[Tarikh Khulafa] Perang Psikologi yang Dilakukan oleh Muhammad al-Fatih dan Pasukannya
Penulis: Nabila Ummu Anas
Kehadiran kapal-kapal Turki Uthmaniyyah di perairan Tanduk Emas memberi pengaruh yang besar dalam melemahkan semangat juang rakyat Byzantine yang mempertahankan kota. Mereka terpaksa menarik sejumlah besar pasukan dari tembok-tembok yang lain untuk mempertahankan tembok yang terletak di Tanduk Emas. Ini kerana tembok yang ada di sepanjang pinggir Tanduk Emas adalah tembok yang paling lemah. Sebelum kemasukan kapal-kapal Turki Uthmaniyyah di perairan Tanduk Emas, tembok tersebut dilindungi oleh perairan sehingga memungkinkan untuk memperketatkan penjagaan di tembok-tembok yang lain dengan mengetepikan tembok tersebut.
Tentera Byzantine Mula Letih dan Putus Asa
Tentera Byzantine telah beberapa kali berusaha untuk memusnahkan tentera laut Turki Uthmaniyyah yang berada di Tanduk Emas. Namun, usaha gigih orang-orang Byzantine sentiasa di bawah pengawasan tentera Turki Uthmaniyyah yang sentiasa dapat menggagalkan setiap rancangan dan usaha mereka.
Tentera Turki Uthmaniyyah terus menyerang titik-titik pertahanan dan tembok-tembok kota dengan meriam, dan cuba memanjat tembok-tembok itu. Pada masa yang sama, orang-orang yang mempertahankan diri di dalam kota berusaha membina semula tembok-tembok kota yang sudah musnah dan menangkis usaha-usaha intensif untuk memanjat tembok-tembok itu.
Sementara itu, pengepungan terhadap Konstantinopel diteruskan dari segenap penjuru. Keadaan seperti ini menambahkan lagi beban kerja orang-orang Byzantine dan membuatkan mereka berasa keletihan dan mengalami kesukaran. Mereka sibuk siang dan malam sehingga mereka berputus asa.
Tentera Turki Uthmaniyyah Menggandakan Serangan
Pada masa yang sama, pasukan Turki Uthmaniyyah menempatkan meriam-meriam khas di pergunungan sekitar Bosphorus dan Tanduk Emas. Meriam-meriam ini digunakan untuk memusnahkan kapal-kapal Byzantine dan kapal-kapal lain yang membantu mereka di Tanduk Emas, Selat Bosporus, dan perairan sekitarnya. Ini menyukarkan kapal-kapal musuh untuk bergerak dan menyebabkan kelumpuhan sepenuhnya.
Sultan Muhammad al-Fatih menggandakan serangan terhadap tembok-tembok Konstantinopel. Baginda memutuskan untuk menyerang mengikut rancangan yang telah disediakan bagi melemahkan musuh Tentera Uthmaniyyah terus melancarkan serangan ke atas tembok-tembok kota dan cuba mendakinya secara berterusan.
Mereka melakukan semua ini dengan semangat kepahlawanan yang mencapai tahap keberanian dan pengorbanan yang sangat tinggi. Perkara yang paling menakutkan bagi tentera Maharaja Constantine ialah teriakan-teriakan tentera Uthmaniyyah yang membelah langit, “Allahuakbar…, Allahuakbar…,” kata-kata ini melanda musuh seperti halilintar yang dahsyat.
Sultan Muhammad al-Fatih mula meletakkan meriam-meriam besar di tanah tinggi di belakang daerah Galata. Meriam-meriam itu mulai memuntahkan peluru ke arah pelabuhan. Meriam mula memuntahkan peluru ke arah pelabuhan. Salah satu bom terkena kapal dagang dan tenggelam serta-merta.
Kapal-kapal lain ketakutan dan terpaksa melarikan diri, menggunakan tembok-tembok benteng Galata sebagai tempat perlindungan. Serangan tentera Uthmaniyyah di daratan berterusan seperti ombak yang melanda dengan pantas dan berterusan.
Mentaliti Musuh semakin Lemah
Sultan Muhammad al-Fatih melancarkan serangan berterusan dan melemparkan bom ke darat dan laut tanpa henti, siang dan malam. Tujuannya adalah untuk melumpuhkan kekuatan orang-orang yang dikepung, serta tidak memberikan kesempatan bagi mereka untuk dapat merasakan istirehat dan ketenangan sedikit pun.
Demikianlah, semangat tentera Byzantine menjadi lemah, jiwa mereka letih, dan otot-otot mereka gagal. Maka setiap tentera Byzantine melihat wajah kawannya dipenuhi dengan tanda-tanda kehinaan, kekalahan dan kegagalan. Mereka secara terbuka bercakap tentang cara menyelamatkan diri dan nyawa mereka, dan apa yang akan dilakukan oleh Turki Uthmaniyyah jika mereka berjaya menakluki kota mereka.
Pertemuan Maharaja Constantine dengan para Pembantunya
Maharaja Constantine mengadakan pertemuan secara tiba-tiba di bandar dengan pembantunya, ahli musyawarahnya, dan pemimpin Kristian. Semua yang hadir mencadangkan agar Maharaja Constantine meninggalkan bandar itu dan mendapatkan bantuan daripada orang Kristian dan negara-negara Eropah. Dengan harapan tentera Kristian dari negara Eropah akan segera tiba supaya dapat memaksa Sultan Muhammad al-Fatih menghentikan kepungan Konstantinopel.
Namun, Maharaja menolak cadangan ini dan bersetuju dengan menghantar utusan ke seluruh pelusuk Eropah untuk meminta bantuan. Utusan-utusan yang yang dihantarnya kembali dengan kegagalan.
Sementara itu, Sultan Muhammad al-Fatih mengejutkan musuh-musuhnya dari semasa ke semasa dengan seni perang dan kepungan yang baru, perang psikologi dan kaedah baru yang tidak pernah diketahui oleh musuh.
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Uthmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura