[KELUARGA] Detik Ramadhan Membina Keharmonian Rumah Tangga
Penulis: Najmah Saiidah
Ramadhan sememangnya bulan yang istimewa, dengan cara sedemikian Allah telah menghadiahkannya kepada kita umat Islam agar dengan bulan mulia ini keluarga muslim dapat merasai kebersamaan yang erat. Kebersamaan berbuka dan bersahur sahaja adalah sesuatu yang amat kita syukuri, tambahan pula dapat bertadarus dan tarawih bersama.
Sudah tentu detik ini tidak boleh dilepaskan oleh setiap keluarga muslim. Kerana semua amalan ini akan menjadikan kita semakin rapat antara satu sama lain terutama sebagai suami isteri. Sudah tentu kebersamaan ini akan lebih erat sekiranya komunikasi berjalan lancar antara suami isteri.
Komunikasi merupakan faktor yang sangat penting dalam membina hubungan harmoni antara manusia, baik dalam persekitaran keluarga, tempat kerja, mahupun dalam masyarakat. Banyak konflik berlaku kerana salah komunikasi antara satu sama lain. Solusi untuk menyelesaikan masalah adalah melalui dialog atau komunikasi.
Pentingnya Komunikasi dalam Menjaga Keharmonian Rumah Tangga
Keharmonian keluarga dapat dicapai dengan komunikasi yang baik. Secara umum, komunikasi secara langsung atau komunikasi verbal adalah lebih baik dilakukan jika boleh untuk dilakukan supaya tidak berlaku salah faham.
Melakukan komunikasi ini akan menjadikan hubungan lebih baik kerana ia didasarkan oleh rasa percaya, jujur, dan keterbukaan. Nyatakan apa yang ingin kita sampaikan atau tanyakan terus pada pasangan kita. Dengan cara itu, ia akan menjadi jelas apa yang diharapkan. Selagi boleh bersua muka, lebih baik dilakukan. Dengan berbicara secara langsung juga boleh merapatkan ikatan, tatapan mata dan sentuhan dapat menambahkan keharmonian keluarga.
Apabila timbul masalah dalam rumah tangga, utamakan komunikasi untuk menyelesaikannya. Komunikasi adalah penting dalam keluarga, baik antara suami isteri mahupun antara semua ahli keluarga.
Komunikasi antara ahli keluarga amat diperlukan, lebih-lebih lagi hal ini dianjurkan oleh Islam dan dicontohi oleh Rasulullah SAW.. Islam memerintahkan kita bergaul dengan cara yang makruf, saling menasihati dan beramar makruf nahi mungkar sehingga menjadi kehidupan keluarga yang penuh dengan ketenangan dan persahabatan.
Apabila Allah memerintahkan seorang suami agar bergaul dengan isterinya dengan cara yang makruf sebagaimana seorang sahabat yang sempurna, sesungguhnya Allah memerintahkan kepada suami isteri untuk berkomunikasi dengan dengan cara yang baik. Firman Allah, “ … Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”[TMQ An-Nisaa’(4): 19].
Rasulullah SAW. adalah teladan terbaik, beliau bergaul secara baik dengan keluarganya. Daripada Muawiyah al-Qusyairi, Nabi pernah ditanya, “Apakah hak seorang wanita terhadap suaminya?” Rasulullah menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan dan engkau memberi pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah memukulnya pada wajah, jangan mencaci maki dan jangan menjauhinya, melainkan dalam rumah.” (HR Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Majah)
Di sisi lain, Allah juga memerintahkan kepada para isteri untuk taat kepada suami, sebagaimana firman-Nya dalam QS An-Nisaa: 34,
فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ ۗ
“Maka perempuan-perempuan yang soleh adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka).“
Berdasarkan hal ini, sangat jelas bahawa Islam memberikan jalan seluas-luasnya kepada pasangan suami isteri agar dapat memupuk dan semakin mengukuhkan keharmonian antara kedua-duanya dengan mengikuti segala apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Ramadhan adalah Detik Memupuk Keharmonian Rumah Tangga
Ramadhan sememangnya detik kebersamaan dengan pasangan kita. Kebersamaan yang dilakukan di bulan Ramadhan akan mendekatkan diri kita kepada Allah sekaligus akan mengeratkan lagi keharmonian suami isteri. Kebersamaan ini akan memupuk rasa sayang dan saling menghormati antara suami isteri.
