[Nafsiyah] Pencen dari dakwah
Penulis: Abu Zaid
Bersara atau pencen . Satu perkataan yang dinantikan bagi mereka yang bekerja. Jelas terbayang bahawa pencen dapat merehatkan diri dari kesibukan yang memenatkan. Boleh berehat pada waktu pagi. Minum kopi sambil melaksankan hobi seperti menjaga haiwan peliharaan atau taman bunga di hadapan rumah. Sesekali berjumpa dengan kawan-kawan sebaya. Sungguh indah sekali.
Namun, berdakwah bukanlah satu pekerjaan dan tidak akan selesai atau istilah lain ialah pencen dakwah. Malah, semakin meningkat usia, kita perlu lebih bersemangat dan fokus dalam berdakwah. Ini kerana semakin kita tua, semakin sempit usia kita. Jadi kita perlu memanfaatkan waktu dengan sebaiknya.
Para Nabi dan Rasul SAW berdakwah sehingga mereka wafat. Malah, ada yang berdakwah selama 950 tahun seperti Nabi Nuh AS. Ada juga yang hanya berumur beberapa dekad sahaja, seperti Nabi Muhammad SAW. Pendek kata, berdakwah sehingga mati.
Para sahabat Nabi SAW juga sama. Mereka masuk Islam, kemudian membaca Al-Quran dan berdakwah sehingga meninggal dunia. Tidak ada yang berhenti dari membaca Al-Quran dan berdakwah kecuali orang-orang yang murtad. Akhirnya, urusan hidup kita ditentukan pada masa akhirnya. Adakah husnul khatimah atau su’ al-khatimah. Oleh itu, sangat penting untuk kita membaca al-Quran dan berdakwah sehingga kita mati.
Sabda Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya amal itu diikuti dengan penutupnya.” [Musnad Ahmad 21768]
Mati atau menutup usia ketika masih aktif berdakwah adalah tanda husnul khatimah. Ini kerana dakwah adalah amal dan aktiviti yang terbaik bagi seorang muslim. Firman Allah SWT, “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’” [TMQ Fussilat (41):33].
Allah SWT tidak memberi izin untuk bersara dari dakwah bagi mereka yang diutuskan untuk berdakwah agar mendapat husnul khatimah, seperti Nabi dan RasulNya. Jika bersara atau pencen daripada berdakwah, mereka dianggap sebagai orang yang mendustakan nikmat Allah SWT dan hukumannya sangat berat.
Ada beberapa fenomena yang boleh dikategorikan dengan persaraan dakwah. Terdapat seorang pendakwah yang meninggalkan dakwahnya secara diam-diam walaupun dia tetap istiqamah. Umumnya, inilah yang berlaku. Bersara dengan menarik diri daripada aktiviti dakwah. Tidak menghadiri majlis-majlis dakwah yang lain. Kemudian, memutuskan hubungan dengan rakan-rakannya dan menghilangkan diri.
Satu lagi fenomena yang paling teruk ialah berhenti berdakwah disertai menyerang saudara-saudaranya yang sedang memperjuangkan agama Allah SWT. Ada juga yang berhenti berdakwah, kemudian cuba untuk menggagalkan perjuangan dakwah dengan pelbagai cara di pelbagai forum. Malah, ada yang bekerjasama dengan musuh-musuh dakwah untuk menyerang dan menghancurkan dakwah dan umatnya. Walau bagaimanapun, perkara seperti ini sangat jarang berlaku. Puncanya ialah penyakit hati, sama ada kerana kecewa atau sakit hati dengan pelbagai sebab dan sebagainya. Firman Allah SWT, “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” [TMQ Al-Baqarah (2):10].
Fenomena ini terlihat seperti azab daripada Allah SWT kerana mengingkari nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka. Nikmat tersebut ialah menjadi pendakwah yang berjuang dalam menegakkan agama Allah SWT. Namun, beliau melepaskan diri darinya. Selain telah dijadikan pewaris perjuangan para Nabi dan Rasul SAW “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris nabi.” [Sunan Tirmidzi 260].
Pewaris perjuangan para Nabi SAW tidak mengenal perkataan bersara daripada berdakwah, sebagaimana para Nabi dan Rasul SAW tidak pernah mengetahuinya. Kesemua mereka menjalankan misi dakwah hingga ke nafas terakhir dan mati ketika medan perjuangan dakwah.
Allah SWT tidak memberi masa untuk bersara dari dakwah, apatah lagi bersara dari jihad. Tidak ada istilah bersara dalam berdakwah selagi masih mampu melakukannya. Hal ini dapat kita fahami dari turunnya ayat berikut, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” [TMQ al-Baqarah (2):195]
“Dari Aslam Abu Imran at-Tujibi, dia berkata, ‘Ketika kami berada di kota Rom, Rom telah menghantar tentera yang sangat ramai untuk menghadapi kami. Kemudian, beberapa orang Islam keluar untuk memerangi mereka seperti bilangan mereka atau lebih. Orang-orang dari Mesir diketuai oleh Uqbah bin Amir, manakala semua pasukan diketuai oleh Fadlalah bin Ubaid. Kemudian, seorang lelaki dari masyarakat Islam keluar dan memecah masuk ke dalam barisan orang Rom. “Subhanallah, dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan.” Kemudian, Abu Ayyub al-Ansari bangkit dan berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah menafsirkan ayat ini, tetapi ayat ini diturunkan kepada kami, kaum Ansar. Apabila Allah SWT memuliakan kita dengan Islam dan mempunyai banyak penolong, maka sebahagian kita berbisik kepada sebahagian yang lain tanpa diketahui oleh Rasullullah SAW. Mereka berkata, “Sesungguhnya harta kami telah hilang dan sesungguhnya Allah telah memuliakan Islam dan mempunyai banyak penolong, bagaimana pula kami menjaga harta kami dan memperbaiki yang hilang itu.” Kemudian, Allah SWT menurunkan ayat kepada NabiNya sebagai balasan kepada kami atas apa yang kami katakan, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)” [TMQ al-Baqarah (2):195] . Perkataan At-Tahlukah dalam ayat ini bermaksud Al-Iqamah (berdiam diri) untuk menjaga harta dan membaikinya, kemudian meninggalkan peperangan. Abu Ayyub terus bergerak menuju jihad di jalan Allah SWT sehinggalah dia dikebumikan di bumi Rom. Abu Isa berkata bahawa hadis ini hasan sahih gharib.” [Sunan Tirmidzi 2898].
Allah SWT tidak mengizinkan orang Ansar berhenti atau bersara daripada berdakwah dan berjihad atas alasan untuk meningkatkan ekonomi. Ini kerana dakwah tidak pernah menjadi penghalang kepada sebarang kemajuan dalam kehidupan seorang pendakwah. Sebenarnya, dakwah menambah rahmat kepada semua aktiviti dan kehidupan kita.
Berhenti atau bersara dari dakwah dan jihad bagi mereka yang telah diutuskan oleh Allah SWT ke jalan dakwah dan jihad, sinonim dengan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Oleh itu, kita mesti terus maju ke hadapan!
Terus berikhtiar untuk senantiasa istiqamah dalam dakwah merupakan bentuk kesyukuran atas hidayah dari Allah SWT, kerana Dia telah menjadikan kita sebagai aktivis dakwah. InsyaAllah jika kita bersyukur, maka nikmat itu akan berlipat ganda. Sedangkan bersara daripada berdakwah adalah kekufuran dan Allah akan mengazab kita kerananya.
Selamat berjuang dan semoga kita istiqamah. Bismillah.
Sumber: akaun Facebook GA Saad AF