Site icon MuslimahHTM News

IBADAH KORBAN BUKTI KEIMANAN DAN KETAATAN

[ISTIMEWA ZULHIJJAH] IBADAH KORBAN BUKTI KEIMANAN DAN KETAATAN

 

Bukti keimanan dan ketaatan dalam ibadah korban telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam al-Quran:

 

“Maka ketika anaknya (Nabi Ismail) itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang di­perintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [TMQ as-Saffaat (37): 1].

 

Ketika Ibrahim AS akan melakukan penyembelihan ke atas anaknya, Allah SWT memerintahkan agar beliau menggantikan Ismail AS dengan seekor haiwan ternakan.

 

“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaring­kan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggil dia, wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” [TMQ as-Saffaat (37): 103–107].

 

Ibrah yang kita boleh perolehi daripada kisah ini adalah bahawa keimanan dan ketakwaan yang sempurna kedua-dua bapa dan anak tersebut kepada Allah SWT menjadikan mereka mentaati sepenuhnya perintah Allah SWT tanpa sebarang keraguan sedikitpun.

 

Mereka tidak mempersoal­kan apakah perintah Allah SWT itu sesuai atau tidak dengan kehidupan masyarakat di zaman mereka ketika itu, atau meragui dan tertanya-tanya apakah perintah tersebut baik atau buruk untuk mereka. Malah mereka langsung tidak meminta agar perlaksanaan perintah tersebut di­tangguh­kan. Walaupun Nabi Ismail AS merupakan anak yang sangat disayangi oleh Nabi Ibrahim AS, namun demi keimanan ter­hadap Yang Maha Esa, mentaati perintah Allah SWT itu adalah jauh lebih utama. Inilah ciri-ciri keimanan dan ketakwaan yang sempurna bagi seseorang hamba Allah SWT. Sememangnya keimanan kepada Allah SWT menuntut ketaatan terhadap perintah-perintah dan hukum-hakam-Nya, manakala dalam memenuhi perintah-perintah tersebut pula menuntut pengorbanan dan keikhlasan.

 

#istimewazulhijjah

Exit mobile version