Detik kerjasama antara kedua-duanya diperlukan. Detik membangunkan anak-anak bersahur sahaja adalah salah satu kegembiraan tersendiri, berkongsi tugas antara suami isteri dapat mendekatkan hati. Saling memberi semangat dan sudah tentu lebih banyak perhatian akan diberikan satu sama lain. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini.
Di tengah suasana Ramadhan, meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah Ramadhan juga akan meningkatkan komunikasi kita dengan pasangan kerana memang intensiti pertemuan menjadi lebih lama. Jadi, apakah aktiviti yang boleh kita lakukan bersama pasangan supaya keharmonian rumah tangga juga bertambah baik?
1. Tarawih bersama.
Walaupun amalan sunah, tarawih pada bulan Ramadhan amat digalakkan. Oleh sebab itu, setiap malam selepas berbuka puasa dan solat Isyak, juga amat dianjurkan untuk bertarawih secara berjemaah di masjid. Selain untuk solat dan ibadah menghadap Allah, tarawih bersama juga membuat kita dapat bersilahturahmi dan bertemu dengan saudara-saudara muslim lain yang jarang bertemu di bulan-bulan lain.
Begitu juga dengan keluarga, tarawih bersama boleh menjadi sesuatu yang meningkatkan keharmonian dan kekeluargaan di dalamnya. Sudah tentu ia akan menjadi lebih baik jika dilakukan secara konsisten. Akan tetapi, walaupun tidak boleh dilakukan setiap hari, sekurang-kurangnya ada beberapa waktu yang boleh dijadualkan untuk tarawih bersama kerana hukum solat tarawih di bulan Ramadhan adalah sunat, tetapi salat tarawih mempunyai fadhilat yang luar biasa.
2. Bersama-sama menguatkan taqarrub dengan melaksanakan amalan sunat.
Pada Ramadhan ini, kita dan keluarga diberi kesempatan oleh Allah untuk menguatkan dan meningkatkan lagi taqarrub kita kepada Allah. Amalan sunat dan amal kebaikan yang lain boleh dilakukan bersama-sama pada Ramadhan ini tentunya kita tidak boleh sia-siakan. Kita boleh banyakkan membaca al-Quran, kita boleh lakukan tadarus al-Quran bersama keluarga.
Selain itu, setiap ahli keluarga boleh bersaing melakukan amalan sunat yang lain, seperti solat dhuha, solat hajat, ataupun solat tahajud. Suami isteri sebagai ayah dan ibu, mempunyai tugas utama untuk memotivasikan ahli keluarga untuk melaksanakan amal soleh ini. Lebih-lebih ketika tahajud, ibu boleh kejutkan ayah, lalu kedua-duanya kejutkan anak-anak untuk melakukan solat tahajud sebelum makan sahur. Kemudian memanjatkan doa bersama-sama.
Selanjutnya, kita mengiringi amalan ini dengan memperbanyakkan sedekah dan berzikir kepada Allah serta menahan diri dari pelbagai perkara yang mengundang amarah, kerana sesungguhnya Ramadhan adalah benteng bagi kita. Perkara penting lain yang mesti kita lakukan ialah banyakkan berdoa kepada Allah agar Allah berkenan memberi kesihatan, kemudahan, kelapangan, kelancaran, serta keberkatan untuk kita.
3. Menyediakan makan sahur dan berbuka bersama.
Sepanjang Ramadhan kita boleh melakukan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja berkaitan dengan ibadah mahdhah, antaranya menyediakan juadah untuk bersahur dan berbuka bersama pasangan kita. Lebih-lebih lagi ketika bersahur, kita sentiasa boleh melakukannya bersama-sama.
Memasak juadah bersama merupakan salah satu cara untuk menjaga keharmonian rumah tangga, baik hidangan berbuka ataupun bersahur. Sambil memasak, suami dan isteri boleh bercakap tentang perkara yang mudah atau sesuatu yang ringan tetapi bermakna. Malah, kita boleh bersama-sama membincangkan tentang keadaan dan masalah semasa umat Islam.
Tidak jarang dari perbualan spontan seperti ini kita dan pasangan dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam dan lebih memahami perangai masing-masing. Menyediakan makanan bersama juga merupakan satu bentuk kerjasama. Jadi, bukan isteri sahaja yang mesti memasak, suami juga boleh membantu isteri memasak.
Sudah tentu berbeza di bulan Ramadhan, seringkali sahur adalah saat berkumpul dan saling berbincang antara satu sama lain. Daripada aktiviti kebersamaan ini, perasaan bahagia dan keharmonian boleh diperolehi.
