tiga perkara penting. Pertama, Khilafah merupakan istilah fikih ‘haqiqah syar’iyyah’ kerana dalil-dalil syarak menunjukkan demikian. Kedua, tentang wajibnya Khilafah. Ketiga, bahawa Khilafah tidak boleh dilepaskan dalam politik kerana di dalamnya ada aktiviti politik. Beliau menjelaskan secara nyata bahawa sistem Khilafah adalah fardhu. Dalil-dalil tentang hal ini dinyatakan tegas di dalam Al-Quran, sunnah dan ijmak sahabat.
Berdasarkan Al-Quran, Allah SWT. telah berfirman menyeru Rasul SAW., “Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.” [TMQ Al-Maaidah (5): 48]
Kemudian, ayat seterusnya merupakan seruan kepada Rasulullah SAW. (untuk memutuskan perkara di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT) yang ditujukan kepada umat Baginda. Pengertiannya adalah, hendaknya umat Rasulullah SAW. -termasuk kita- untuk mengadakan seorang hakim (penguasa) yang memutuskan perkara di antara mereka dengan apa yang telah Allah turunkan.
Perintah dalam seruan (khithab) memberi faedah jazm (tegas) kerana topik seruan adalah fardhu. Ini adalah qarinah (petunjuk) jazm (tegas) sebagaimana dalam ketentuan usul fikih. Penguasa yang memutuskan perkara antara orang Islam dengan apa yang Allah turunkan selepas Rasulullah SAW. dipanggil khalifah dan sistem pemerintahan berdasarkan konteks ini ialah Khilafah.
Selain itu, melaksanakan hudud dan semua undang-undang adalah wajib dan kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, kecuali dengan adanya penguasa yang menerapkan hukum syarak. Jika kewajipan itu tidak sempurna disebabkan oleh sesuatu perkara, maka hukum sesuatu itu menjadi wajib dilaksanakan. Ini bermakna mempunyai pemerintah yang menegakkan hukum syarak adalah wajib dan berdasarkan konteks ini, pemerintah adalah khalifah dan sistem pemerintahan adalah Khilafah.
Adapun dalil Sunnah, diriwayatkan dari Nafi’, dia berkata, “Abdullah bin Umar berkata kepadaku, ‘Siapa saja yang melepaskan tangan dari ketaatan, nescaya dia menjumpai Allah pada Hari Kiamat kelak tanpa memiliki hujah. Dan siapa saja yang mati, sedangkan di bahunya tidak ada baiat, maka dia mati seperti mati jahiliah.” (HR Muslim).
Hadis tersebut mewajibkan adanya baiat di bahu setiap muslim, iaitu adanya khalifah yang dengan keberadaannya akan merealisasikan adanya baiat di bahu setiap muslim. Jika tidak, bagi orang yang lalai, dia mati seperti kematian jahiliah.
Perkara ini menunjukkan betapa besarnya dosa akibat tidak beramal untuk mewujudkan adanya khalifah yang memutuskan perkara dengan Islam. Setelah Rasul SAW., baiat tidak ada, kecuali kepada khalifah, bukan kepada yang lain.
Khilafah juga tidak boleh dipisahkan dari politik. Dalam sistem pemerintahan Islam, terdapat kegiatan politik yang dilakukan oleh khalifah. Politik (as-siyâsah) bermaksud ri’âyah asy-syu’ûn (pengaturan urusan), kegiatan utama Khilafah ialah ri’âyah syu’ûn al-ummah, dan ri’âyah asy-syu’ûn penguasa adalah politik.
Kegiatan politik khalifah sebagai pentadbir rakyat ada dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW., antaranya Al-Bukhari telah mengeluarkan daripada Ibn Shihab… bahawa Salim memberitahunya, bahawa Abdullah bin Umar berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda, ‘Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap kamu diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaannya. Seorang imam adalah penjaga dan dia akan dipertanggungjawabkan untuk memelihara urusan umatnya.’”
Jadi, aktiviti khalifah adalah ri’âyah asy-syu’ûn dan ri’âyah asy-syu’ûn dari seorang penguasa adalah politik sesuai makna bahasanya itu. Oleh kerana itu, masalah ini bukanlah sekadar romantisme sejarah. Menegakkan Khilafah merupakan kewajiban kita semua. Ketiadaan Khilafah islamiyah telah mengakibatkan telantarnya banyak hukum Islam.
Wajib bagi kita menumpukan perhatian kepada perjuangan menegakkan semula Khilafah Islamiah iaitu dengan menjadikan agenda penegakannya sebagai soal hidup dan mati. Kita hendaklah terus bersungguh-sungguh menyedarkan umat tentang kewajipan ini dan kepentingan perjuangan menegakkan semula Khilafah.
#KapitalismeSengsarakanUmat
#KhilafahPerisaiHakiki
#IslamSolusi
#Khilafah