[Syarah Hadis] Penaklukan Kota Rom
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْمَدِينَتَيْنِ تُفْتَحُ أَوَّلاً قُسْطَنْطِينِيَّةُ أَوْ رُومِيَّةُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَدِينَةُ هِرَقْلَ تُفْتَحُ أَوَّلاً يَعْنِي قُسْطَنْطِينِيَّةَ
Rasulullah SAW pernah ditanya, “Kota manakah yang akan dibebaskan lebih dahulu, Konstantinopel atau Rom?” Rasulullah menjawab, “Kota Heraklius akan dibebaskan terlebih dahulu, iaitu Konstantinopel.” [HR Ahmad, Ad-Darimi, dan Al-Hakim].
Imam Ahmad mengeluarkan hadis tersebut di dalam Musnad-nya pada bab “Musnad ‘Abdullâh bin Amru bin bin al-‘Âsh.” Beliau meriwayatkan hadis ini berdasarkan penuturan secara berturut-turut dari Yahya bin Ishaq, dari Yahya bin Ayyub, dari Abu Qabil; yang berdasarkan pada penuturan Abdullah bin Amru bin al-‘Ash dari Rasulullah SAW, Al-Haytsami berpandangan bahawa, “Para perawi hadis ini sahih kecuali Abu Qabil dan dia tsiqah.” [1]
Riwayat yang sama juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannaf Ibnu Abiy Syaybah; Imam ad-Darimi dalam Sunan ad-Dârimî, dari penuturan Usman bin Muhammad, dari Yahya bin Ishaq; Ibnu Abi ‘Ashim dalam Al-Awâ’il li bin Abi ‘Âshim, dari penuturan Abu Bakar, dari Yahya bin Ishaq; Ath-Thabrani dalam Al-Awâ’il li ath-Thabrani, dari penuturan Abdullah bin al-Husain al-Mashishi dari Yahya bin Ishaq; serta Abu ‘Amru ad-Dani dalam As-Sunan al-Wâridah fî al-Fitan dari penuturan Abdurrahman bin Utsman, dari Qasim, dari Ibnu Abi Khaytsamah, dari Yahya bin Ishaq. Dalam semua riwayat tersebut, selanjutnya Yahya bin Ishaq dari jalur yang sama dengan jalur di atas. [2]
Nu’aim bin Hamad al-Muruzi meriwayatkan hadis ini dalam Kitâb al-Fitan dari Ibn Wahbin dari Yahya bin Ayyub dari Abu Qabil dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash. [3] Abdul Ghani al-Maqdisi mengeluarkannya di dalam Kitâb al-‘Ilm. Dia berkata, “Hadis ini sanadnya hasan.”
Al-Hakim meriwayatkannya dari tiga jalur. Pertama, dari Muhammad bin Shalih bin Hani’, dari Muhammad bin Ismail, dari Ibnu Wahbin, dari Yahya bin Ayyub dari Abu Qabil al-Ma’afiri dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash. Kedua, dari Abu Ja’far Muhammad bin Muhammad al-Baghdadi dari Hasyim bin Murtsid dari Said bin Afir dari Said bin Abi Ayyub dari Abu Qabil dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash.
Ketiga, dari Muhammad bin al-Muamal, dari al-Fadhl bin Muhammad asy-Sya’rani dari Nu’aim bin Hamad, dari Abdullah bin Wahbin, dari Yahya bin Ayyub dari Abu Qabil, dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash. Al-Hakim berpandangan, “Ini adalah hadis sahih menurut syarat Syaykhayn (Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim), tetapi keduanya tidak mengeluarkannya.” [4] Az-Dzahabi bersepakat dengan penilaian Al-Hakim.
Pandangan Al-Haytsami di atas, bahawa para perawi hadis ini adalah perawi sahih kecuali Abu Qabil yang dia tentukan tsiqah, mengisyaratkan bahawa dia menilai hadis ini hasan. Penilaian ini sesuai dengan penilaian Abdul Ghani al-Maqdisi. Adapun al-Hakim menilainya sahih dan disepakati oleh az-Dzahabi. Syeikh Nashiruddin al-Albani juga menilainya sahih. [5]Akhirnya hadis ini boleh dijadikan hujah.
Makna Hadis
Hadis ini adalah hadis gharîb kerana hanya diriwayatkan dari jalur Abu Qabil dari Abdullah bin Amru bin al-Ash. Hadis ini memberitahu kepada kita bahawa dua kota, iaitu Konstantinopel dan kota Rumiyah akan ditaklukkan dan di antara kedua-duanya, kota Konstantinopel yang akan ditaklukkan terlebih dahulu. Kota Rûmiyah itu seperti yang dijelaskan dalam Mu’jam Al-Buldân adalah kota Rom, sekarang adalah merupakan ibu kota Itali.6 Penaklukan kedua-dua kota ini adalah sesuatu yang pasti akan terjadi.
Berita gembira penaklukan kota Konstantinopel juga diriwayatkan dalam hadis lain. Berita gembira tersebut memacu kaum muslim sejak masa para sahabat untuk mendapatkan keutamaan dan kemuliaan sebagai seorang yang berjaya mewujudkannya.
Syeikh al-Albani mengatakan, “Penaklukan pertama telah berjaya direalisasikan melalui tangan Muhammad al-Fâtih al-‘Uthmani seperti yang sudah diketahui. Hal itu terealisasi setelah lebih dari lapan ratus tahun sejak berita gembiranya disampaikan oleh Rasulullah SAW. Penaklukan kedua (iaitu penaklukan Kota Rom, pen.) dengan izin Allah juga akan terealisasi. Sungguh, beritanya anda akan ketahui di kemudian hari. Tidak diragukan bahawa merealisasikan penaklukan kedua itu menuntut kembalinya Khilafah Rasyidah di tengah-tengah umat muslim. Hal itu telah diberitakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda.
Berita dari Rasul itu juga tidak boleh menjadikan kita diam dan tidak turut terlibat aktif memperjuangkannya kerana menganggap ia memang pasti akan tegak kembali. Apalagi menghalangi perjuangan penegakan Khilafah, sudah tentu jauh lebih buruk dan lebih tidak layak lagi keluar dari seorang muslim. Sikap itu hanya layak keluar dari orang yang tidak percaya kepada Rasulullah SAW.
Berita gembira tegaknya kembali Khilafah semestinya memacu kita untuk mewujudkannya tanpa kenal lelah, seperti generasi terdahulu. Perjuangan itu pada akhirnya pasti akan berjaya dan Khilafah pasti tertegak kembali sesuai dengan janji Allah dan Rasulullah SAW. Wallahu’alam bissawab.
Catatan Kaki:
1 Lihat: Imam Ahmad (164-241 H), Musnad Ahmad, 2/176, Muassasah Qurthubah, Mesir, tt; Al-Haytsami (w. 807 H), Majma’ az-Zawâ’id wa Manba’u al-Fawâ’id, 6/219, Dar ar-rayan li ath-Turats-Dar al-Kitab al-‘Arabi, Kaero-Beirut, 1407
2 Lihat: Ibn Abiy Syaibah, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, ed. Kamal Yusuf al-Hawt, 4/419, Maktabah ar-Rusyd, Riyadh, cet. i. 1409; Imam ad-Darimi (181-255 H), Sunan ad-Darimi, 1/137, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, cet. i. 1407; Ibn Abiy ‘Ashim, Al-Awâ’il li Ibn Abi ‘âshim, 1/109; Ath-Thabrani, Al-awâ’il li ath-Thabrani, 1/122; Abu Amru ad-Dani (371-444 H), As-Sunan al-Wâridah fî al-Fitan, ed. Dr. Dhiya’ullah bin Muhammad Idris al-Mubarkfuri, 6/1127, Dar al-‘âshimah, Riyadh, cet. i. 1416
3 Lihat: Nu’aim bin Hamad al-Muruzi Abu Abdillah (w. 288 H), Kitâb al-Fitan, ed. Samir Amin az-Zuhri, 2/479, Maktabah at-Tawhid, Kaero, cet. i. 1412
4 Lihat: Al-Hakim (321-405), Mustadrak ‘alâ Shahîhayn, ed. Mushthafa Abdul Qadir ‘Atha, 4/598, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, cet. i. 1411/1990
5 Lihat: Muhammad Nashiruddin al-Albani, Silsilah ash-Shahîhah, 1/33, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh, tt
6 Lihat: Yaqut bin Abdillah al-Humawi, Mu’jam al-Buldân, 1/312, Dar al-Fikr, Beirut, tt