[Syarah Hadis] Kesatuan Khilafah
Penulis: Yoyok Rudianto
إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الآخِرَ مِنْهُمَا
“Jika dibaiat dua orang khalifah, bunuhlah yang terakhir dari kedua-duanya.” [HR Muslim, Ahmad, dan Abu ‘Awanah].
Makna hadis : hadis ini menjelaskan tidak boleh adanya dua orang khalifah dalam satu masa. Imam An-Nawawi di dalam Syarh Shahih Muslim menjelaskan, “ Hadis ini membawa maksud: jika tidak dapat dicegah melainkan dengan membunuhnya. Di sini tidak boleh berbaiat kepada dua khalifah. Telah dijelaskan bahawa ada ijmak mengenainya.”
Ibnu al-Jawzi di dalam Kasyf al-Musykal ‘an Hadith Shahihayn menjelaskan, “Jika urusan terkait pengangkatan khalifah diselesaikan dan disepakati ijmak ke atasnya, kemudian yang lain dibaiat dengan suatu jenis penakwilan, kemudian dia membangkang dan para pendokongnya bughat, mereka diperangi dengan perang melawan bughat. Sabda Rasulullah SAW, “Maka bunuhlah yang terakhir dari kedua-duanya,” maksudnya bukanlah pergi ke hadapan dan membunuhnya, tetapi maksudnya: perangilah dia dan jika perkara itu membawa kepada membunuhnya, itu dibolehkan.”
Imam As-Suyuthi dalam Ad-Dibâj ‘alâ Muslim menjelaskan, “Ini juga merupakan perintah untuk memeranginya walau pun mengarah kepada pembunuhannya.”
Hadis ini menegaskan wajibnya kesatuan Khilafah dan haram mempunyai banyak Daulah Islamiyah di seluruh dunia. Di dalam Mawsû’ah Fiqhiyah al-Kuwaytiyah pada pembahasan, “Ta’adud ad-Dawlah al-Islâmiyah” dinyatakan bahawa jumhur fukaha berpendapat bahawa tidak boleh ada dua orang imam (khalifah) di seluruh dunia pada satu waktu; tidak boleh ada kecuali hanya seorang imam atau khalifah. Dalilnya adalah sabda Rasulullah SAW di atas. Selain itu, berbilang-bilang Daulah Islamiyah akan menyebabkan perselisihan dan perpecahan.
Ketentuan ini ditegaskan oleh banyak hadis dan ijmak sahabat. Rasulullah SAW bersabda,
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ اْلأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ اْلأَوَّلِ فَاْلأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ الله سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
“Dahulu Bani Israel dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, dia digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi sesudahku. Yang akan ada adalah para khalifah dan mereka banyak.” Para Sahabat bertanya, “Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Nabi bersabda, “Penuhilah baiat yang pertama, yang pertama sahaja; berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawapan mereka atas apa yang mereka diminta untuk mengatur dan memeliharanya.” [HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibn Majah].
Imam An-Nawawi menjelaskan, “Makna hadis ini, jika dibaiat seseorang sebagai khalifah padahal sebelum itu seorang khalifah telah dibaiat, baiat pertama adalah sah, wajib dipenuhi; sedangkan baiat yang kedua adalah batil dan haram dipenuhi. Ia (yang dibaiat kedua) haram menuntut, samada mereka yang memberikan akad kepada yang kedua itu mengetahui akad baiat yang pertama ataupun tidak; samada itu berlaku di dua atau satu negeri, atau yang satu di negeri imam yang terpisah dan yang lain di negeri lain. Inilah yang benar yang menjadi pendapat ashab kami dan jumhur ulama. Para ulama sepakat bahawa tidak boleh diakadkan untuk dua khalifah pada satu masa samada Dâr al-Islam itu luas atau tidak.”
Rasulullah SAW juga bersabda,
مَنْ أَتَاكُمْ وَأَمْرُكُمْ جَمِيعٌ عَلَى رَجُلٍ وَاحِدٍ يُرِيدُ أَنْ يَشُقَّ عَصَاكُمْ أَوْ يُفَرِّقَ جَمَاعَتَكُمْ فَاقْتُلُوهُ
“Siapa sahaja yang datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian telah terhimpun pada seorang lelaki, orang yang datang itu hendak mematahkan tongkat kalian atau memecah belah jemaah kalian, maka bunuhlah dia.” [HR Muslim].
Rasulullah SAW juga bersabda,
مَنْ بَايَعَ إِمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَة يَمِينِهِ وَثَمَرَةَ قَلْبِهِ فَلْيُطِعْهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعُهُ فَاضْرِبُوا عُنُقَ اْلآخَرِ
“Siapa sahaja yang membaiat imam (khalifah), lalu dia memberikan genggaman tangannya dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaatinya semampu dia. Jika datang orang lain merebutnya, penggallah tengkuk orang lain itu.” [HR Muslim, Ibn Majah, dan Ahmad].
Imam An-Nawawi menjelaskan, “Maknanya, tolaklah yang kedua, sebab dia telah keluar menentang imam atau khalifah. Jika tidak boleh ditolak kecuali dengan perang, perangilah dia. Jika perang itu menuntut untuk membunuh dia, boleh membunuh dia dan tidak ada tanggungan di dalamnya. Ini kerana dia zalim dan melampaui batas di dalam perangnya.”
Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra meriwayatkan, Abu Bakar as-Shidiq pernah berkhutbah, “Sesungguhnya tidak halal untuk kaum muslim mempunyai dua orang amir. Jika itu terjadi, urusan dan hukum mereka akan berbeza-beza; jemaah mereka akan tercerai berai dan terjadi perselisihan di antara mereka. Di situ bererti sunnah ditinggalkan serta muncul bid’ah dan fitnah menjadi besar; tidak ada kebaikan bagi seorang pun dalam hal itu.”
Hukum yang disampaikan oleh Abu Bakar ini didengar oleh para sahabat, tidak ada yang mengingkarinya. Dengan demikian, itu menjadi ijmak sahabat bahawa haram adanya dua orang khalifah atau imam.
Nas-nas di atas menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang merebut jawatan khalifah dari khalifah yang sah, maka dia mesti ditolak dan dihalangi walaupun dengan perang dan membunuhnya. Mafhum nas ini melarang disintegrasi Daulah Islam serta dorongan untuk tidak bertoleransi dalam pemisahannya (kesatuan khilafah) dan menghalang pemisahan darinya walau mesti terjadi dengan perang.
Nas di atas juga menjelaskan bahawa ketika tidak ada khalifah dan diberikan baiat kepada dua orang, bunuhlah yang lebih akhir dari orang yang dibaiat secara sah sesuai ketentuan syariah. Mafhum nas tersebut adalah larangan pemecahan Daulah. Ini bererti haramnya Daulah Islam untuk seluruh kaum muslim menjadi banyak negara. Yang wajib adalah menjadi satu negara sahaja.
Semua itu menegaskan bahawa sistem pemerintahan Islam, iaitu Khilafah, adalah sistem kesatuan. Sistem yang lain—baik federasi, konfederasi, mahupun komanwel—adalah haram. Wallahu’alam bissawab.