4. Berbuka dan menjalankan sahur bersama.
Ramadhan benar-benar akan menyatukan keluarga muslim, menyatukan hati suami isteri dalam kebersamaan untuk saling mengasihi dan menyayangi, saling melindungi dan menjaga. Alangkah gembiranya kita dapat berbuka puasa dan bersahur bersama di rumah.
Ketika berbuka dan bersahur bersama-sama, ayah dan ibu bersama anak-anaknya dan ahli keluarga yang lain boleh bercerita, mendengar nasihat ataupun cerita anak-anak agar keakraban kita dengan keluarga lebih terasa.
Selain itu, waktu sahur menjadi detik yang selalu dinantikan kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul dengan penuh. Tanpa adanya paksaan, detik kebersamaan di awal pagi tersebut seolah-olah menjadi magnet automatik semua ahli keluarga untuk berkumpul di tengah waktu sahur yang terbatas dan rutin kegiatan di luar rumah yang belum bermula.
Kebersamaan ahli keluarga tersebut dijalinkan bermula dari rutin saling membangunkan dan mengingatkan setiap ahli keluarga untuk bangun sahur. Selalunya ayah bertanggungjawab membangunkan anak-anak dan ibu memasak, tetapi apabila ayah tidak berjaya membangunkan salah seorang anak, maka ibu masuk campur. Kerjasama antara suami dan isteri untuk anak-anak mereka sudah tentu akan mengeratkan keharmonian rumah tangga.
Setelah itu, detik kebersamaan semakin terasa apabila semua ahli keluarga berkumpul di meja makan untuk menjamu hidangan sahur yang lazat buatan ibu. Keberkatan akan melimpah pada keluarga kita. Sabda Rasuluah SAW. dari Wahsyi bin Harb dari bapanya dari datuknya, “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW. pernah mengadu, ‘Wahai Rasulullah sesungguhnya kami makan, tetapi tidak merasa kenyang.’ Nabi bersabda, ‘Mungkin kalian makan secara berasingan?’ ‘Benar,’ kata para sahabat. Nabi kemudian bersabda, ‘Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah sebelumnya, tentu makanan tersebut akan diberkati’.” (HR Abu Daud).
Intipati yang diperolehi daripada berbuka puasa dan bersahur bersama itu bukan hanya diisi dengan makan dan minum, malah diwarnai juga dengan perbualan suami dan isteri. Komunikasi akan terjalin dan akan mengeratkan keharmonian pasangan.
5. Saling berkongsi ilmu Islam.
Ramadhan juga merupakan detik untuk kita dan pasangan mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Keluarga boleh membuat program kebersamaan ahli keluarga. Atau ibu dan ayah boleh berkongsi dan bercerita tentang ilmu-ilmu Islam kepada anak-anak.
Hal ini boleh dilakukan di rumah selepas solat subuh berjemaah, comtohnya, ayah ibu bergilir-gilir memimpin pengajian sains. Jika ada anak yang lebih besar, mereka juga boleh diberi tanggungjawab. Ini juga akan mengeratkan keakraban suami isteri kerana suka atau tidak, komunikasi kedua-duanya akan berjalan. Dengan cara itu, ilmu Islam akan menjadi lebih hidup dalam keluarga dan menjadikannya sebagai sumber cahaya keharmonian keluarga.
6. Teruskan meluahkan rasa sayang dan saling memberi sokongan antara satu sama lain.
Menjalankan aktiviti di bulan Ramadhan bukanlah sesuatu yang mudah, jadi kita masih memerlukan sokongan daripada pasangan. Seorang isteri akan sangat bersemangat apabila suaminya memberikan semangat dan melemparkan kata-kata indah atau pujian yang menunjukkan rasa sayangnya kepada pasangan.
Walau ada yang mengatakan kasih sayang tidak perlu dilafazkan, pasti pasangan akan gembira mendengarnya secara langsung. Sesederhana mengatakan, “Waaah, sedap sungguh masakan Umi, jadi semakin sayang.” atau “Semangat, ya!” akan membina keintiman dan keharmonian dalam rumah tangga.
Demikianlah, Ramadhan sememangnya detik yang sangat istimewa. Dengan kebersamaan suami isteri dalam menjalankan pelbagai aktiviti di dalamnya, biidznillah akan menjalin komunikasi yang baik dan kukuh. Tambahan pula, ia akan membawa kepada hubungan yang lebih harmoni antara suami isteri. Wallahualam bissawab.
Sumber:
#Keluarga #Ramadhan #Perkahwinan #SuamiIsteri #KeluargaHarmoni #MomenRamadhan